KIM Swee (dua kanan) tidak dapat kerjasama daripada pasukan negeri bentuk skuad mantap.
KIM Swee (dua kanan) tidak dapat kerjasama daripada pasukan negeri bentuk skuad mantap.
Aziman Rosdi

Kuala Lumpur: Jurulatih skuad bawah 22 tahun negara (B-22) Datuk Ong Kim Swee mempunyai alasan paling kukuh untuk risau dengan masa depan pasukannya.

Ini kerana apa yang beliau bimbangkan sebelum ini, nampak benar-benar akan berlaku apabila kemungkinan besar terpaksa membawa skuad kedua ke saingan Kelayakan Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) B-23 di Bangkok pada 19 hingga 23 Julai ini.

Selepas senarai 26 pemain yang dipanggil untuk menyertai kem latihan pusat pada 5 Julai ini dikeluarkan pada 23 Jun lalu, sudah ada pasukan negeri dan kelab tidak senang duduk.

Menurut pengurus pasukan B-22 Datuk Wira Yusoff Mahadi, beliau dimaklumkan ada pasukan yang enggan melepaskan pemain untuk menghadapi saingan Liga Super dan Piala Malaysia bulan depan.

“Saya ada bercakap dengan jurulatih Kim Swee, beliau mula risau dengan situasi ini. Ada pasukan yang sudah menyatakan bahawa mereka tidak boleh melepaskan pemain. Tapi setakat ini saya tidak ada maklumat tepat jumlah pasukan dan pemain terbabit.

“Saya akan cuba dapatkan maklumat mengenai perkara ini dalam sehari, dua ini sebelum apa-apa langkah susulan dibuat,” katanya kepada Arena Metro.

Bagaimanapun, difahamkan sekurang-kurangnya lapan pemain tidak akan mendapat pelepasan dan apa yang memeritkan Kim Swee adalah pemain berkenaan adalah tonggak pasukan.

Pada saingan kelayakan kali ini, Malaysia mempunyai peluang cerah untuk layak ke pusingan akhir di China tahun depan apabila diundi dalam Kumpulan H bersama tuan rumah Thailand, Indonesia dan Mongolia.

Yusoff yang juga Timbalan Presiden FAM menyatakan bahawa mereka tidak boleh berbuat apa-apa andai ada pasukan tidak mahu melepaskan pemain.

“Kita tak boleh ambil tindakan, tiada peraturan untuk kita mengambil tindakan ke atas pasukan ini. Cuma kita harapkan pertimbangan dan tolak ansur mereka demi kepentingan negara.

“Memang kita ada senarai asal 50 pemain, tapi apa yang kita harapkan di sini adalah untuk membawa pemain terbaik ke Bangkok,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Jun 2017 @ 12:59 PM