Oleh Azizan Hashim

Ipoh: Tidak kira apa caranya. Yang penting berjaya mengutip tiga mata penuh.

Begitulah kata Datuk M Karathu mengenai kejayaan tipis 2-1 Perak ke atas Angkatan Tentera Malayia (ATM) dalam saingan Liga Super di Stadium Perak, malam kelmarin.

Pada perlawanan itu The Bos Gaurus tidak mempamer aksi terbaik mereka tetapi bekerja keras untuk untuk menikmati kejayaan.

“Perlawanan sukar untuk kami. Pemain terpaksa bekerja keras untuk kejayaan ini.

“Namun saya tidak hairan kerana pada peringkat ini semua pasukan akan bermain bersungguh-sungguh demi menyelamatkan diri,” katanya.

Berikutan kemenangan itu, Perak kini memintas Selangor untuk menduduki tangga ketiga dan dipisahkan tiga mata dengan pendahulu Pahang dan dua mata dengan pasukan tangga kedua, Johor Darul Ta’zim (Johor DT).

“Kemenangan ini cukup penting kerana kami berjaya merapatkan jurang dengan pasukan di tangga teratas. Lebih penting kami akan berhadapan misi sukar apabila bertandang ke Jalan Besar untuk pertemuan dengan Lions XII, Rabu ini.

“Di bilik persalinan saya beritahu pemain mereka perlu kutip mata penuh ke atas ATM jika ingin kekal bersaing merebut gelaran.

“Saya gembira pemain menyahut cabaran itu dan bekerja keras untuk mencapai kemenangan.

“Sepatutnya perlawanan ini dimenangi dengan mudah namun pemain gagal memanfaatkan hampir setengah dozen peluang yang dicipta.

“Jika menyempurnakan tiga daripada peluang itu pada babak pertama, saya yakin akan membunuh semangat pasukan lawan,” katanya.

Pada perlawanan itu Perak bermula cemerlang dengan gerakan-gerakan cantik untuk merobek kubu lawan dan berjaya mendahului melalui sepakan lencung Mohammad Nurridzuan Abu Hassan pada minit ke-20.

Begitupun penguasaan penuh tuan rumah selepas itu menemui kehampaan berikutan penyuduh tumpul Charles Souza Chad, Nam Kung Woong dan Mohd Tuah Jamaluddin.

Manakala penjaga gol ATM, Syed Adney Syed Hussien bertindak cemerlang untuk menguis keluar sepakan lambung kapten Perak, Mohd Nasir Basharuddin. Manakala Woong sekadar mampu memegang kepala menyaksikan rembatannya terkena tiang.

Bagaimanapun penjaring terbanyak Perak itu menebus kehampaannya itu dengan menyumbat gol kemenangan m-65.

“Kami menguasai permainan dengan gerakan cantik tetapi malangnya gagal memanfaatkan semua peluang.

“Sebaliknya melalui serangan balas, ATM menyamakan kedudukan dan mujur pemain Perak berjaya mendapatkan gol kemenangan pada babak kedua,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Julai 2015 @ 10:37 AM