PASUKAN SMKUH Endau  dinobat juara MSSD Mersing.
PASUKAN SMKUH Endau dinobat juara MSSD Mersing.

Mersing: Penantian SMK Ungku Husin (SMKUH) Endau, Mersing sejak 21 tahun lalu, berakhir apabila dinobatkan juara Kejohanan Bola Sepak Bawah 18 tahun Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Daerah (MSSD) Mersing selepas menumpaskan juara bertahan, SMK Sri Mersing (SMKSM) 1-0 di Stadium Mersing baru-baru ini.

Kejohanan yang disertai lapan pasukan itu dijalankan di dua venue berbeza iaitu di SMK Anjung Batu dan Stadium Mersing.

Pada peringkat separuh akhir, SMKUH menumpaskan SMK Mersing 3-2 manakala SMKSM pula menumpaskan SMK Tenggaroh A (SMKTA) 2-0.

Di final, SMKUH melancarkan serangan sebaik wisel permulaan dibunyikan tetapi setiap asakan mereka pantas dipatahkan SMKSM dan SMKUH juga perlu berterima kasih kepada ketangkasan penjaga gol Syafiq Ikmal Zulkarnaien yang bijak menjaga gawangnya.

Kedua-dua pasukan saling bertukar serangan tetapi gagal menghasilkan jaringan hinggalah penyerang SMKUH Mohamad Saiful Ikmal muncul wira pasukannya apabila menjaringkan gol tunggal perlawanan ketika permainan berbaki tiga minit.

Jurulatih SMKUH Danial Isali Mohamad Razi berkata, anak buahnya yang dilatih sejak di tingkatan satu itu menjalani latihan pada dua sesi kira-kira dua bulan sebelum pertandingan.

“Berkat kerjasama semua pihak termasuk ibu bapa, guru dan pentadbiran sekolah, kami berjaya muncul juara,” katanya.

Beliau berkata, beberapa pemainnya terpilih mewakili MSSD ke kejohanan sama di peringkat MSSJ yang akan diadakan tidak lama lagi.

Lebih manis lagi, Syafiq Ikmal turut dinobatkan sebagai penjaga gol terbaik kejohanan.

Sementara itu, Pengerusi Teknik Bola Sepak (Menengah) MSSD Mersing Amzah Ismail berkata, seramai 20 pemain akan dipanggil untuk menjalani latihan pusat selepas kejohanan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 April 2017 @ 9:59 AM