PASUKAN lelaki B-18 SMK Ungku Husin harumkan nama sekolah.
PASUKAN lelaki B-18 SMK Ungku Husin harumkan nama sekolah.
Oleh Zul Ikhwan Muhammad

Mersing: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ungku Husin, Endau mengungguli Kejohanan Bola Baling Majlis Sukan Sekolah-Sekolah (MSSD) daerah Mersing apabila pasukan lelaki bawah 18 tahun muncul juara manakala pasukan perempuan kategori sama pula menduduki tempat kedua yang berlangsung di SMK Mersing, di sini, baru-baru ini.

Pada perlawanan akhir kategori lelaki, pasukan SMK Ungku Husin berjaya menewaskan pasukan SMK Tenggaroh 3-1 manakala pasukan Maktab Rendah Sains Mara Mersing menamatkan saingan di tempat ketiga.

Bagi kategori perempuan yang dijalankan secara liga pula, SMK Tenggaroh berjaya menebus kekecewaan pasukan lelakinya apabila muncul juara diikuti pasukan SMK Ungku Husin dan SMK Anjung Batu.

Pengurus pasukan SMK Ungku Husin Noor Zaffiza Muhamad Sairi berkata, kejayaan pasukannya muncul juara dan naib juara kedua-dua kategori itu membuktikan kesungguhan dan komitmen setiap pemain yang terpilih.

“Hasil kerja keras dan latihan intensif sejak awal tahun membolehkan pasukan kami hampir merangkul kejuaraan bagi kedua-dua kategori, namun pasukan perempuan kami sekadar berpuas hati di tempat kedua,” katanya.

Beliau berkata latihan intensif akan diteruskan bagi membawa cabaran pasukan ke peringkat negeri tidak lama lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Februari 2016 @ 7:23 AM