SESI perkongsian kesepakaran oleh Dr Hassan Ismail daripada Jabatan Kejuruteraan Awam PMM.
SESI perkongsian kesepakaran oleh Dr Hassan Ismail daripada Jabatan Kejuruteraan Awam PMM.
Suliati Asri


ENGLISH TVET & Knowledge Sharing@Malang menjadi program antarabangsa pertama dianjurkan Politeknik Merlimau (PMM) sejak pembukaan sempadan antarabangsa fasa endemik.

Pengarah program, Marina Abu Bakar berkata, ia adalah aktiviti kedua PPM bersama Institut Teknologi dan Bisnis Asia (Institut Asia) Malang, Indonesia yang mana berjaya

mengaktifkan jaringan dan kerjasama antara kedua-dua pihak.

Menurutnya, aktiviti kolaborasi pertama antara PMM dan Institut Asia dilaksanakan pada tahun lalu secara dalam talian melalui program Broadcasting Workshop untuk pelajar.

"Kali ini rombongan yang terdiri daripada 11 pensyarah melaksanakan aktiviti English TVET dan berkongsi kepakaran melalui sesi perkongsian ilmu.

"Program ini juga adalah program bersemuka pertama dan memfokuskan kepada sesi perkongsian kepakaran dalam pelbagai bidang seperti pengajaran Bahasa Inggeris, Centre Of Technology (COT), teknologi hijau, 'work-based learning' dengan institusi luar negara melalui sesi pembentangan dan inovasi pensyarah," katanya.

"Selain itu, kami juga mengadakan aktiviti Language Station Games bertujuan mengetengahkan teknik pembelajaran Bahasa Inggeris yang menyeronokkan dan melalui pendekatan 'incidental learning," katanya.

Penganjuran program ini bukan sahaja bertujuan meningkatkan kecekapan pensyarah melalui sesi perkongsian maklumat, malah ia satu platform berkesan untuk meningkatkan imej Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).

Terutama dalam usaha memantapkan dan menambah baik kurikulum penyampaian dan pentaksiran sistem pengajian politeknik untuk mengukuhkan program yang ditawarkan supaya lebih relevan dan responsif.

PENSYARAH Unit Bahasa Inggeris, PMM bersama pelajar Institut Asia  untuk aktiviti English TVET.
PENSYARAH Unit Bahasa Inggeris, PMM bersama pelajar Institut Asia untuk aktiviti English TVET.

Marina berkata, uniknya program ini adalah kerana ia adalah program 2 dalam 1 dengan pembabitan pensyarah akademik dari bidang kejuruteraan dan bukan kejuruteraan yang bergabung mencapai objektif ditetapkan.

"Objektifnya termasuk perkongsian ilmu dua hala bersama Institut Asia Malang dan Station Games demi memartabatkan pendidikan TVET di Asean.

"Selain sesi perkongsian ilmu selama tiga jam kepada 30 pensyarah dan pelajar Institut Asia, tujuh pembentangan dari Malaysia dan pembentangan dari Institut Asia turut dijalankan.

"Perkongsian ilmu itu juga merangkumi kepakaran COT Politeknik Merlimau melalui pembentangan Muslim Friendly Tourism (Jabatan Pelancongan dan Hospitaliti), perkongsian perlaksanaan teknologi hijau, Geographical Information System (GIS), Green GIS di Politeknik Merlimau, inovasi Students Merit System (SMS4PMM), Kit Sistem Automasi Rumah Menggunakan Blynk dan Analisis Penilaian Keberkesanan Sistem Penasihatan Akademik Di Politeknik Tun Syed Nasir Syed Ismail," katanya.

PELAJAR melakukan aktiviti ‘What Say You’ iaitu salah satu alat bantu mengajar dalam percakapan dan pemberian pendapat dalam Bahasa Inggeris.
PELAJAR melakukan aktiviti ‘What Say You’ iaitu salah satu alat bantu mengajar dalam percakapan dan pemberian pendapat dalam Bahasa Inggeris.

Sementara itu, 90 pelajar dengan latar belakang tahap penguasaan Bahasa Inggeris berbeza turut hadir mengikuti program English TVET bersama empat pensyarah dari Unit Bahasa Inggeris, PMM.

Di akhir program, satu kotak produk inovasi pensyarah iaitu 'What Say You' yang turut digunakan dalam aktiviti dihadiahkan kepada Unit Bahasa Inggeris Institut Asia.

Marina berkata, 'What Say You' ini digunakan sebagai alat bantu mengajar dalam percakapan dan pemberian pendapat dalam Bahasa Inggeris.

"Ketika sesi kunjungan itu, kami menggunakan 'boardgame' ini dalam satu aktiviti. Seorang pensyarah yang melihat pelajarnya melakukan aktiviti itu dan berminat mendapatkan 'What Say You' untuk penggunaan kelasnya.

"Maka saya menyerahkan salah satu set yang dibawa dan digunakan dalam aktiviti kepada pensyarah Bahasa Inggeris, seterusnya meminta mereka berhubung dengan kami sekiranya berminat membeli lebih banyak kotak bagi tujuan pembelajaran dan pengajaran pelajar," katanya.

Language boardgame 'What Say You' adalah produk inovasi Marina yang dipatenkan pada 2014 di bawah PMM dan sebanyak 600 kotak berjaya dijual kepada politeknik Malaysia, sekolah menengah, institusi pengajian tinggi di dalam dan luar negara.

BARISAN pensyarah dari PMM bersama wakil rektor dan pensyarah dari Institut Asia.
BARISAN pensyarah dari PMM bersama wakil rektor dan pensyarah dari Institut Asia.

Bukan itu saja, produk ini juga pernah memenangi pingkat emas di pertandingan inovasi di Seoul, Korea serta memenangi johan produk Best Entreprenuership Award peringkat kebangsaan KPT (RM30,000) pada 2015.

Program sehari itu juga membawa rombongan PMM melawat ruang kerja automasi dan robotik serta inkubator keusahawanan yang membuka ruang untuk lebih banyak peluang kolaborasi dan lawatan balas pada masa akan datang.

"Ketika lawatan kampus, kami berkesempatan melawat inovasi dan projek robotik pelajar yang memasuki pertandingan.

"Melalui sesi lawatan itu, ia membuka ruang berkongsi idea kerana PMM juga mempunyai pasukan robotik, sekali gus mungkin boleh dilihat sebagai peluang mengadakan perlawanan persahabatan robotik antara kedua-dua pihak.

"Kami juga dibawa ke bilik inkubator dan projek 'Start-Up bisnis' pelajar di mana jelas kelihatan peluang untuk berbincang strategi pemasaran serta projek 'start-up' pelajar antara PMM dan Institut Asia." katanya.

Institut Asia juga menyampaikan hasrat untuk melawat PMM 2023 dan seterusnya menandatangani jaringan Kerjasama Agreed Minutes of Meeting (AMM).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 November 2022 @ 7:00 AM