GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Suriany Awaludin

Apakah hukum suami tanpa berniat apa-apa melihat kaki isterinya lalu mengatakan ia sama seperti kaki ibunya. Adakah itu jatuh zihar dan suami berkenaan perlu membayar kaffarah

Musykil, Kuala Lumpur

Perbuatan zihar berasal daripada perbuatan golongan pada zaman jahiliah yang saling menziharkan isteri mereka. Dia akan berkata kepada isterinya: “Kamu ke atas diriku sama seperti bahagian belakang ibuku.”

Ia dianggap sebagai talak pada zaman jahiliah dan mereka melafazkannya untuk tujuan menjatuhkan talak. Asal perkataan zihar merujuk kepada perkataan seseorang suami terhadap isterinya: “Anti kazahri ummi” yang bermaksud: “Engkau seperti belakang ibuku.”

Ia dinamakan sebagai zihar kerana merujuk kepada perbuatan yang berasal daripada perkataan suami menyamakan isteri dengan anggota belakang ibunya.

Ulama fiqh menyatakan, zihar itu bertujuan menyamakan isteri dengan orang yang mahram muabbad kepada suami.

Aspek penyamaan yang dibuat itu menggambarkan seolah-olah isterinya haram disetubuhi seperti haramnya dia menyetubuhi ibu kandungnya sendiri atau mahramnya yang lain.

Firman Allah SWT mengenai isu zihar ini adalah sebagaimana Surah al-Mujaadilah, ayat 2 yang bermaksud: “Dan mereka yang menziharkan isteri-isteri mereka daripada kalangan kamu bahawanya mereka itu (para isteri) diserupakan sebagai ibu-ibu mereka (dari sudut keharaman). Sesungguhnya ibu-ibu mereka itu tidaklah melainkan yang mengandungkan mereka. Sesungguhnya mereka mengatakan sesuatu yang mungkar dan juga dusta. Sesungguhnya Allah itu Maha Pemaaf lagi Maha Pengampun.

Imam al-Qurthubi Rahimahullah dalam mengulas ayat itu menyatakan: “Hakikat zihar adalah menyerupakan bahagian belakang dengan bahagian belakang. Iaitu menyamakan bahagian belakang yang halal kepada bahagian belakang yang haram.

Oleh itu, ulama bersepakat, sesiapa yang mengatakan kepada isterinya: “Kamu ke atas aku seperti bahagian belakang ibu aku” adalah seorang yang melakukan zihar.

Kebanyakan ulama berpandangan, zihar berlaku sekiranya seorang suami berkata kepada isterinya: “Kamu ke atasku seperti belakang anak perempuanku atau belakang adik- beradik perempuanku dan selainnya daripada kalangan mahram.

Walau bagaimanapun, dalam menyelesaikan permasalahan semasa mengenai isu zihar ini, ia perlu dilihat kepada lafaz yang dibuat yang boleh dikaitkan berlakunya zihar.

Lafaz zihar juga sebagaimana lafaz talak mempunyai dua keadaan iaitu jelas (sarih) atau kinayah kiasan atau tidak jelas. Jika lafaz jelas, tiada sebarang isu kerana sudah jelas hukumnya.

Bagi lafaz berbentuk kinayah atau kiasan, ia memerlukan kepada niat suami yang melafazkannya. Lafaz sarih seperti: “Kamu ke atasku seperti bahagian belakang ibuku.”

Demikian juga ungkapan seperti: “Kamu ke atasku seperti perut ibuku atau seperti kepalanya atau farajnya atau seumpama dengannya.”

Begitu juga dengan ucapannya: “Faraj kamu atau kepala kamu, perut kamu atau kaki kamu ke atas diriku sama seperti bahagian belakang ibu aku.”

Maka, orang yang mengucapkan itu sudah melakukan zihar. Lafaz kinayah pula apabila ungkapan seorang suami kepada isterinya: “Kamu ke atasku seperti ibuku atau seumpama ibuku.”

Dalam hal itu, niat pengucapnya perlu diambil kira. Sekiranya seseorang itu memaksudkan zihar, maka itu adalah zihar. Sekiranya dia tidak bermaksud zihar, maka dia tidak dianggap sebagai pelaku zihar di sisi Imam al-Syafie dan juga Imam Abu Hanifah.

Kesan sekiranya berlaku zihar oleh suami, maka hukumnya adalah haram. Suami atau isteri perlu segera merujuk ke pejabat agama berdekatan mengenai kedudukan zihar berkenaan.

Sekiranya sah atau sabit zihar, maka suami perlu membayar kaffarah. Zihar tidak lagi memberi kesan kepada talak kerana Allah SWT sudah memberi rukhsah (keringanan) kepada kita dengan menjadikan pada zihar itu ada kaffarah dan tidak menjadikan ia sebagai talak seperti berlaku pada zaman jahiliah.

Jika lafaz suami berbentuk kinayah (kiasan) seperti: “Awak cantik macam ibu saya”, “Awak pandai memasak seperti ibu saya”, “Ketinggian awak macam adik perempuan saya”, “Saiz badan awak macam kakak saya” dan ucapan yang seumpama dengannya, itu tidak membawa maksud zihar yang sebenar.

Ini kerana seseorang yang mengungkapkan ucapan seperti itu tidak bertujuan untuk mengharamkan isterinya ke atas dirinya.

Merujuk persoalan pembaca mengenai perkataan suami yang tanpa niat mengatakan kaki isteri seperti kaki ibunya, suami menyatakan dia tidak berniat zihar, maka menurut pandangan mazhab Syafie dan mazhab Hanafi itu tidak dianggap sebagai zihar. Jika tidak disabitkan zihar, maka tidak perlu suami membayar kaffarah berkenaan.

Penulis adalah peguam syarie

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Mei 2019 @ 11:11 AM