PELAJAR sedang menjalankan aktiviti di Pusat Internet di Sarawak sebelum Covid-19.
PELAJAR sedang menjalankan aktiviti di Pusat Internet di Sarawak sebelum Covid-19.
Suliati Asri


Mengutamakan pendidikan sebagai asas di dalam pelaksanaan program komuniti di Maxis, syarikat telekomunikasi ini ingin membina program yang percuma dan menyeluruh dalam usaha membantu pelajar di seluruh negara, terutama di kawasan luar bandar menerusi program pendidikan digital.

Dilancarkan pada 2017, eKelas adalah program komuniti utama Maxis yang percuma dan memokuskan kepada pelajaran digital untuk pelajar tahun empat hingga tingkatan lima bagi subjek sains, matematik dan bahasa Inggeris selaras dengan sukatan pelajaran Malaysia.

Menerusi kolaborasi bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), eKelas pada mulanya ditawarkan di Pusat Internet Komuniti (PIK) kepunyaan SKMM di bawah jagaan Maxis.

PIK berfungsi sebagai hab digital dan menyediakan kesalinghubungan bagi komuniti terpencil. Berikutan itu, eKelas mula berkembang ke sekolah-sekolah terpilih.

Sehingga kini, eKelas terlaksana di 118 PIK di bawah jagaan Maxis yang terletak di 10 negeri di Malaysia dan 570 sekolah di seluruh negara dengan lebih daripada 45,000 pelajar berhubung melalui portal eKelas.

Ketua Pegawai Hal Ehwal Korporat Maxis, Mariam Bevi Batcha berkata, inisiatif masyarakat ini didorong semangat untuk menawarkan pendidikan secara digital dan tujuan pihaknya ialah ingin menyatukan teknologi terbaik untuk terus menerajui dunia yang sentiasa berubah.

"Hidup masa kini semakin dipacu ke arah digitalisasi. Oleh itu, Maxis ingin memastikan bahawa segenap lapisan masyarakat, termasuk pelajar, tidak ketinggalan dalam arus kemajuan ini.

"Melalui eKelas, kami ingin memberi akses kepada bahan pendidikan yang berkualiti untuk pelajar Malaysia dan seterusnya membantu meningkatkan prestasi akademik mereka," katanya.

Mariam berkata pihaknya dapat melihat sendiri bagaimana pelbagai aktiviti dan program yang dijalankan oleh eKelas memperkasakan kehidupan pelajar.

MAXIS eKelas berkerjasama dengan UKM pada Jun 2019 dalam menghasilkan isi kandungan yang terbaik untuk membantu pembelajaran
MAXIS eKelas berkerjasama dengan UKM pada Jun 2019 dalam menghasilkan isi kandungan yang terbaik untuk membantu pembelajaran

"Kami akan terus bekerja keras dalam usaha kami menawarkan eKelas kepada lebih ramai pelajar di seluruh Malaysia.

"Aplikasi mudah alih eKelas kini sudah pun berada di peringkat akhir percubaan dan sedia untuk dilancarkan dalam masa terdekat," katanya.

Selain dari menawarkan lebih dari 3,000 jam tutorial langsung dalam talian, eKelas juga mempunyai lebih dari 2,100 bahan pembelajaran yang dibangunkan sendiri oleh eKelas termasuklah nota, video hingga lembaran kerja yang boleh diakses di Portal eKelas secara percuma.

Pelajar juga mempunyai akses ke lebih daripada 10,000 eBook dan 500 buku audio menerusi kerjasama antara Maxis dan Perpustakaan Negara Malaysia.

Maxis juga bekerjasama dengan organisasi yang relevan dalam memastikan kandungan pendidikan yang dihasilkan bersama adalah terkini dan mengikut kehendak penggunaan pelajar pada masa ini.

Melalui kolaborasi bersama MDEC (Malaysia Digital Economy Corporation), eKelas ingin menarik minat pelajar terhadap STEM (Science, Technology, Engineering & Mathematics) dan sudah mencipta kandungan video berdasarkan modul fotografi, videografi dan robotik yang dibangunkan oleh MDEC sebagai aktiviti ko-kurikular.

Sementara itu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) juga adalah salah satu organisasi pendidikan tinggi yang bekerjasama dengan eKelas sehingga kini, di mana ia sudah menyaksikan penghasilan 177 video pendek pembelajaran merangkumi 35 topik yang dikaryakan oleh pelajar dari fakulti pendidikan universiti itu.

Maxis eKelas juga sudah diakui oleh Kementerian Pendidikan sebagai satu inisiatif di bawah Highly Immersive Programme (HIP) untuk membantu pelajar menguasai bahasa Inggeris dengan lebih baik sejak 2019.

Pelajar juga layak untuk mengumpulkan markah kokurikulum dari penyertaan mereka dalam pertandingan bercerita dan menulis esei oleh eKelas.

