MASZLEE Malik bersama pemenang keseluruhan kategori antarabangsa, Pusat Sukan Tumpuan (PST) Malaysia dalam Kejohanan Kejuaraan Silat Antarabangsa dan Silat Seni Asli Terbuka Edisi Ke-10 2019 hari ini. FOTO Bernama
MASZLEE Malik bersama pemenang keseluruhan kategori antarabangsa, Pusat Sukan Tumpuan (PST) Malaysia dalam Kejohanan Kejuaraan Silat Antarabangsa dan Silat Seni Asli Terbuka Edisi Ke-10 2019 hari ini. FOTO Bernama
Adnan Ibrahim


UNIVERSITI Teknologi Mara (UITM) dinobatkan sebagai juara peringkat Institut Pendidikan Tinggi (IPT) Tempatan apabila membolot 12 pingat emas, dua perak dan dua gangsa daripada 108 pingat yang dipertandingkan dalam Kejohanan Silat Antarabangsa dan Kejuaraan Silat Seni Asli Terbuka Edisi ke-10 di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) yang berakhir semalam.

Dalam kejohanan sama, Pasukan Pusat Sukan Tumpuan (PST) Malaysia berbangga dengan 11 emas, dua perak dan dua gangsa yang diperolehi daripada 74 pingat yang dipertandingkan bagi Kategori Antarabangsa untuk bergelar juara peringkat Institut Pendidikan Tinggi (IPT) Antarabangsa.

Unit Sukan, Cawangan Operasi Strategik, Bahagian Perancangan dan Penyelarasan, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam kenyataannya berkata, kejohanan selama enam hari bermula 25 November lalu itu mengetengahkan aksi lebih daripada 70 pasukan membabitkan antaranya 10 pasukan bagi kategori IPT Antarabangsa.

Katanya, dalam kategori IPT Tempatan sebanyak 27 pasukan turut serta selain 37 pasukan bagi kategori Silat Seni Asli Terbuka yang membabitkan penyertaan daripada enam buah negara iaitu Thailand, Singapura, Indonesia, Belanda, Yaman dan Malaysia selaku tuan rumah.

Untuk kategori individu, peserta tuan rumah, Putra Syaid Hidayatullah Ramli dari UTHM dianugerahkan sebagai Pesilat Terbaik Putra peringkat IPT Tempatan manakala Nur Amira Izzati Khalid dari UITM terpilih sebagai peserta Terbaik Putri.

Bagi kategori IPT Antarabangsa, Muhammad Amierul Ashraf Muhammad dari pasukan PST Malaysia diangkat sebagai Pesilat Terbaik Putra manakala Nur Adilah Muhamad Zamri juga dari pasukan PST Malaysia terpilih sebagai Pesilat Terbaik Putri.

KPM akan sentiasa memberikan sokongan penuh kepada penganjuran kejohanan sukan yang membantu kepada pembangunan sukan di IPT.

Dengan adanya penganjuran seperti ini dilihat mampu meneruskan kecemerlangan prestasi atlet negara di peringkat tertinggi bukan hanya di peringkat Sukan Universiti ASEAN dan Sukan Universiti Dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Disember 2019 @ 4:45 AM