NORIZAM (depan duduk lima dari kiri) bergambar bersama pegawai tentera darat.
NORIZAM (depan duduk lima dari kiri) bergambar bersama pegawai tentera darat.
Suliati Asri


Politeknik Merlimau Melaka (PMM) menganjurkan Bengkel Promosi Kerjaya Graduan Politeknik & Pertahanan Menyeluruh (Hanruh) bagi memperkenalkan kerjaya dalam tentera darat sebagai peluang pekerjaan.

Menerusi program itu, pegawai dari Markas Tentera Darat - Cawangan Sumber Manusia berkunjung ke PMM bagi berkongsi laluan kerjaya graduan politeknik sebagai salah satu pilihan kerjaya mendapat sambutan yang memberangsangkan.

Pengarah PMM Norizam Sekak berkata, antara tujuan utama program terbabit diadakan adalah untuk memberi ruang kepada Markas Tentera Darat bersama politeknik merangka strategi pengambilan anggota tetap tentera darat bagi kekosongan dengan gred yang bersesuaian graduan.

Menurutnya, program itu juga adalah usaha yang baik dalam menentukan laluan kerjaya baharu buat graduan politeknik.

"Saya percaya, sekiranya perbincangan dan laluan khas ini dapat direalisasikan, sudah pasti graduan politeknik akan meningkat kadar kebolehpasaran mereka.

"Hal ini secara tidak langsung dapat membantu negara dalam mengisi kekosongan perjawatan tentera darat," katanya yang juga berpangkat mejar dalam askar wataniah.

Ketika program berlangsung, Pengarah Dasar & Pembangunan Markas Tentera Darat, Kolonel Mohamad Fazli Md Idris memberi penerangan terhadap kerjaya yang boleh diceburi oleh graduan PMM.

Turut sama berkongsi maklumat ialah Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar PMM, Zan Aizuwan Zainal Abidin dan pegawai Corporate, Industrial Services & Employability Centre (CISEC PMM), Gwee Chiou Chin bagi menerangkan mengenai perkembangan graduan PMM.

Di sebelah petang pula, Pegawai Staf 1 Jabatan Arah & Infrantri, Markas Tentera Darat, Lt Kol Kaharuddin Katan pula berkongsi mengenai pengetahuan umum Kertas Putih Pertahanan dan Konsep Pertahanan Menyeluruh (HANRUH) sebagai pengetahuan umum kepada warga kerja PMM.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Julai 2022 @ 6:35 AM