Suliati Asri

'Ilmu Jambatan Hidup'. Itulah antara kata-kata yang membuktikan ilmu adalah sangat penting dalam hidup.

Pencarian ilmu pengetahuan sama ada untuk diri sendiri atau profesional yang dilakukan boleh dilakukan di mana-mana tempat dan pada sebarang masa.

Menyedari pentingnya pembelajaran berterusan disamping ingin memberi peluang pembelajaran serta latihan kepada masyarakat dalam meningkatkan pengetahuan dan kemahiran ke arah pembangunan modal insan, Pusat Pembentukan Pendidikan lanjutan & Profesional (UKMShape) ditubuhkan pada 1999.

UKMShape yang dulunya dikenali sebagai Pusat Perkembangan Pendidikan (PKP) ini juga ditubuhkan bagi menawarkan program-program akademik dan profesional yang berdaya saing serta memenuhi keperluan semasa selain ingin melaksanakan penambahbaikan berterusan kualiti program-program yang ditawarkan melalui olehnya.

Pengarah UKMShape Prof Datuk Dr Muhammad Hussin berkata, bersesuaian dengan namanya iaitu pusat pembentukan pendidikan lanjutan dan profesional, UKMShape turut menawarkan program arus perdana.

Namun, kata Dr Muhammad, bezanya ialah kemasukan untuk program di bawah arus perdana adalah melalui Unit Pusat Universiti (UPU) dan yurannya mendapat subsidi kerajaan.

"Di bawah UKMShape pula, kemasukan tidak melalui UPU dan kami tawarkan program tanpa subsidi kepada pelajar.

"Selain program arus perdana, antara program yang ditawarkan di bawah kendalian UKMShape adalah Prasiswazah UKMi (tempatan dan antarabangsa), Eksekutif, Pascasiswazah Antarabangsa (PG), pembelajaran secara terbuka dan jarak jauh (ODL) serta Micro-credential dan Sijil Profesional.

"Kami turut menawarkan program International English Test (IET) dan Program Akreditasi Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu (APEL) untuk Akses (APEL A), Penganugerahan Kredit (APEL C) dan Penganugerahan Kelayakan APEL Q)," katanya ketika ditemui Harian Metro, baru-baru ini.

Bukan itu saja, UKMShape juga menawarkan program khusus kepada penuntut dalam dan luar negara yang sudah bekerja, tetapi ingin melanjutkan pengajian di peringkat yang lebih tinggi.

Tawar program antarabangsa

Dr Muhammad berkata, program yang dikomersialkan ini pada dasarnya adalah program antarabangsa dan ditawarkan kepada pelajar luar negara.

Namun, disebabkan permintaan tinggi pelajar tempatan dan kesanggupan mereka membayar kadar yuran antarabangsa, maka kami tawarkan juga kepada pelajar tempatan.

"Langkah ini juga secara tidak langsung memenuhi permintaan pelajar yang gagal dalam permohonan UPU atau mahukan program yang memenuhi keinginan mereka.

"Jadi, pelajar yang berkemampuan dan ingin belajar di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam bidang yang diminati dan tidak ditawarkan melalui UPU, mereka bolehlah memilih untuk mengikuti pengajian di bawah program antarabangsa melalui UKMShape ini," katanya yang turut memaklumkan bahawa semua program yang ditawarkan dilaksanakan dalam bahasa Inggeris.

Walaupun negara sudah mempunyai Ujian Bahasa Inggeris Universiti Malaysia (Muet), Ujian Bahasa Inggeris sebagai bahasa Asing (TOEFL) dan Sistem Pengujian Bahasa Inggeris Antarabangsa (IELTS), namun UKMShape turut menawarkan program Ujian Bahasa Inggeris Antarabangsa (IET).

Dr Muhammad berkata, IET ini adalah alternatif kepada program TOEFL, IELTS ataupun Muet selain ujiannya menekankan konteks akademik.

