Melbourne: Serena Williams (gambar) kian hampir untuk melakar kejayaan Grand Slam buat kali ke-23 selepas melangkah ke final Terbuka Australia bertemu kakaknya Venus.

Serena yang juga pemain nombor dua dunia itu membuktikan dirinya jauh lebih baik berbanding pemain Croatia yang tidak diletakkan sebagai pemain pilihan, Mirjana Lucic-Baroni. Mirjana tewas 6-2, 6-1 dalam tempoh 50 minit.

Selepas mengalahkan lawan yang kali pertama ditemui sejak 1998, Serena, 35, kekal berada di landasan untuk menjulang gelaran Australia buat kali ketujuh dan dia bakal memintas rekod Steffi Graf di era Terbuka dengan 22 kemenangan di kejohanan utama.

Dia bagaimanapun enggan bercakap mengenai peluang memintas catatan legenda Jerman itu walaupun berpeluang cerah untuk melakukannya.

Jika muncul juara, dia juga kembali merampas kedudukan selaku pemain nombor satu dunia yang dipegang Angelique Kerber sejak tahun lalu.

Kini, hanya Venus yang menjadi penghalang selepas kakaknya itu mengalahkan rakan senegara Coco Vandeweghe 6-7 (3/7), 6-2, 6-3 dalam satu lagi separuh akhir.

Ia akan membuka lembaran baru dalam sejarah keluarga mereka apabila bertemu buat kali kesembilan di final Grand Slam dan kali terakhir mereka berbuat demikian ialah di Wimbledon 2009. Ketika itu, Serena menang dan memiliki kelebihan 6-2.

“Saya tidak melihat aksinya (Venus). Memang saya bangga kerana dia adalah sumber inspirasi saya. Dia kakak saya,” kata Serena.

“Dialah dunia saya, hidup saya, dia segala-galanya buat saya. Tidak ada perkara lain yang menggembirakan selain kami berdua layak ke final. Ia adalah impian yang menjadi kenyataan.”

Serena pernah berkata bahawa jika Venus layak ke final, dia pasti lebih tertekan dan kini, apa yang dibimbangi itu sudah menjadi kenyataan.

“Saya seronok sebab saya percaya bahawa penentuan juara ini terletak di dalam tangan saya,” katanya.

“Percaya atau tidak, ia memberi sedikit tekanan tetapi pasti seronok kalau saya menang.” - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 January 2017 @ 5:18 AM