myMetro

Kuala Lumpur: Pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia (gambar) terus mempamer persembahan mantap di Terbuka Taiwan apabila berjaya mara ke suku akhir selepas menumpaskan Siril Verma dari India, semalam.

Zii Jia yang akan mewakili negara di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 Ogos depan, hanya mengambil masa 28 minit untuk mencatat kemenangan 21-12, 21-16 ke atas pemain pilihan ke-16 kejohanan itu.

Menurutnya, walaupun menang, dia mengaku agak berdebar kerana menjangkakan perlawanan bakal berlangsung sengit kerana ini kali pertama berdepan Siril.

“Saya memenangi set pertama 21-12 namun di set kedua saya ketinggalan 13-16. Selepas itu saya mula berazam untuk memberikan permainan terbaik tanpa perlu memikirkan apa keputusan yang akan berlaku. Akhirnya saya berjaya memenangi set kedua,” katanya ketika dihubungi Arena Metro semalam.

Menantinya di suku akhir hari ini ialah wakil Thailand Khosit Phetpradab yang berjaya mengalahkan Woo Seung Hoon dari Korea Selatan 5-21, 21-12, 21-10.

Seorang lagi perseorangan lelaki negara, Liew Daren turut mara ke suku akhir selepas menumpaskan pemain tuan rumah dan juga pilihan ketiga, Hsu Jen Hao 21-17, 21-17.

Pasangan beregu lelaki negara dan pilihan keempat kejohanan Chooi Kah Ming-Low Juan Shen berjaya mara selepas mengalahkan Lin Shang Kai-Yang Po Hsuan dari Taiwan 21-17, 21-18.

Pilihan ketiga kejohanan, Goh Jin Wei menumpaskan Kim Hyang Im dari Korea Selatan 21-6, 21-9 dan akan berdepan pemain tuan rumah, Pai Yu Po hari ini.

Wakil beregu wanita negara yang juga pilihan ketiga, Lim Yin Loo-Yap Cheng Wen mara selepas menumpaskan Wu Yi Ting-Yuen Sin Ying dari Hong Kong 21-16, 21-17.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Jun 2017 @ 11:51 AM