TENGKU Abdullah (tengah) dan Tunku Azizah Aminah Maimunah (kiri) meninjau ruangan pameran selepas merasmikan bangunan Perpustakaan Awam Pahang.
TENGKU Abdullah (tengah) dan Tunku Azizah Aminah Maimunah (kiri) meninjau ruangan pameran selepas merasmikan bangunan Perpustakaan Awam Pahang.
Shahrinnahar Latib

Kuantan: Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, semalam berkenan menamakan Perpustakaan Awam Pahang di Jalan Kemunting, di sini sebagai Perpustakaan Sultan Haji Ahmad Shah.

Tengku Abdullah bertitah, perpustakaan itu dinamakan sempena nama ayahanda baginda bagi memuliakan Hari Keputeraan Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah pada tahun ini.

Baginda bertitah, cadangan itu juga sesuai dengan keperibadian Sultan Ahmad Shah yang disifatkan sebagai ‘ulat buku’.

“Saya ingin berkongsi mengenai minat membaca ayahanda yang amat mendalam. Apabila saya ingin mengadap ayahanda di dalam bilik, saya perlu melalui kiri dan kanan pelbagai jenis bahan bacaan.

“Tuanku Sultan begitu bersungguh-sungguh dan berminat untuk membaca buku sewaktu berehat. Saya boleh anggap Tuanku seorang ‘ulat buku’ kerana minat kepada pelbagai bahan bacaan.

“Minat Sultan membaca buku sewaktu berehat dan terdapat pelbagai koleksi peribadi membuatkan baginda sangat berpengetahuan luas dengan ilmu dan fakta menarik,” titah baginda ketika berangkat mencemar duli merasmikan bangunan Perpustakaan Awam Pahang di Jalan Kemunting di sini, semalam.

Turut berangkat, Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Teknologi Hijau, Komunikasi dan Multimedia Pahang, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff.

Dalam pada itu, baginda juga meminta semua pihak memperhebatkan program berkaitan tulisan jawi kerana ia adalah warisan bangsa Melayu yang perlu dipertahankan.

“Selain daripada apa yang dilaksanakan oleh pihak perpustakaan, kita juga perlu ada inisiatif mengajar, mendidik, memperkemas dan memperluaskan tentang tulisan jawi kerana ia adalah warisan bangsa kita.

“Pihak berkaitan perlu mengusahakan soal tulisan jawi ini supaya diangkat menjadi lebih baik. Malah tulisan Cina dan India juga perlu dipelajari dan diperluas supaya kita boleh dijadikannya sebagai pusat sehenti untuk semua jenis pendidikan dan pengetahuan,” titahnya.

Baginda juga meminta rakyat menjadikan semua 74 perpustakaan di negeri ini sebagai gedung menuntut ilmu.

“Masyarakat mesti cakna dan mengambil serius perkara ini serta memanfaatkan perpustakaan sebagai sumber gedung ilmu,” titahnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 November 2018 @ 10:19 AM