LANGKAH pemansuhan program diambil bagi memastikan graduan mudah mendapat pasaran kerja.- Gambar hiasan
LANGKAH pemansuhan program diambil bagi memastikan graduan mudah mendapat pasaran kerja.- Gambar hiasan
Suliati Asri


Dalam usaha memberikan yang terbaik buat pelajar, beberapa institusi pengajian tinggi (IPT) mengambil keputusan untuk memansuhkan akademik yang didapati tidak lagi relevan dengan keperluan pasaran dan keadaan semasa.

Langkah itu juga diambil bagi memastikan graduan mudah mendapat pasaran kerja dan memenuhi kehendak industri.

Pengarah Akademik Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Profesor Madya Dr Abdul Rahim Razalli berkata, pemansuhan program di beberapa IPT adalah inisiatif yang bertepatan sekiranya penawaran program akademik kepada pelajar rendah berdasarkan unjuran yang dibuat sesebuah universiti.

Katanya, hal ini kerana sesebuah universiti perlu memikirkan juga dari aspek kos afektif sekiranya bilangan pelajar yang sedikit mengikuti sesuatu program yang ditawarkan universiti.

Dalam masa sama, pemansuhan juga dilakukan sesebuah intitusi sekiranya mendapati kebolehpasaran graduan bagi program berkenaan adalah sangat rendah.

"Trend ini akan berterusan sekiranya program yang dimasuhkan tidak lagi relevan dengan pasaran kerja dan kehendak majikan masa kini.

"Majikan memerlukan tenaga kerja yang sesuai dan memenuhi bidang perkhidmatan mereka," katanya.

Mengulas lanjut, kata Dr Abdul Rahim, bagi menangani isu pemansuhan program beberapa aspek perlu difikirkan dan diambil tindakan segera iaitu dengan mengenal dan membangunkan program baharu yang sesuai dengan pasaran kerja semasa.

"Pihak IPT juga perlu menyemak program yang sedia dengan memperkenalkan beberapa elemen utama termasuk kerjasama dengan industri pekerjaan selari dengan kandungan kursus dalam program serta kemahiran yang diperlukan industri.

"Selain itu, IPT juga perlu memasukkan elemen keusahawanan dalam semua program membolehkan graduan mencipta pekerjaan baharu melalui konsep pemasaran digital.

PEMANSUHAN program adalah inisiatif sekiranya penawaran program akademik kepada pelajar rendah berdasarkan unjuran sesebuah universiti.- Gambar hiasan
PEMANSUHAN program adalah inisiatif sekiranya penawaran program akademik kepada pelajar rendah berdasarkan unjuran sesebuah universiti.- Gambar hiasan

"Dalam konteks semakan program, ia perlu menjurus kepada kerangka EXCEL iaitu Industry Driven Experiantial Learning (IDEAL), Community Resilience Experiantial Learning (CARE), Research Infused Experiential Learning (REAL) serta Personalised Experientina Learning (POISE)," tambahnya.

UPSI mempunyai 63 Program pengajian meliputi Diploma dan Sarjana Muda dengan 53 Program Ijazah Sarjana Muda (36 ISMP Pendidikan dan 15 Bukan Pendidikan) dan 12 program Diploma.

Pada keseluruhannya kata Dr Abdul Rahim, UPSI mendapati semua program itu mendapat penawaran yang tinggi dan menepati kehendak unjuran kemasukan yang ditetapkan pihak UPSI.

"Bagaimanapun, UPSI senantiasa dan terus berusaha meningkatkan peratus kebolehpasaran graduan melalui inisiatif program 'upskilling' keusahawanan graduan, penyeliaan penasihatan akademik, jaringan industri dan mengambil kursus yang relevan dengan pasaran kerja semasa.

"Bagi menjamin kelestarian program pengajian akademik, UPSI menawarkan program yang bercirikan '2u2i' iaitu program akademik yang berteraskan industri dan meluaskan peluang latihan indusri ke luar negara melalui kerjasama dengan universiti ternama dan rantau Asia," katanya.

Ditanya mengenai penawaran program baharu di UPSI, kata Dr Abdul Rahim, UPSI akan menawarkan program yang berteraskan pendidikan iaitu Diploma Perguruan Asas, Diploma Profesional Pendidikan serta Diploma Pengajian Turath Islami.

