MARINA mencuba baju sekolah pada anaknya ketika membeli kelengkapan sekolah di sebuah pasar raya di Jalan Tuanku Abdul Rahman.  FOTO Fathil Asri.
MARINA mencuba baju sekolah pada anaknya ketika membeli kelengkapan sekolah di sebuah pasar raya di Jalan Tuanku Abdul Rahman. FOTO Fathil Asri.
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Rata-rata ibu bapa mengamalkan cara masing-masing untuk berbelanja secara berhemah bagi membeli pakaian sekolah anak mereka, susulan pembukaan sesi persekolahan baharu minggu depan.

Tinjauan Harian Metro di sebuah gedung pakaian terkemuka di sini mendapati, ada dalam kalangan ibu bapa yang menyimpan duit lebih awal untuk perbelanjaan sekolah anak, membuat tinjauan harga kelengkapan secara dalam talian, selain menggunakan pakaian anak lain yang masih elok

Pegawai bank, Haizuran Saat, 44, berkata, dia memperuntukkan sebanyak RM1,800 untuk kelengkapan sekolah tiga anaknya termasuk baju dan kasut

"Untuk seorang saya peruntukkan RM600 seperti membeli baju sekolah dan kasut, apatah lagi anak saya ada yang sekolah berasrama.

"Disebabkan peruntukan yang tinggi ini, saya menyimpan wang lebih awal. Kalau dapat gaji, saya asingkan sedikit untuk perbelanjaan membeli pakaian anak-anak saya yang bersekolah," katanya ketika ditemui Harian Metro di sini hari ini.

Dia yang tinggal di Ampang berkata, tiga anaknya yang bersekolah masing-masing berumur 16, 14 dan 11 tahun.

Haizuran juga mengakui menambah peruntukan persekolahan anaknya kira-kira 30 peratus disebabkan harga barangan yang naik.

"Barang-barang sekolah ini tiap-tiap tahun kita kena beli. Nak tak nak kena beli juga walaupun jika ada kenaikan," katanya.

Guru, Marina Mohamed, 41, pula berkata, tiga anaknya akan bersekolah bermula Mac ini dan kos membeli seragam sekolah mencecah RM800.

Katanya, dia juga mengamalkan meninjau harga semua kelengkapan berkaitan secara dalam talian, sebelum mengunjungi kedai supaya dapat membeli pada harga yang berpatutan.

"Kalau ikut harga barang semasa, memang ada kenaikan. Tetapi kita kena bijak memilih tempat untuk membeli.

"Tempat yang saya beli di sini antara disyorkan dan dikongsi warganet. Kita kena membuat tinjauan dan menjadi pengguna yang bijak dalam memilih tempat menawarkan harga berpatutan," katanya.

Katanya, tinjauan dalam talian itu juga dilaksana untuk membeli keperluan Aidilfitri.

"Kira-kira lebih sebulan lagi kita nak raya. Jadi pembelian saya ini seperti serampang dua mata iaitu membeli pakaian persekolahan anak-anak dan baju raya," katanya.

Suri rumah, Ida Abd Razak, 43, berkata, dia dan suaminya memperuntukkan RM1,600 untuk perbelanjaan empat anak yang akan bersekolah.

"Peningkatan perbelanjaan untuk pakaian persekolahan ini juga ada. Sebelum ini tiga anak saya yang bersekolah tetapi untuk sesi persekolahan bermula Mac ini, empat orang bersekolah.

"Mana yang boleh kita jimat, kita berjimat. Contohnya yang adik memakai pakaian kakaknya sebelum ini.

"Satu lagi penjimatan, kalau kakaknya masuk Pandu Puteri, kami akan cadangkan yang adiknya untuk memasuki Pandu Puteri, kerana pakaian badan beruniform agak mahal," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Mac 2023 @ 3:45 PM