IRFAN Bakti Abu Salim
IRFAN Bakti Abu Salim
Rodly Fadly

Kuala Lumpur: Jurulatih FELDA United Irfan Bakti Abu Salim akan merombak kesebelasan utama apabila pasukan itu melayan kunjungan Pahang pada saingan Liga Super di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, Sabtu ini selepas kecundang 2-3 di tangan PKNS pada aksi Piala FA, minggu lalu.

Tanpa menyembunyikan kekecewaannya selepas The Fighters gagal ke suku akhir Piala FA, Irfan berkata, beliau tidak boleh bertoleransi dengan anak buahnya yang kurang memberi komitmen semasa perlawanan. Oleh itu, beliau akan merehatkan sebahagian besar pemain termasuk pemain senior.

“Saya amat kecewa dengan cara kami tewas kepada PKNS. Tidak dinafikan PKNS memang pasukan yang kuat walaupun bermain dalam Liga Perdana tapi kami kalah kerana kesilapan sendiri.

“Selepas mendahului pada babak pertama, pemain seolah-olah ambil mudah serta hilang tumpuan. Mereka membiarkan pemain lawan menguasai permainan terutama penjaring gol penyamaan (Gabriel Guerra), yang dibiar bebas merencanakan gerakan.

“Akibatnya lawan menjaringkan dua gol yang sepatutnya boleh dielakkan. Bila kena lagi satu gol, dengan kedudukan 3-1, memang sukar untuk mengejar.

“Apa yang mengecewakan saya bukan seorang dua pemain bersikap begitu tapi boleh dikatakan sebahagian besar. Alasan pemain letih kerana jadual padat tidak boleh diterima kerana semua pasukan melalui situasi sama.

“Oleh itu, pemain harus dipersalahkan. Jadi, saya tidak mempunyai pilihan kecuali merehatkan mereka dan memberi peluang kepada pemain lain beraksi menentang Pahang nanti.

“Ini bukan bermakna saya memandang rendah keupayaan Pahang hingga berani untuk membuat rombakan besar-besaran tapi ia demi menjamin FELDA memperoleh tiga mata.

“Saya tidak pernah fikir apa yang sedang dilalui oleh Pahang sekarang sebaliknya apa yang saya bimbangkan adalah prestasi pasukan saya sendiri.”

FELDA kini menghuni tangga ketiga Liga Super, ketinggalan satu mata di belakang Selangor dan Johor DT yang memiliki 10 mata selepas empat perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Mac 2016 @ 9:16 AM