KENANGAN bersama pelajar.
KENANGAN bersama pelajar.
Yusliza Yakimir Abd Talib

PENGUASAAN bahasa asing seperti bahasa Inggeris membuka lebih ba­nyak peluang pekerjaan terutama dalam sektor korporat malah pada era globalisasi, kemahiran dalam bahasa itu sebagai nilai tambah buat individu untuk meningkatkan daya saing.

Lihat saja di mana kita berada, penguasaan bahasa Inggeris kini amat penting sekiranya mahu bersaing dalam dunia pekerjaan yang kian mencabar.

Jika terus kekal di takuk lama, tidak mustahil rakyat terutama orang Melayu terus ketinggalan dari segi penguasaan ilmu kerana bahasa Inggeris adalah bahasa ilmu.

Situasi ini membuka ruang buat tiga beradik ini menggunakan kemahiran dan penguasaan mereka dalam bahasa Inggeris membantu ramai individu meningkatkan kebolehan bertutur dengan bahasa itu.

Menerusi inisiatif dinamakan My Englih Matters diasaskan Aisya Shurfa Mohammed Shukry, 32, Amnah Shurfa, 35 dan Azimah Shurfa, 38, mereka nekad mahu melahirkan modal insan yang mahir dan menguasai bahasa itu sekali gus meningkatkan produktiviti mereka terutama yang terbabit dalam bidang profesional.

Menurut Azimah, keyakinan diri antara isu utama ramai pelajar yang mengikuti kelas bahasa Inggeris dianjurkan dia dan dua adiknya itu hing­ga ‘membunuh’ potensi diri serta bakat yang ada pada mereka di tempat kerja.

Katanya, kelas dalam talian yang dimulakan mereka bertiga pada 2016 awalnya untuk berkongsi ilmu berguna seperti bercakap bahasa Inggeris dengan yakin mahupun mengatasi kesalahan tatabahasa menerusi hantaran di Facebook dan video selain surat berita e-mel secara percuma.

Namun, katanya, daripada 100 langganan surat berita e-mel yang dihantar setiap minggu, ia berkembang hingga lebih 16,000 langganan kini.

“Kami bermula dengan idea untuk mengajar orang dewasa di Malaysia berkomunikasi dengan lebih baik dalam bahasa Inggeris.

“Kini selepas dua tahun, kami menganjurkan bengkel dan mengajar pelajar secara langsung dan melalui kursus dalam talian. Lebih 16,000 orang menyertai surat berita e-mel kami untuk mendapatkan tip dan pelajaran bahasa Inggeris percuma kami setiap Khamis.

“Kepakaran kami dalam pengajaran bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua, komunikasi bahasa Inggeris dan kemahiran penyampaian untuk orang dewasa dalam persekitaran kerja.

SESI berkumpulan untuk praktis bertutur.
SESI berkumpulan untuk praktis bertutur.

“Kami menyediakan sumber dan pengajaran yang menyeronokkan dan praktikal untuk membantu pelajar belajar bercakap, menulis dan berkomunikasi dalam bahasa Inggeris dengan keyakinan,” katanya.

Menurutnya, dia dan adik-beradiknya yang lain pernah membesar di Manchester, United Kingdom selama hampir lapan tahun kerana mengikut arwah bapa mereka menyambung pengajian dan memulakan perniagaan di negara itu sejak 1991.

Memandangkan masing-masing masih kecil ketika itu, mereka sempat mendapat pendidikan formal di negara itu sekali gus menjadikan mereka penutur bahasa Inggeris yang baik.

Azimah mempunyai 13 tahun pengalaman mengajar di universiti awam dengan mata pelajaran seperti Pengucapan Awam, Bahasa Inggeris, Linguistik dan Drama.

Pemegang Sarjana Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua dan Sarjana Muda Sains Kemanusiaan, pengkhususan dalam Bahasa Inggeris menjadikan Azimah begitu bersemangat untuk mendidik ramai anak bangsa agar mahir bahasa itu.

Anak kedua daripada tujuh beradik itu juga adalah jurulatih dalam pembelajaran dewasa dan sejak awal dia sememangnya begitu bersemangat mengajar berkomunikasi dalam bahasa Inggeris dengan cara yang praktikal dan menyeronokkan.

Amnah yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Perancangan Bandar dan Wilayah pula bertanggungjawab me­nguruskan pemasaran My English Matters selain penulis tetap blog untuk laman web itu.

Berbekalkan 12 tahun pengalaman dalam perniagaan, pemasaran, jurualih bahasa bebas dan dunia korporat, Amnah menumpukan pada pengajaran komunikasi bahasa Inggeris untuk dewasa antaranya penulisan e-mel berkesan, bertutur dalam situasi profesional dan membina keyakinan di tempat kerja serta dalam kehidupan.

Sementara itu, Aisya yang memegang Ijazah Sarjana Muda dalam Kesusasteraan Inggeris menghabiskan sembilan tahun yang lalu dengan pekerjaan seperti menyunting, menterjemah dan suara untuk iklan dan kini turut menjadi insan penting di sebalik My English Matters.

Dalam pada itu, Azimah berkata, ada antara individu profesional seperti doktor, jurutera dan peguam yang menyertai kelas itu kerana menghadapi masalah bertutur dengan yakin dalam bahasa Inggeris.

“Ramai antara golo­ngan pekerja yang tidak berkeyakinan kerana malu jika penggunaan tatabahasa atau perbendaharaan kata yang ditutur salah.

“Jadi, kelas yang kami sediakan ini juga bukan semata-mata hanya pengajaran kemahiran berkomunikasi sebalik­nya kami beri motivasi untuk membina keyakinan diri.

AMNAH mengajar teknik penulisan berkesan dalam kerja.
AMNAH mengajar teknik penulisan berkesan dalam kerja.

“Alhamdulillah, ramai yang beri maklum balas mereka sudah berani bercakap di pejabat, mengutarakan pendapat sekali gus memainkan peranan di pejabat.

“Uniknya mengenai kelas kami ini kerana kebanyakan pelajar adalah ibu bekerja. Ramai antara mereka ini sangat malu dan ‘introvert,’ jadi kami faham masalah mereka dan berusaha menjadikan mereka selesa dengan kelas yang santai, ringkas dan mudah difahami dan paling penting menyeronokkan.

“Kelas dalam talian berlangsung selama enam minggu dengan lima modul setiap minggu bagi minggu pertama manakala minggu terakhir adalah pelaksanaan,” katanya.

Selain itu, kata­nya, mereka turut menawarkan latihan bengkel dua hari yang diadakan dua kali setahun tahun lalu dan menyasarkan untuk meningkat­kan kekerapan bengkel tiga kali untuk tahun ini atas permintaan ramai pelajar.

“Kami sedar ramai antara orang kita takut bertutur dalam bahasa Inggeris kerana bimbang salah atau malu jika ditertawakan. Untuk menguasai bahasa ini, kita perlu yakin dan ia okey untuk melakukan kesilapan.

“Jika selalu amal, lama-kelamaan kita dapat kuasai bahasa ini dengan mudah dan boleh berkomunikasi dengan yakin asalkan kita ada kemahuan untuk me­ngubah diri,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Mei 2019 @ 4:30 AM