PING Loong (belakang tengah) meraikan kejayaan dua pasukan terbaik kategori B-12 di Kota Bharu.
PING Loong (belakang tengah) meraikan kejayaan dua pasukan terbaik kategori B-12 di Kota Bharu.
Mohd Badlishah Mohd Ali


Kota Bharu: “Saya langsung tidak menyangka menjuarai peringkat Kelantan apatah lagi layak ke Grand Final,” itu luahan pengendali Roof Top Futsal A, Mohamad Amirul Ibtisam Atan apabila muncul juara selepas menewaskan Wameza FC 4-3 pada aksi final kategori bawah 12 tahun Karnival Futsal MILO Hidup Bola 2016 (KFMHB) di Orbit de Futsal, Kota Bharu, baru-baru ini.

Kedua-dua pasukan berjaya menghiburkan penonton dengan aksi berbalas serangan hingga mencipta tujuh jaringan.

Final kali ini menyaksikan rezeki milik Roof Top Futsal A yang menang 4-3 hasil jaringan dua gol Mohd Adam Ilham dan Mohd Fahmi Irfan Mohd Hamdi.

Sebelum itu pada separuh akhir Roof Top Futsal A muncul pasukan pertama layak ke final selepas membenam cabaran Zoom FC 2-1 manakala Wameza FC mengalahkan Eagles FC juga dengan jaringan sama.

“Saya sentiasa memberi motivasi, semangat kepada pemain setiap kali mereka memasuki gelanggang. Mereka juga mempunyai tahap disiplin tinggi dan ini antara punca kejayaan pasukan ini,” kata Amirul Ibtisam.

Hasil kejayaan itu Roof Top Futsal A menerima wang tunai RM800, pingat serta barangan Figos manakala Wameza FC selaku naib juara menerima RM600, pingat dan barangan Figos.

Kedudukan ketiga bersama menjadi milik Zoom FC dan Eagles FC yang masing-masing menerima RM400.

Kategori bawah 16 tahun menyaksikan juara menjadi milik Mansrina United selepas menang tipis 2-1 ke atas TCOT Junior. Kedua-dua gol Mansrina United hasil sumbangan Afiq Adhwa Zunaidi.

Pada separuh akhir Mansrina United berjaya memadam impian Genting Petronas untuk ke final selepas menang 3-2 manakala TCOT Junior menewaskan PKNK FC 2-0.

Anugerah pemain terbaik final menjadi milik Mohamad Erfan Fitri manakala penjaga gol terbaik disandang oleh Muhamad Farid Mat Zaid (Mansrina United).

Roof Top Futsal A, Wameza FC, Mansrina United dan TCOT Junior akan mewakili Kelantan bersaing di Grand Final di Kuala Lumpur pada 27 November ini.

Pengurus pasukan Mansrina United, Nik Mansor Ismail tekad mengemudi pasukannya untuk muncul juara.

“Tahun lalu kami berada di tangga ketiga Grand Final dan tahun ini kalau boleh mahu mumcul juara, insya-Allah,” katanya.

Hadiah kemenangan disampaikan oleh Pengurus Pemasaran Sukan Nestle Product Sdn Bhd, Ng Ping Loong.

Siri ketujuh KFMHB akan diadakan di Sports Planet Kuching, Sarawak pada 24 September ini diikuti siri kelapan di D’Futsal Centre Kepala Batas, Kedah pada 1 Oktober dan D’Futsal Centre Kangar (2 Oktober).

Maklumat lanjut sila layari www.milo.com.my atau hubungi Nik Radzi di talian 019-3519934 dan 019-9444334.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 September 2016 @ 8:26 AM