PENGARAH Urusan Amirna Pills, Amran Othman (dua dari kiri) menyampaikan trofi kepada Apih.
PENGARAH Urusan Amirna Pills, Amran Othman (dua dari kiri) menyampaikan trofi kepada Apih.
Meor Riduwan Meor Ahmad


Pendang, Kedah: Peserta Malaysia menyapu bersih semua kategori dipertandingkan menewaskan pencabar dari Thailand pada Kejohanan Raja Lebah International Fight Night 2017 di Dewan Rakan Sukan Tanah Merah, baru-baru ini.

Kejohanan anjuran Kelab Tomoi Raja Lebah (KTRL), Badan Amal Tarbiah Sejagat (BATAS) Pendang dengan kerjasama Pejabat Daerah Pendang itu mempertandingkan 12 kategori Muay Thai dan dua silat.

Jurucakap kejohanan, Muhamad Shafiri Mahmud berkata, peserta Malaysia mengatasi pencabar mereka dalam sembilan kategori Muay Thai dan dua silat manakala tiga lagi kategori menyaksikan peserta tempatan berentap sesama sendiri.

Katanya, pada malam pertama, Syamira dari KTRL, Super Jet (Titi Akar, Pendang), Apirie (Sik Muay Keris) dan Pit Burung (KTRL) menewaskan lawan masing-masing iaitu peserta Thailand, Payafun, Kaswari (Raja Boxing Sungai Tiang), Razif (Labah Mas Baling) dan peserta dari Bangkok Thailand (Feri Fung).

“Turut menang Bok Bong dari Kelantan dan pesilat Kedah, Nur Izzudin, masing-masing mengatasi Phiang (Bangkok) dan pesilat Thailand, Jira Phat.

“Perlawanan kemuncak pada malam pertama menyaksikan pesilat KTRL, Haiqal Zaher menewaskan pencabar dari Thailand, Titiek sekali gus merangkul Piala Ahli Parlimen Pendang serta menerima Anugerah Peserta Paling Bernilai,” katanya.

Shafiri berkata, pada malam kedua, Najmi Sobangdit (Changlun) menewaskan Faiz (Padang Terap) diikuti Daniel Muntaza (Kambiz Kuala Lumpur) mengatasi Faiz (Helang Utara Padang Terap manakala Hanis Sobangjid (Changlun) menewaskan Manyok (Thailand).

“Bagi merebut Piala Amirna Pills, peserta dari Pagar Nesi, Kelantan, Apih menewaskan Chat Saming (Thailand) dengan pukulan TKO di pusingan pertama manakala Syam Maula (Red Army Kuala Lumpur) membawa pulang Piala Farmasi Pendang selepas mengatasi peserta Thailand, Perapol.

“Zahari Ishak dari KTRL pula menewaskan Pat Wang Hua (Thailand) sekali gus membawa pulang Piala Datuk Plg Al Rawa (Pengerusi BATAS Malaysia),” katanya.

Beliau berkata, pesilat negara, Aizat Akhbar pula menewaskan pesilat Thailand, Ketisak dalam perlawanan terakhir.

“Semua pemenang menerima trofi, sijil penyertaan dan wang tunai. Kami berterima kasih kepada penaja antaranya Ahli Parlimen Pendang, Datuk Othman Abdul; Amirna Pills, Farmasi Pendang dan Otai Burger,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Jun 2017 @ 4:38 AM