DARI kiri, Mohd Hafidz, 30, Muhammad Fitri, 26, Mohd Saiful Nizam, 38, dan Muhammad Harith, 14 melihat koleksi buku peninggalan arwah ayah mereka Mokhtar Yusof yang merupakan pemilik Dusun Buku di  Kampung Dusun, Kuala Ibai.
DARI kiri, Mohd Hafidz, 30, Muhammad Fitri, 26, Mohd Saiful Nizam, 38, dan Muhammad Harith, 14 melihat koleksi buku peninggalan arwah ayah mereka Mokhtar Yusof yang merupakan pemilik Dusun Buku di Kampung Dusun, Kuala Ibai.
Mohd Rizal Azman Rifin

Bagi sesetengah orang, hobi yang dilakukan mungkin kurang menarik,namun tetap unik. Begitulah apabila memperkatakan mengenai hobi.

Hanya tuan punya badan sahaja mampu mengungkapkan betapa nikmatnya melakukan hobi yang digemarinya.

Membaca buku contohnya, ada sanggup berhabis wang ringgit semata-mata mahu mendapat buku yang diminatinya.

Barangkali bagi orang biasa, cukup sekadar dapat membaca di perpustakaan awam sahaja.

Di negara maju, kadar kunjungan penduduk ke perpustakaan sangat tinggi. Walau bagaimanapun, kita boleh tersenyum apabila ada kajian menunjukkan kadar pembacaan rakyat negara ini mula menunjukkan peningkatan.

Ini menunjukkan amalan membaca buku khususnya buku ilmiah dalam kalangan masyarakat semakin meningkat.

Seorang rakyat Malaysia yang patut kita kagumi dan jejaki langkahnya adalah usaha dilakukan seorang pesara guru, Mokhtar Yusof berasal dari Terengganu.

Bekas guru besar di sebuah sekolah kebangsaan di Terengganu itu meninggal dunia baru-baru ini. Namun, beliau meninggalkan satu khazanah yang amat bernilai dengan mengasaskan sebuah perpustakaan mini dikenali ‘dusun buku’ di Kampung Dusun Kuala Ibai, Kuala Terengganu.

Semasa hayatnya, Allahyarham adalah pencinta buku yang mengorbankan wang ringgit, masa dan tenaga demi mewujudkan sebuah perpustakaan persendirian.

Dusun Buku yang wujudnya sekitar 80-an itu bermula dengan 2,000 buku. Seterusnya, ia bertambah sehingga lebih 14,000 buku terdiri daripada pelbagai jenis bacaan seperti fiksyen, ilmiah, agama, eksiklopedia dan kanak-kanak dalam bahasa Melayu dan Inggeris.

Natijahnya, perpustakaan itu kini dapat dinikmati sesiapa sahaja yang berkunjung anak kampung di sekitar tempat tinggalnya.

Seperti dilaporkan media hingga ke akhir hayatnya, Allahyarham masih aktif melakukan usaha untuk menambah bilangan koleksi bukunya di perpustakaannya itu.

Seorang anaknya menyatakan, Allahyarham memang sangat suka membaca dan sentiasa menambah koleksi buku termasuk membeli secara atas talian atau mendapatkannya di luar negara.

Jelas kepada kita semasa hayatnya beliau sememangnya seorang penggemar ilmu. Lebih mengagumkan, koleksi buku yang terdapat di Dusun Buku miliknya itu bukan terhad untuk kegunaan peribadinya atau ahli keluarganya semata-mata.

Malah, ia disediakan untuk masyarakat sekitar khususnya anak kampung yang jadikan Dusun Buku sebagai destinasi singgah seterusnya membaca bahan bacaan yang disediakan.

Ini sesuatu yang boleh dianggap sebagai pendekatan usaha murni seorang Muslim untuk menggerakkan budaya ilmu dalam kalangan ummah.

Menjadi seorang penggerak ilmu adalah salah satu ciri Muslim unggul dan menepati apa yang dianjurkan Islam.

Kerjaya dan pengalaman selama puluhan tahun berkecimpung dalam dunia pendidikan sudah tentu ia rutin hidupnya sudah sebati untuk terus menyampaikan ilmu.

Bagaimanapun, cara dan pendekatan yang diusahakan beliau itu bukan sekadar penyampai ilmu sahaja, sebaliknya beliau mahu menjadi seorang ‘penggerak ilmu’ yang inginkan budaya membaca kembali mengungguli masyarakat sekitar kampung serta negeri kelahirannya di Terengganu.

Apa yang dilakukan Allahyarham ketika hayatnya juga adalah satu bentuk sedekah jariah yang pastinya ganjaran pahala itu sentiasa mengalir meskipun beliau sudah tiada lagi di dunia ini.

Ia menepati apa yang diberitahu Rasulullah SAW melalui satu hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah dan al-Baihaqi.

Dalam sabdanya, baginda SAW memberitahu, “Sesungguhnya amal soleh yang akan menyusul seorang Muslim setelah meninggal dunia kelak ialah ilmu yang diajarkannya dan sebarkan, anak soleh yang ditinggalkannya, mashaf al-Quran yang diwariskannya, masjid yang dibangunkannya, rumah tempat singgah musafir yang didirikannya, air sungai yang dialirkannya dan sedekah yang dikeluarkannya di kala sihat dan hidup. Semua itu akan menyusul ketika dia meninggal dunia kelak.”

Islam juga sentiasa mengajak umatnya menjadi manusia yang bermanfaat untuk orang lain. Malah, baginda SAW sendiri memberitahu ciri-ciri Mukmin terbaik ialah mereka yang bermanfaat untuk orang lain.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sebaik-baik manusia adalah yang berguna bagi sesamanya.” (Hadis riwayat at-Tirmizi)

Usaha Allahyarham itu antara usaha mengajak orang ramai khususnya generasi muda Muslim minat membaca.

Penulis ialah pensyarah Politeknik Muadzam Shah

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Julai 2018 @ 3:03 PM