GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Suriany Awaludin

Saya ingin mohon pencerahan berhubung situasi adik ipar (lelaki) dalam keadaan marah pernah berkata kepada ibunya mahu menceraikan isterinya dengan talak tiga.

Kenyataan itu jelas didengar saya dan suami. Ketika itu, isterinya tiada di situ dan mereka berdua tinggal berasingan kerana tiada persefahaman.

Bagaimanapun, selepas kes dibawa ke mahkamah, mahkamah memutuskan adik ipar saya dan isterinya jatuh talak satu, bukan talak tiga sebagaimana yang dilafazkan sebelum itu.

Adakah keputusan itu dibuat kerana ketiadaan isteri ketika lafaz dibuat?

Raudhah, Sungai Buloh

UNDANG-UNDANG Keluarga Islam di Malaysia tidak memperuntukkan berkaitan satu lafaz talak tiga sekali gus atau diulang-ulang beberapa kali sebagai perceraian talak tiga.

Namun, kebanyakan penghakiman dibuat bagi kes seumpama itu, jatuh tiga talak. Jumhur ulama berpegang kepada jatuh talak tiga bagi talak tiga sekali gus dan talak yang diulang-ulang.

Dalam konteks Mahkamah Syariah, prosiding ketika perbicaraan berlangsung adalah sebahagian proses penyiasatan dalam kehakiman.

Sebagaimana ditetapkan Undang-undang Keluarga Islam Negeri Selangor di bawah Seksyen 57 iaitu:

l

Walau apa pun seksyen 55, seseorang yang menceraikan isterinya dengan lafaz talak di luar mahkamah dan tanpa kebenaran mahkamah, hendaklah dalam masa tujuh hari daripada lafaz talak itu melaporkan kepada mahkamah.

l

Mahkamah hendaklah mengadakan siasatan untuk memastikan sama ada talak dilafazkan itu sah mengikut hukum syarak.

Mahkamah pula dalam menjalankan bidang kuasa yang diperuntukkan mengikut Seksyen 57 (2) akan menjalankan siasatan terperinci dan lengkap.

Siasatan itu berpandukan kehendak hukum syarak dalam memberikan penghakiman atau keputusan rukun dan syarat talak itu sepenuhnya.

Mahkamah membuat penilaian terlebih dahulu lafaz yang dibuat sebelum membuat keputusan. Justeru itu, arahan Amalan No.10 Tahun 2007 menghendaki mahkamah mengadakan siasatan ke atas pihak terbabit untuk mendapatkan fakta kes sebelum, semasa dan selepas talak tiga dilafazkan.

Ia bagi memastikan talak yang dilafazkan itu memenuhi rukun dan syarat sebelum mensabitkan lafaz talak. Fakta kes sebelum, semasa dan selepas talak tiga dilafazkan akan diperoleh melalui kesaksian yang diberikan di mahkamah sama ada secara ikrar, syahadah, bayyinah, qarinah dan sebagainya.

Sebelum menentukan sesuatu lafaz talak boleh disabitkan atau tidak, mahkamah akan mengenal pasti bentuk lafaz talak yang diucapkan suami sama ada lafaz itu termasuk di dalam lafaz sarih atau kinayah.

Sekiranya mahkamah berpendapat lafaz itu sarih, maka niat tidak diperlukan. Sekiranya itu lafaz kinayah dan suami mengakui berniat menceraikan isteri ketika lafaz berkenaan, maka mahkamah akan mensabitkan lafaz itu.

Beberapa faktor turut diambil mahkamah sebelum keputusan dibuat iaitu melihat sejarah hubungan kedua-dua pihak, keadaan ketika lafaz, kekesalan yang ditunjukkan pihak suami dan keinginan untuk pihak berkenaan kembali semula.

Mahkamah juga akan melihat qarinah yang ada bagi menunjukkan pihak berkenaan bersungguh-sungguh kembali semula.

Dalam keadaan itu, mahkamah akan mensabitkan talak tiga yang dibuat sekali lafaz di luar mahkamah sebagai talak satu.

Lazimnya, lafaz yang membabitkan talak tiga suami mengucapkan secara lisan kepada isteri menggunakan perkataan talak tiga sekali lafaz, “Saya ceraikan kau dengan talak tiga”, “Dengan ini aku ceraikan kamu dengan talak tiga”, “Aku ceraikan kau dengan talak tiga”, “Saya ceraikan kamu dengan talak tiga”, dan “Abang ceraikan awak dengan talak tiga”.

Hakim bicara mensabitkan lafaz itu sah dan menjatuhkan talak. Mahkamah memutuskan tertalak isteri dengan talak tiga kali pertama berjumlah tiga talak secara ‘bain kubro’ kerana lafaz itu jelas serta wujud perkataan cerai dan bilangan talak, talak dilafazkan secara lisan oleh suami dan cukup menggambarkan niat suami menceraikan isteri, lafaz berkenaan ditujukan kepada isteri yang sah bagi orang yang melafazkan talak itu dan lafaz dipersetujui orang yang melafazkannya tanpa bantahan.

Bagi kes perceraian adik ipar diputuskan mahkamah sabit jatuh satu talak sahaja, saya pasti mahkamah menjalankan siasatan terperinci terhadap keadaan keseluruhan lafaz berkenaan.

Ketiadaan isteri ketika suami melafazkan talak tidak memberi kesan kepada hukum pensabitan talak berkenaan. Ini kerana rukun suami, isteri (yang masih dalam kekuasaan suami) adalah sempurna.

Mahkamah sudah pasti menyiasat rukun lafaz itu dengan teliti sehingga mensabitkan hanya jatuh satu talak.

Wujud perbezaan penyataan hasrat dan pengucapan lafaz sebenar talak berkenaan. Bagaimanapun, sekiranya tidak berpuas hati keputusan mahkamah, boleh membuat rayuan ke mahkamah lebih tinggi supaya keputusan pertama itu boleh diteliti semula.

Penulis peguam syarie

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 January 2019 @ 12:46 PM