Timbalan Pengarah, Pusat Latihan Bahasa Inggeris, Kementerian Pendidikan Malaysia Dr Kalminderjit Kaur berkata, penguasaan Bahasa Inggeris dalam kalangan murid akan meningkat sekiranya murid aktif menggunakan Bahasa Inggeris sebagai medium komunikasi dan pembelajaran.

"Di sinilah HIP memainkan peranan bagi menyediakan persekitaran pembelajaran Bahasa Inggeris yang memberangsangkan.

"Maxis eKelas sudah membuka lebih banyak peluang untuk pelajar membabitkan diri dalam aktiviti berbahasa Inggeris secara imersif," katanya.

PELAJAR sedang melakukan rakaman video untuk menyertai pertandingan Drama HIP. (sebelum Covid-19).
PELAJAR sedang melakukan rakaman video untuk menyertai pertandingan Drama HIP. (sebelum Covid-19).

Untuk mendorong pembelajaran selepas sekolah terutamanya dalam suasana pandemik ini, Maxis eKelas mengadakan sesi Tutorial Langsung tambahan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Sesi YouTube Live selama 30 minit berlangsung dari jam 2.00 petang hingga 5.30 petang pada hari minggu dengan kuiz dan pembelajaran berasaskan permainan.

Maxis eKelas sebelumnya juga sudah meningkatkan aktiviti digital di portalnya. Abang Portal, pengurus komuniti eKelas, menjalankan pelbagai aktiviti yang selaras dengan subjek di sekolah dan aktiviti menyeronokkan seperti tips untuk memasak, photografi, videografi, kuiz mengenai 'olimpiks' dan webinar bagaimana untuk melindungi diri dari Covid-19 pada setiap hari.

Selain program berasaskan sukatan pelajaran sekolah, eKelas juga mengatur misi digital yang mengajar kepentingan keselamatan siber kepada pelajar.

Ketika pandemik melanda sejak tahun lalu, pembelajaran harus dilakukan secara dalam talian.

Justeru, guru di SMK Tunku Bendahara, Sapilah memperkenalkan pembelajaran secara digital kepada muridnya melalui eKelas pada 2019.

Yakin bahawa program eKelas akan memanfaatkan sekolahnya, beliau mendaftarkan ramai pelajar di portal eKelas melalui sokongan sekolah dan ibu bapa.

"Program Maxis eKelas ini sememangnya menyeluruh dan tersedia dengan kandungan yang padat, terutama sekali pada waktu pandemik yang mencabar ketika ini.

"Kami di sekolah merasakan pendidikan digital seperti Maxis eKelas ini boleh terus memberikan motivasi dan menarik perhatian pelajar untuk memupuk semangat meneruskan pembelajaran," katanya.

Bagi pelajar SMK Muadzam Shah, Sarang Semut, Anis Syahirah, 17, dia sudah menggunakan eKelas sebagai rujukan sejak tingkatan satu lagi.

"Ketika PKP, saya mengakses portal melalui telefon pintar. Pendedahan yang saya lalui menerusi eKelas adalah sangat berharga," katanya.

Di Sarawak pula, Pengurus PIK di Kampung Taee, Ramlah Osman, sentiasa menunjuk ajar pelajar di sekitar komuniti cara-cara menggunakan portal eKelas dan berjaya mendaftarkan ramai orang pelajar di PIK seliaannya.

"Yuran bulanan yang dikenakan untuk tuisyen swasta terlalu mahal bagi segelintir keluarga dan kadangkala agak sukar bagi pelajar kerana ia terletak jauh dari tempat mereka tinggal.

"Namun dengan program eKelas yang percuma dan dibiayai dengan penuh oleh Maxis, mereka masih boleh mengikuti pembelajaran tanpa kos tambahan kerana PIK terletak berdekatan rumah mereka dan tiada yuran yang dikenakan," tambah Cik Ramlah.

Sementara itu, pelajar SMK Tarat, Serian, John Mackwin berterima kasih kepada program Maxis eKelas ini kerana dapat membantunya meneruskan pembelajaran walaupun dalam waktu PKP.

"Selain dari video tutorial dan kuiz yang tersedia, saya juga dapat menambah ilmu menerusi aktiviti eKelas yang lain seperti menghantarkan penyertaan saya ke Pertandingan Drama Bahasa Inggeris, di mana kumpulan juga adalah pemenang," katanya.

Bagi Jascinta anak Jerrfson, pelajar SMK Taee, Serian, pertandingan drama yang disertai sangat menarik perhatiannya dan kawan-kawan.

"Di samping dapat membantu kami menambah baik penggunaan bahasa Inggeris, pertandingan ini juga sangat menyeronokkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Ogos 2021 @ 7:00 AM