PEMAIN ceria  mempamerkan pingat   dimenangi.
PEMAIN ceria mempamerkan pingat dimenangi.

Muar: Pasukan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Sri Amar Diraja Muar muncul juara bola sepak bawah 17 apabila menewaskan SMK Mersing untuk menjuarai Kejohanan Bola Sepak Juara-juara Sekolah 100Plus Super Cup Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Johor (MSSJ) 2015.

Dalam perlawanan itu, SMK Dato’ Sri Amar Diraja atau dikenali sebagai Sedarian Tigers menundukkan SMK Mersing menerusi penentuan sepakan penalti 3-2 selepas kedudukan terikat 2-2 masa penuh perlawanan.

Sebelum itu, Sedarian Tigers menewaskan SMK Tunku Abdul Rahman Putra Kulai 2-0 di separuh akhir.

Kejohanan ini menampilkan 12 pasukan yang menjadi juara peringkat Majlis Sukan Sekolah-sekolah Daerah (MSSD) membabitkan seluruh daerah di negeri Johor.

Sedarian Tigers adalah juara bagi MSSD Muar dalam kejohanan yang berlangsung pada April lalu.

Pengurus pasukan Mohamad Shukri Ismail berkata, pemain memberikan komitmen 100 peratus semasa latihan dan menunjukkan kesungguhan untuk memenangi kejohanan itu kerana tidak pernah muncul juara.

“Sejarah tercipta untuk Muar amnya dan pasukan sekolah khususnya kerana kami melakukannya (muncul juara) buat kali pertama,” katanya.

Ketua jurulatih Mohd Safian Pathil@Abu Bakar pula berkata, corak permainan menyerang diamalkan pasukannya banyak membantu mereka memperoleh gol.

“Berpegang kepada falsafah pertahanan terbaik ialah menyerang, disiplin itu sentiasa diterapkan dalam diri dan minda pemain agar sentiasa mencari peluang untuk menjaringkan gol agar kelebihan berpihak kepada kami,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 September 2015 @ 8:33 AM