"Kalau kita lihat, ujian IELTS atau TOEFL yang dijalankan adalah bersifat 100 peratus ujian bahasa Inggeris. Konteks akademik tidak berapa ada.

"Ada juga pelajar yang mengatakan IELTS dan TOEFL ini kadangkala ia tidak mencerminkan konteks pendidikan khususnya untuk universiti.

"Antara kelebihan IET ini adalah UKMShape memfokuskan kepada konteks akademik, sekali gus memenuhi keperluan terutama pelajar luar negara yang akan memasuki universiti," katanya.

Uniknya, IET ini adalah ia dijalankan sebulan sekali berbanding dengan Muet yang dilaksanakan tiga tahun sekali.

Lebih membanggakan, IET ini tidak hanya dijalankan untuk pelajar UKM, tetapi ia sudah dilaksanakan di Indonesia.

Dr Muhammad berkata, pihaknya juga kini dalam proses untuk dapatkan pengiktirafan daripada universiti-universiti lain dan beberapa universiti luar negara sudah mengiktiraf IET.

"Kini, kami masih usahakan pengiktirafan supaya IET boleh digunakan di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS).

"Uniknya dan kelebihan kedua IET ini adalah ia dijalankan sebulan sekali berbanding dengan Muet yang dilaksanakan tiga kali setahun.

"Bukan itu saja, jawapan serta keputusan ujian IET ini juga diperoleh dengan cepat," katanya.

Jelas Dr Muhammad lagi, pada masa sekarang program IET ini dijalankan secara bersemuka, bagaimanapun pihaknya kini sedang membangunkan sistem secara dalam talian.

"Walaupun akan turut dijalankan secara dalam talian, tetapi ujian ini tidak boleh dilaksanakan dari rumah sebaliknya pelajar perlu berada di pusat yang sudah ditentukan di dalam dan luar negara.

Wujudkan Malaysia Council

"UKMShape juga akan mewujudkan Malaysia Council khusus untuk kendalikan IET dan melatih pelajar untuk mahir dalam dalam bahasa Inggeris.

"Malaysia Council ini juga adalah hadiah daripada UKM kepada masyarakat untuk latihan dalam bahasa Inggeris," katanya.

"Disamping kami bersifat kebangsaan, sebagai universiti kebangsaan, kami juga mengambil berat terhadap aspek bahasa Inggeris khususnya untuk mengantarabangsakan UKM dan pendidikan tinggi di Malaysia," tambahnya.

Dalam usaha untuk terus membuka peluang masyarakat menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi, UKMShape turut menjalinkan kerjasama dengan Fakulti Pendidikan UKM dengan menawarkan pelbagai program antaranya Program sarjana Muda Sains Sukan dan Rekreasi, Sarjana Muda Pengajaran Bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua dan satu lagi Sarjana Muda Pendidikan Khas selain program sarjana dan doktor falsafah (PHD).

Namun, antara program popular dan mendapat sambutan yang tinggi adalah Program Sarjana Pendidikan UKM Eksekutif Mod Cuti Sekolah.

Dr Muhammad berkata, program itu dijalankan ketika cuti sekolah dan terdapat 20 program yang ditawarkan antaranya Sarjana Pendidikan dengan Kepujian dalam Pengajaran Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua (TESL), pentadbiran pendidikan, latihan dan pedagogi dan banyak lagi.

"Program ini ditawarkan kepada mereka yang mempunyai ijazah pertama dalam apa juga bidang yang diminati. Tetapi, kami menggalakkan mereka mengambil bidang yang bersamaan dengan ijazah pertama atau sarjana muda supaya dapat membina kepakaran dalam bidang asas mereka.

"Menariknya, walaupun yuran pengajian yang dikenakan adalah RM17,000 untuk dua tahun (empat semester), tetapi penuntut dibenarkan membayar selama sembilan kali.

"Diharap dengan cara ini, penuntut boleh buat perancangan kewangan untuk mengikuti pengajian pendidikan tinggi," katanya.

