CHONG Wei (kiri) mengucapkan tahniah kepada Zii Jia. FOTO Lee Chong Wei
CHONG Wei (kiri) mengucapkan tahniah kepada Zii Jia. FOTO Lee Chong Wei
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei mengakui bahawa beliau sendiri sudah alami apa yang peminat lalui sebelum ini iaitu debaran pada paras tertinggi terutama ketika menyaksikan perlawanan akhir ataupun pertemuan penting.

Sebelum ini peminat badminton negara tidak senang duduk melihat Chong Wei beraksi di gelanggang terutama dalam perlawanan besar menentang seteru utama seperti Lin Dan dan Chen Long dari China.

Chong Wei melalui laman sosial, Facebook meletakkan hashtag #laginervoustengokboladrpmainrupanya. (Ternyata menonton lebih tertekan daripada bermain).

"Tahniah Lee Zii Jia!. Juara baru Seluruh England!. Persembahan yang hebat dan kelihatan anda sudah berjaya kembali menemui rentak permainan. Teruskan berusaha," kata Chong Wei yang juga juara Seluruh England 2010, 2011, 2014 dan 2017.

Juara Seluruh England 2003, Muhammad Hafiz Hashim turut tidak ketinggalan mengucapkan tahniah kepada pemain kelahiran Alor Setar itu yang mengalahkan Viktor Axelsen dari Denmark dalam aksi final semalam.

"Seorang lagi juara Seluruh England. Tahniah Lee Zii Jia. Piala berprestij tu, bukan senang nak genggam dan tahniah juga kepada Axelsen. Aksi yang mantap dalam perlawanan akhir," kata Hafiz di laman sosial, Facebook.

Selain Chong Wei, Hafiz dan Zii Jia Malaysia turut melahirkan juara Seluruh England seperti Wong Peng Soon (1951, 1952, 1955), Datuk Eddy Choong (1953, 1954, 1956, 1957) dan Tan Aik Huang (1966).

Zii Jia melakar sejarah apabila muncul juara Seluruh England selepas menewaskan juara bertahan, Axelsen 30-29, 20-22, 21-9.

Kejayaan itu pasti cukup manis untuk Zii Jia kerana dapat membalas dendam selepas dikecewakan Axelsen pada aksi separuh akhir di pentas sama tahun lalu.

Zii Jia muncul pemain pertama negara memenangi kejohanan berprestij itu selepas kali terakhir dimenangi bekas jaguh perseorangan negara, Chong Wei pada 2017.

Ia juga adalah kemenangan kedua Zii Jia ke atas Axelsen sepanjang lima pertemuan antara mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Mac 2021 @ 9:33 AM