HASBULLAH (baris kedua, dua dari kiri) bergambar bersama para pemimpin pelajar yang menyertai PROMIS 7.0.
HASBULLAH (baris kedua, dua dari kiri) bergambar bersama para pemimpin pelajar yang menyertai PROMIS 7.0.
Suliati Asri

LEBIH 40 pelajar yang terdiri daripada barisan kepimpinan baharu Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Politeknik Merlimau (PMM) bagi sesi 2020/2021 berjaya mengikuti program kepimpinan yang lebih dikenali sebagai Program Kepimpinan Mahasiswa Dinamis (PROMIS) 7.0, baru-baru ini.

Pengarah PMM, Mohd Hatta Zainal berkata, barisan MPP yang mengikuti program ini adalah mereka yang baru memenangi Piliharan Raya Kampus yang diadakan pada 7 April 2021 lalu secara dalam talian.

"Program anjuran Unit Pengurusan Psikologi dan Jabatan Hal Ehwal Pelajar ini adalah acara tahunan sebagai satu medan mendidik dan melatih pelajar dalam aspek kepimpinan, personaliti dan komunikasi," katanya.

Sementara itu, Pegawai Psikologi merangkap Pengarah PROMOS 7.0 Mohamad Hasbullah Mustafa berkata, antara objektif program ialah untuk memberi pendedahan kepada peserta mengenai peranan dan tanggungjawab mereka sebagai pemimpin pelajar di kampus.

Program itu juga katanya, bertujuan melatih kemahiran kepimpinan dan pengurusan organisasi serta membentuk semangat kerja berpasukan dalam kalangan barisan pimpinan baharu MPP PMM.

AKTIVITI water confident yang melibatkan kesemua MPP Sesi 2021 bertujuan meningkat keyakinan diri.
AKTIVITI water confident yang melibatkan kesemua MPP Sesi 2021 bertujuan meningkat keyakinan diri.

"Terdapat pelbagai aktiviti yang disusun urus setia bagi mencapai objektif yang digariskan antaranya aktiviti Slot Latihan Dalam Kumpulan (LDK), ceramah kepimpinan, 'jungle tracking,' 'water confident' dan sesi perbincangan.

"Semua aktiviti ini disusun bagi melahirkan pemimpin yang mempunyai daya tahan menghadapi tekanan, sentiasa proaktif dan sistematik dalam tindak tanduk mereka," katanya.

Mohamad Hasbullah turut berpesan dan mengingatkan barisan MPP PMM supaya bijak membahagikan masa dengan baik antara akademik dan tanggungjawab sebagai pemimpin yang akan menjadi contoh kepada pelajar yang lain.

"Mereka juga diingatkan mengenai peranan mereka yang sangat penting sebagai jambatan penghubung antara pihak pengurusan dengan pelajar dalam menyalurkan maklumat dan isu-isu yang berkaitan terutama dalam cabaran norma baharu ini iaitu MPP sepatutnya wakil pelajar yang membantu mendepani Covid-19 di dalam kampus," katanya.

Penutup Program PROMIS 7.0 dirasmikan Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar PMM, Zan Aizuwan Zainal Abidin, yang turut bersama dalam program terbabit bagi memantau impak program.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 April 2021 @ 6:30 AM