MEMBUKA ruang dan peluang  kepada seramai mungkin masyarakat terbabit dalam dunia pendidikan untuk meningkatkan ilmu.
MEMBUKA ruang dan peluang kepada seramai mungkin masyarakat terbabit dalam dunia pendidikan untuk meningkatkan ilmu.

DPLI terima sambutan menggalakkan

Satu lagi program yang mendapat sambutan menggalakkan adalah Program Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah UKM Eksekutif Mod Cuti Sekolah (DPLI) dengan tempoh pengajian selama setahun enam bulan.

Dr Muhammad berkata, antara tarikan program ini adalah penuntut boleh memilih penempatan mereka akan menjalankan praktikal.

"Kami memberi kebebasan kepada penuntut untuk memilih sendiri penempatan atau sekolah untuk menjalankan latihan praktikal.

"Ini kerana ramai penuntut yang mengikuti program adalah guru-guru yang belum mempunyai kelayakan iktisas serta mahu belajar, tetapi dalam masa sama terus bekerja.

"Jadi, penuntut boleh mengajar di sekolah di mana mereka mengajar. Bagi yang tidak mengajar pula, mereka boleh memilih tempat praktikal di sekolah mereka dahulu atau sekolah yang berdekatan dengan rumah," katanya.

Program DPLI ini juga sangat sesuai bagi mereka yang meminati bidang pendidikan selain ia membolehkan guru-guru mendapatkan kelayakan iktisas.

Menariknya, program DPLI yang ditawarkan di UKMShape ini juga menawarkan kadar yuran terendah iaitu RM10,200 yang boleh dibayar selama sembilan bulan sepanjang tempoh pengajian.

Berkongsi syarat kemasukan, Dr Muhammad berkata, dengan mengambil pendekatan pembelajaran berterusan,

"Kami ambil semangat pembelajaran dewasa, pembelajaran secara berterusan dan pembelajaran fleksibel," katanya.

Katanya, pihaknya juga sebolehnya mahu membuka ruang dan memberi peluang kepada seramai mungkin masyarakat terbabit dalam dunia pendidikan untuk meningkatkan ilmu.

"Berasaskan semangat ini, kami tidak mengenakan syarat yang begitu ketat dan syarat minimumnya adalah pelajar perlu mencapai 2.7 CGPA.

"Kalau tidak capai, mereka akan dipertimbangkan, tetapi perlu mempunyai pengalaman kerja kerana pengalaman kerja juga adalah syarat penting untuk kemasukan kepada dua program ini.

"Dengan menyambung pengajian menerusi dua program ini, kami berharap supaya kelayakan guru-guru ini setanding dengan guru di negara seperti Finland, Estonia dan Turki kerana di negara-negara ini, individu yang ingin menjadi guru perlu mempunyai sarjana pendidikan," katanya.

UKMShape tawar program akademik dan profesional yang berdaya saing serta memenuhi keperluan semasa.
UKMShape tawar program akademik dan profesional yang berdaya saing serta memenuhi keperluan semasa.

Ilmu itu penting

Dr Muhammad berkata, ambillah peluang daripada fleksibiliti program yang ditawarkan supaya lebih ramai rakyat Malaysia dapat ruang dan peluang mempertingkatkan ilmu.

Ini kerana katanya, semakin masyarakat itu berilmu, semakin mudah kita maju ke hadapan dan menjadi negara maju serta makin tertib kehidupan kita.

"Antara fungsi UKMShape adalah untuk membangunkan masyarakat berilmu dan dengan cara itu, kita dapat menyumbang dalam ketamadunan manusia di negara kita.

"Jadi, saya menyeru dan berharap masyarakat di luar sana datang ke UKMShape di UKM dan mari belajar.

"Kita akan sediakan kemudahan yang terbaik, ilmu yang sesuai dengan keinginan dan minat pelajar serta akan membantu pelajar melengkapkan program-program yang mereka ikuti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Februari 2023 @ 7:00 AM