ATLET Gimnas Negara Sukan Komanwel Gold Cost 2018 (dari kiri) Koi Sie Yan, Amy Kuan dan Izzah Amzan peraga pingat ketika tiba di KLIA2. - Foto MUHD ZAABA ZAKERIA
ATLET Gimnas Negara Sukan Komanwel Gold Cost 2018 (dari kiri) Koi Sie Yan, Amy Kuan dan Izzah Amzan peraga pingat ketika tiba di KLIA2. - Foto MUHD ZAABA ZAKERIA
Aida Adilah Mat

 

 

SEPANG: Satu emas, tiga perak dan tiga gangsa yang diraih skuad gimrama negara pada Sukan Komanwel Gold Coast 2018 bukan jaminan untuk menghadiahkan kejayaan yang sama di pentas Sukan Asia di Indonesia pada Ogos nanti.

Gimnas terbaik negara, Amy Kwan Dict Weng yang berjaya menghadiahkan satu emas, satu perak dan dua gangsa pada temasya kali ini, berkata Sukan Asia di Jakarta-Palembang menjanjikan cabaran dan lawan berbeza.

Namun, katanya, kejayaan di Gold Coast cukup bermakna dan mampu dijadikan sebagai azimat berharga buat dirinya serta rakan pasukan, Koi Sie Yan serta Izzah Amzan untuk terus mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa.

Menurutnya, mereka hanya diberi rehat dua hari sebelum turun semula berlatih di bawah bimbingan Lidia Legotina sebagai persiapan ke Kejohanan Asia di Kuala Lumpur hujung bulan ini sekali gus sebagai persediaan awal ke Sukan Asia.

“Kejayaan di Gold Coast meninggalkan kenangan indah buat kami. Kami mensasarkan satu emas dalam acara berpasukan tapi saya berjaya menghadiahkan dalam acara individu dan ia cukup memuaskan hati kami semua.

“Satu pencapaian yang cukup bermakna buat saya dan rakan-rakan untuk terus cemerlang di Sukan Asia.

“Bagaimanapun Sukan Asia lagi sukar. Banyak negara yang mempunyai atlet berprofil tinggi seperti China, Korea, Uzbekistan, Kazakhstan, Jepun yang mengambil bahagian,” katanya sejurus tiba di klia2 dari Gold Coast, di sini, hari ini.

Amy berkata Kejohanan Asia di Bukit Jalil hujung bulan ini akan dijadikan medan untuk gimnas negara melihat kehebatan pesaing di Sukan Asia nanti.

Katanya, setiap kejohanan mempunyai tahap kesukaran yang berbeza dan itu ditempuhinya empat tahun lalu ketika Komanwel Glasgow.

Pada temasya itu, dia sekadar meraih pingat gangsa dalam acara berpasukan sekali gus membuatnya tekad untuk menukar perasaan kecewa kepada kegembiraan kali ini.

Amy berkata, apa yang penting adalah sejauh mana kemampuan gimnas untuk melakukan rutin sempurna tanpa sebarang kesilapan adalah penting.

Skuad gimnas negara menutup tirai acara gimrama dengan satu emas dalam acara reben selain tiga perak dan tiga gangsa.

Amy menyumbangkan emas dalam acara reben manakala perak dalam acara berpasukan serta dua gangsa (cara gelung dan individu keseluruhan)

Sie Yan pula memenangi perak dalam acara berpasukan, belantan dan bola serta gangsa reben manakala Izzah raih perak dalam acara berpasukan.

Kali terakhir skuad gimrama meraih emas adalah pada Sukan Komanwel 2010 di New Delhi menerusi Elaine Koon yang meraih satu emas, satu perak dan dua gangsa.

 

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 April 2018 @ 12:39 PM