ADIB Zainuddin
ADIB Zainuddin
Aziman Rosdi

Kuala Lumpur: Kapten skuad bawah 22 tahun negara (B-22) Adib Zainuddin (gambar) menegaskan segala pujian dan imbuhan diterima tidak menjadikan pemain besar kepala sebaliknya semangat mereka semakin membara untuk meneruskan misi memenangi emas bola sepak bermula Isnin ini.

Pemain pertahanan tengah itu berkata, semua pemain kini fokus dalam mempersiapkan diri untuk menggalas harapan jutaan rakyat Malaysia bagi merampas kembali emas yang kali terakhir dimenangi pada temasya Sukan SEA Jakarta enam tahun lalu.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada Sultan Johor (Sultan Ibrahim Iskandar) dan pihak pengurusan FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) kerana memberi imbuhan kepada kami atas kejayaan di Bangkok sebelum ini.

“Selain imbuhan, pelbagai pujian dan sokongan yang kami terima, tapi apa yang penting adalah meneruskan kemenangan. Kami inginkan pasukan yang sangat kuat, kami tahu apabila berjaya, akan ada perkara positif, imbuhan atau apa saja yang akan menyusul selepas itu.

“Pada saya semua pemain pandai jaga diri, saya tak risau perkara ini. Kami tahu akan menghadapi tugas sukar, ketika ini kami bersaing secara sihat dan semua mahu mendapat tempat dalam skuad Sukan SEA nanti,” katanya.

Skuad B-22 sudah menikmati erti kejayaan selepas mara ke pusingan akhir Kejohanan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) B-23 di China tahun depan menerusi saingan kelayakan di Bangkok bulan lalu.

Atas kejayaan melakar sejarah buat kali pertama itu, setiap anak buah Datuk Ong Kim Swee menerima imbuhan RM25,000 daripada FAM dan RM6,000, Sultan Ibrahim.

Dengan hanya berbaki empat hari sebelum perlawanan pertama Kumpulan A menentang Brunei di Stadium Shah Alam, Adib percaya kesungguhan pemain menyukarkan Kim Swee untuk memilih senarai akhir 20 pemain yang akan diumumkan esok.

“Kami ada beberapa hari lagi untuk berlatih. Kami ingin tunjukkan kami pasukan mantap dan melihat kepada saingan ketika ini, tiada pemain yang sudah terjamin kedudukan dalam pasukan,” kata pemain FELCRA FC itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Ogos 2017 @ 11:11 AM