BERGSON (dua kiri) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan. FOTO Nur Aisyah Mazalan
BERGSON (dua kiri) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan. FOTO Nur Aisyah Mazalan
Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: Pengendali Johor Darul Ta'zim (JDT), Benjamin Mora mengakui rentak permainan pemainnya tampak terjejas apabila hanya mampu menang 2-0 ke atas Kelantan FC pada aksi Kumpulan D saingan Piala Malaysia di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam tadi.

Beliau juga menegaskan pertembungan menentang skuad kendalian Reezal Zambery Yahya agak sukar selepas pemain skuad yang bergelar The Red Warriors itu mengamalkan corak permainan yang sentiasa berlari dan pantas menutup ruang apabila pemain JDT mengawal bola.

"Kelantan beraksi tanpa memikirkan untuk menang atau kalah sebaliknya mereka gemar berlari dan kerap mengasak pemain JDT apabila pemain saya mengawal bola dan sebab itu kami kerap gagal kawal bola pada babak pertama apabila tidak dapat menggerak bola dan melakukan transisi umpanan malah gerakan menerusi sepakan lintang dari posisi sayap kiri dan kanan sering dipatahkan.

"Bukan kami tidak boleh jaringkan malah kami ada sekurang-kurangnya tiga peluang terbaik untuk meletak bola di dalam jaring pada babak pertama menerusi percubaan Shane (Lowry) dan Bergson (Da Silva) yang terkena palang gol dan jika kedua-dua percubaan itu berjaya dihasilkan kami akan mendahului 3-0 pada babak pertama.

"Hanya sedikit sahaja masalah yang kami hadapi iaitu tidak menjaringkan gol di awal permainan dan semuanya bergantung kepada nasib dan mungkin malam ini (malam tadi) nasib kurang menyebelahi kami tapi kami tetap menguasai permainan," katanya.

Pada perlawanan itu jaringan penalti Bergson pada minit ke-30 dan gol Safawi Rasid pada minit ke-49 membolehkan skuad Harimau Selatan menewaskan skuad Kijang Emas malah Mora juga menganggap JDT kurang bernasib baik untuk menghasilkan lebih jaringan.

Mora juga menegaskan aksi babak kedua dikuasai JDT yang mendominasi permainan apabila bertali arus mengasak ke kubu pasukan pelawat malah beliau berpuas hati dengan kesungguhan setiap pemain tidak jemu menekan benteng skuad The Red Warriors tapi sedikit kecewa kerana gagal menambah jaringan.

"Apabila saya memasukkan Safiq (Rahim) dan Jambu (Afiq Fazail) posisi tengah begitu rakus menguasai permainan dan berjaya mencemaskan benteng lawan malah kedua-dua pemain itu begitu kreatif mencorakkan umpanan berbahaya.

"Malah Gonzalo (Cabrera) yang dimasukkan pada pertengahan babak kedua juga beri impak terhadap serangan JDT tapi tiga percubaan yang sepatutnya menghasilkan gol dinafikan penjaga gol lawan yang anggap menjadi penghalang utama keinginan JDT untuk menang lebih selesa," kata Mora.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 September 2021 @ 12:17 PM