AFP

Melbourne: Rafael Nadal (gambar) mengalahkan Milos Raonic untuk layak ke separuh akhir Grand Slam pertamanya dalam tempoh tiga tahun di Terbuka Australia, semalam sambil Serena Williams mengintai peluang untuk ke final bertemu kakaknya Venus.

Nadal tidak pernah berjaya ke separuh akhir kejohanan utama sejak menjulang gelaran Grand Slam ke-14 di Terbuka Perancis 2014 tetapi semalam, dia langsung tidak menunjukkan tanda-tanda akan mengalah di tangan bintang Kanada Raonic yang menduduki tangga ketiga dunia.

Nadal menjerit kepuasan selepas melengkapkan catatan kemenangan 6-4, 7-6 (9/7), 6-4 dan akan bertemu Grigor Dimitrov di separuh akhir dengan musuh tradisi Roger Federer mungkin menantinya di final.

“Walaupun karier saya memang menarik, saya juga mempunyai banyak kenangan pahit,” kata Nadal yang mengalami kecederaan tahun lalu dan gagal layak ke mana-mana suku akhir acara Grand Slam.

“Itu yang menyebabkan saya lebih menikmati kemenangan ini.”

Nadal memiliki rekod 7-1 dengan Dimitrov dan pemain pilihan ke-15 dari Bulgaria itu digelar ‘Baby Fed’ kerana corak permainannya menyamai Federer yang sebelum itu mengatasi pemain Belgium David Goffin 6-3, 6-2, 6-4.

Federer akan menentang rakan senegara Stan Wawrinka hari ini untuk mencatat pertemuan dengan Nadal buat kali kesembilan di final Grand Slam - yang pertama sejak final Terbuka Perancis 2011.

Kategori wanita juga seolah-olah membawa kenangan silam selepas Serena Williams mengatasi pemain Britain Johanna Konta 6-2, 6-3 untuk melangkah ke separuh akhir bertemu Mirjana Lucic-Baroni – 19 tahun selepas kali terakhir mereka bertemu.

Kali terakhir Serena, 35, bertemu Mirjana ialah di pusingan kedua Wimbledon 1998 dan ketika itu masing-masing berusia 16 tahun serta masih belum pernah memenangi apa-apa gelaran.

Kini, Serena sedang memburu rekod Era Terbuka dengan catatan 23 kejayaan Grand Slam selain peluang melonjak semula ke tangga teratas dunia manakala separuh akhir ini adalah yang pertama buat pemain Croatia itu sejak 1999.

Mirjana yang tidak diletakkan sebagai pemain pilihan, menganggap kejayaannya ke atas pemain nombor lima dunia dari Czech Karolina Pliskova sebagai sesuatu yang sangat mengejutkan.

“Saya tidak percayakan ini. Ia sungguh gila,” katanya yang tidak bermain di mana-mana kejohanan sejak dia membantu membebaskan bapa yang dipenjara di Croatia.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 January 2017 @ 9:26 AM