MUHAMMAD Idham mengukur jarak bola ketika beraksi dalam acara perseorangan lelaki pada SUKMA Perak 2018 di Arena Boling Padang, Ipoh. -Foto ABDULLAH YUSOF
MUHAMMAD Idham mengukur jarak bola ketika beraksi dalam acara perseorangan lelaki pada SUKMA Perak 2018 di Arena Boling Padang, Ipoh. -Foto ABDULLAH YUSOF
Jumiati Rosly dan Aida Adilah Mat


IPOH: Bertenang dan melafazkan Bismillah pada setiap balingan menjadi rahsia kejayaan atlet boling padang lelaki Terengganu, Muhammad Idham Amin Ramlan untuk menewaskan lawan yang juga pemain pelapis kebangsaan, Muhammad Haiqal Azami dari Selangor dalam acara perseorangan lelaki Sukan Malaysia (SUKMA) hari ini.

Dalam perlawanan di Arena Lawn Bowls, Kompleks Sukan MBI di sini, Idham Amin yang berumur 18 tahun membawa pulang pingat emas apabila berjaya menewaskan Haiqal dengan keputusan 21-14. Gangsa pula dimenangi Daeng Dhadyry Dahasry dari Perlis dan pemain Perak, Ahmad Zikry Sazeli.

“Saya gembira dengan kejayaan menewaskan lawan yang juga atlet pilihan memandangkan dia pemain pelapis kebangsaan.

“Namun dalam perlawanan sengit tadi saya rasa saya mempunyai mental lebih kuat dengan membaca Bismillah pada setiap balingan dan juga bertenang pada setiap masa,” katanya yang bermula bermain boling padang sejak berumur 12 tahun.

Atlet berasal dari Kuala Terengganu itu memenangi dua emas pada temasya lalu di SUKMA Sarawak tetapi dalam acara triples dan berempat.

“Pada kali ini saya dapat rasakan saya lebih berdikari kerana saya perlu bermain dalam acara perseorangan berbanding dua tahun lalu saya mengharapkan rakan sepasukan.

Dalam acara berpasangan wanita pula menyaksikan gandingan Selangor, Afiqah Dayana Budiman dan juga Nurul Hidayah Roslan menghadiahkan emas selepas menundukkan gandingan Perak, Nur Izzati Mohd Ibrahim dan juga Nurul Naelah Borhan 17-12.

“Kami sudah dua tahun bergandingan bersama dan emas ini diperoleh selepas banyak pengorbanan saya lalui termasuklah mengorbankan zaman remaja untuk bergiat aktif dalam sukan boling padang,” kata Nurul Hidayah.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 September 2018 @ 8:02 PM