RICHARD Emile Tardy
RICHARD Emile Tardy
HM Digital

Shah Alam: Pengendali Singapura, Richard Emile Tardy mengaku kecewa dengan kekalahan kedua apabila anak buahnya tumbang 1-2 di tangan Malaysia di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Jelasnya, meskipun hampir membuat kejutan dengan mendahului tuan rumah pada babak pertama, masalah kecergasan nyata menjadi perbezaan antara kedua-dua pasukan.

“Kami beraksi baik terutamanya di babak pertama apabila sering menekan pertahanan tuan rumah hingga membolehkan kami mendahului.

“Namun seperti yang saya duga, kami gagal mengekalkan momentum khususnya tahap fizikal pemain yang semakin longlai di babak kedua.

“Sebaliknya Malaysia lebih garang pada babak kedua di bantu tempoh permainan pantas. Saya kecewa dengan keputusan ini dan harap kami belajar sesuatu daripada aksi ini,” katanya pada sidang media sejurus tamat aksi kedua-dua pasukan malam tadi.

Dalam aksi penuh dramatik itu, skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee terpaksa bangkit daripada ketinggalan untuk memadamkan kelebihan pelawat yang terlebih dulu mendahului pada minit ke-37 menerusi rembatan jarak jauh, Amiruldin Nodin.

Bagaimanapun, pemain gantian, Nor Azam Abdul Azih dan N Thanabalan menjaringkan gol masing-masing minit ke-68 dan 73.

“Kemasukan dua pemain Malaysia pada separuh masa kedua mengubah perlawanan dan mereka berjaya menekan kubu kami.

“Walaupun kami sudah tewas dua perlawanan dengan Malaysia dan Myanmar (tewas 2-0), saya masih mahu pemain cuba raih kemenangan dalam dua baki aksi selepas ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Ogos 2017 @ 10:54 AM