"Sasaran utama program ini adalah untuk calon yang sedang bekerja di agensi dan kementerian tertentu supaya dapat meningkatkan kemahiran kandungan dan pedagogi.

"Kami yakin program baharu yang akan ditawarkan ini mempunyai permintaan tinggi khususnya daripada jabatan agama dan agensi yang berkaitan latihan dan pendidikan.

"UPSI juga akan sentiasa berusaha menjadikan semua program pendidikan yang ditawarkan di peringkat ijazah sarjana muda dan diploma memenuhi kehendak majikan selari kemahiran masa kini dalam bidang pendidikan," katanya.

Sementara itu, Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Datuk Dr Ekhwan Toriman berkata, buat masa ini UKM tidak bercadang untuk memansuh atau menghentikan mana-mana program sedia ada.

KENAL pasti keperluan dan kemahiran tambahan yang perlu dimiliki graduan sebelum melangkah alam pekerjaan.- Gambar hiasan
KENAL pasti keperluan dan kemahiran tambahan yang perlu dimiliki graduan sebelum melangkah alam pekerjaan.- Gambar hiasan

Namun katanya, UKM akan mengambil pelbagai langkah bagi menambah baik program yang kurang mendapat sambutan.

"Kami tidak akan memansuhkan mana-mana program, tetapi akan melakukan proses semakan semula program, penambahbaikan hasil pembelajaran kursus yang sesuai dengan keperluan semasa, penstrukturan program sedia ada serta pembabitan industri dan organisasi swasta mahupun kerajaan untuk memberi nilai tambah kepada program.

"Selain itu, UKM juga akan sentiasa menambah baik program akademik sedia ada untuk memastikan ia kekal relevan dengan keperluan pasaran pekerjaan semasa," katanya.

Antara langkah yang diambil pihak fakulti adalah menerusi kajian kebolehpasaran graduan yang dijalankan setiap tahun.

Soal selidik juga diberikan kepada pihak industri dari masa ke semasa bagi mengenal pasti keperluan dan kemahiran tambahan yang perlu dimiliki graduan sebelum melangkah ke alam pekerjaan.

Dr Ekhwan berkata, UKM juga sentiasa cakna terhadap keperluan dan kemahiran abad ke-21 yang merangkumi keupayaan, kemahiran dan proses pembelajaran yang dikenal pasti dapat memenuhi keperluan semasa.

Justeru, di UKM, program akademik yang tidak relevan buat masa ini tidak akan dijumudkan berdasarkan hasil semakan program yang dilaksanakan secara berkala.

"Kemahiran penting dan terkini seperti kemahiran teknologi maklumat dan komunikasi, kemahiran berfikir dan menyelesaikan masalah serta kemahiran interpersonal dan arah kendiri sudah diserapkan dalam program akademik di UKM sejak awal lagi.

"Program akademik UKM sentiasa diselarikan dengan keperluan alaf baharu kerana di UKM melahirkan 'future-ready graduates' adalah antara agenda utama dalam sistem akademik universiti," katanya.

Untuk kekal relevan dengan kehendak pasaran tempatan dan antarabangsa, pelbagai inisiatif dilaksanakan UKM.

Kata Dr Ekhwan, UKM mempunyai Pusat Pembentukan Pendidikan Lanjutan dan Profesional (atau UKMShape) yang menyediakan peluang pembelajaran dan latihan kepada segenap lapisan masyarakat.

"UKMShape menawarkan program akademik dan profesional yang berdaya saing dan memenuhi keperluan semasa.

"Di samping itu, penambahbaikan berterusan juga sentiasa dilakukan bagi meningkatkan kualiti program yang ditawarkan melalui UKMShape. Justeru, program akademik yang ditawarkan UKM akan kekal relevan dalam apa jua situasi.

"Setakat ini, UKM melalui UKMShape giat mempromosi program bersama universiti luar negara dan sebanyak 15 program pengajian akademik dan bukan akademik diwujudkan hasil daripada kerjasama UKM (melalui UKMShape) dengan tujuh negara iaitu China, Indonesia, Kuwait, Thailand, Qatar, Syria dan Jerman," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Julai 2022 @ 7:00 AM