Mohd Sah Muda

Mersing: SK Bandar Endau (SKBE) Mersing Johor mengungguli Kejohanan Bola Baling Perempuan Bawah 12, Majlis Sukan Sekolah Daerah (MSSD) Mersing selepas menang besar 8-1 ke atas SK Tenggaroh 03 (SKT03) pada aksi final di Dewan Pusat Air Tawar Endau, baru-baru ini.

Pada peringkat awal pasukan itu membelasah SK Air Tawar Endau 14-1 selain SK Tenglu 9-1 dan SKT03 6-1 untuk muncul juara Kumpulan B.

Pada separuh akhir, sekolah itu mengatasi juara tahun lalu SK Teluk Lipat 8-2.

Pengurus pasukan Suraini Andi Mappeasse berkata, pada perlawanan akhir anak buahnya tidak berdepan masalah menundukkan SKT03 kerana pasukan sekolah itu pernah dikalahkan di peringkat kumpulan.

“Kami menghasilkan lima gol pada babak pertama dan babak kedua tiga gol lagi tapi pada masa sama, membenarkan pihak lawan membolosi gawang sekali saja,” katanya.

Beliau berkata, dalam kejohanan sama tahun lalu pasukan sekolah itu hanya menduduki tempat ketiga.

Jurulatihnya Rosliza Abdul Manap berkata, latihan hanya diadakan selama lima hari sebelum kejohanan, akibat gangguan cuaca tetapi ia tetap membantu pasukan itu muncul juara tahun ini.

“Lebih membanggakan kami pemain sekolah ini Rabiatul Nadia Ramli, 12, dinobat sebagai penjaring terbanyak kejohanan dengan 28 gol,” katanya.

Beliau berkata, beberapa pemain sekolah itu terpilih untuk mewakili MSSD Mersing di peringkat MSS Johor tidak lama lagi.

Rosliza berkata, beliau berazam untuk mempertahankan kejuaraan itu pada masa depan dengan membentuk pasukan lebih awal tahun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Jun 2017 @ 8:50 AM