AKTIVITI menggalakkan masyarakat mencintai buku seharusnya dilakukan secara berterusan.
AKTIVITI menggalakkan masyarakat mencintai buku seharusnya dilakukan secara berterusan.
Rizal Azman Mohd Rifin

 

Pada 23 April setiap tahun, masyarakat dunia akan meraikan Hari Buku Sedunia yang sejarah permulaan sambutan itu telah diadakan di Sepanyol. Hingga kini, sambutan Hari Buku Sedunia semakin mendapat tempat dan menarik minat khalayak awam kerana daya celik literasi dan dahaga ilmu telah meningkat dengan ketaranya.

Pelbagai usaha dan pendekatan telah dan sedang dilaksanakan oleh pihak kerajaan dan swasta dalam ikhtiar menjadi aktiviti membaca sebagai satu budaya dalam kalangan rakyat. Meskipun, dunia hari ini, perkembangan ICT dengan kerancakan inovasi peranti dan gajet, tetapi budaya membaca masih kekal bertahan.

E-book dan sumber maklumat yang senang diperoleh menerusi skrin telefon pintar juga belum lagi mampu 'memadamkan' semangat sesetengah anggota masyarakat untuk mendapat bahan bacaan secara fizikal.

Melihat kepada senario semasa yang ada dalam tanah air kita juga menunjukkan trend membaca secara maya belum berjaya mengambil alih sepenuhnya fungsi budaya membaca. Hal ini kerana membaca buku dan sumber bacaan secara fizikal tetap dianggap sebagai budaya membaca tulen yang lebih memberikan kesan yang mendalam kepada pembaca.

Apabila kita meneliti sejarah budaya membaca dalam kalangan umat Islam, maka meninjau sejarah silam menjadi satu bukti bahawa membaca memang telah menjadi budaya yang cukup subur berkembang.

Al Jahiz yang terkenal sebagai seorang ulama dan ilmuwan yang asalnya seorang penjual roti merupakan contoh seorang Muslim yang sangat 'mencintai' aktiviti membaca. Beliau pernah memberi komentar peribadi tentang minatnya yang sangat mendalam dalam aktiviti membaca dengan katanya: "Buku itu dia apabila engkau mengkehendakinya diam, berbicara apabila engkau menghendakinya berbicara. Ia tidak mengganggu kalau engkau sedang bekerja, tetapi apabila engkau berasa kesepian, ia akan menjadi temanmu yang baik..." 

Kata-kata beliau itu menggambarkan betapa cintanya terhadap buku dan membaca. Sebenarnya, sekiranya kita tekun meneliti perkembangan sejarah Islam terdahulu, maka kita akan menemui banyak kalangan ulama yang sangat rajin membaca. Seolah-olah buku adalah teman yang paling mereka cintai. Begitu juga dengan seorang lagi ulama yang terbilang, Imam Ibnu al-Jauzi yang pernah berkata: "Aku tidak pernah merasa kenyang (puas) dalam membaca buku. Sekiranya aku melihat buku, seolah aku berada di sekeliling khazanah harta (yang tidak ternilai)."

Peristiwa yang membawa kematiannya jelas membuktikan betapa cintanya terhadap buku dan aktiviti membaca. Dia dikatakan telah meninggal dunia kerana ditimpa kitab-kitab dalam bilik bacaannya. Walaupun ada sejarawan lain memberikan sebab lain berhubung kematiannya.

Namun pendapat yang masyhur mengatakan Al-Jahiz meninggal pada 255H di Kota Baghdad, Iraq. Dia meninggal dunia kerana tertimpa koleksi buku-bukunya di bilik bacaannya sewaktu beliau sedang menelaah buku.

Seperkara yang perlu sangat kita insafkan ialah terbina ketamadunan Islam pada zaman yang dikenali sebagai 'abad pertengahan.' Ketika itu, umat Islam dilanda fenomena 'gila membaca' yang luar biasa sehingga muncul ramai ulama yang berjaya menghasilkan buku/kitab untuk dijadikan bahan bacaan masyarakat awam.

Pada ketika itu, buku, baca dan tulis telah menjadi satu fenomena baru yang begitu berjaya mengangkat imej dan sekali gus menjadi ciri-ciri agung yang tidak ada pada umat-umat yang lain. Dengan kata lain, orang-orang Islam adalah pelopor kepada hidup dan bersemaraknya budaya membaca buku dan menulis karya.

Pada era itulah kita dapat kata bahawa buku, baca dan tulis benar-benar 'pantulan iqrak'. Ini kerana intipati Surah al-Alaq, iaitu surah pertama diturunkan kepada Junjungan Mulia Nabi SAW adalah perintah agar membaca. Para ulama, ilmuwan malah masyarakat umum di ketika itu benar-benar memahami apa yang diwahyukan dalam Surah al-Alaq itu, lantas membuatkan mereka tidak terasa bahawa buku, baca dan tulis itu bukan sesuatu yang membosankan sebaliknya mereka berasa ia adalah satu ibadah yang memberikan ganjaran pahala di sisi Allah.

Jelas sekali suasana umat Islam di zaman pertengahan adalah tempoh kegemilangan yang dicapai oleh umat Islam khususnya dalam budaya membaca dan meneroka ilmu pengetahuan. Seharusnya budaya membaca, mengkaji dan menulis sebagaimana telah berjaya dengan cemerlang dicapai oleh ulama dan ilmuwan Islam terdahulu itu kita terus kekalkan dengan lebih bersemangat.

Alhamdulillah, di negara kita sejak sekian lama telah diadakan pelbagai acara untuk menarik minat orang ramai agar menjadikan membaca sebagai satu budaya hidup. Misalnya Pesta Buku yang diadakan di seluruh negeri di negara kita dan kemuncak pesta buku itu ialah Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL).

Saban tahun, kita dapat saksikan bagaimana trend membaca buku masih lagi kekal meskipun rata-rata masyarakat kita lebih banyak terdedah kepada bacaan melalui skrin. Hakikat itu membuktikan bahawa budaya membaca buku secara fizikal tetap menjadi pilihan utama. Lebih membanggakan ialah keghairahan golongan anak muda remaja yang memenuhi pesta buku itu.

Dalam mengangkat kembali kejayaan ummah dalam pelbagai lapangan hidup khususnya pencapaian ilmu, maka hendak tak hendak aktiviti menggalakkan masyarakat mencintai buku seharusnya dilakukan secara berterusan. Usah hanya 'hangat-hangat tahi ayam' sahaja. Hangat dan bersemangat sekadar bermusim. Ini kerana aktiviti membaca yang dilakukan secara sambil lewa dan sekadar hobi tempelan semata-mata, maka usaha menterbilangkan kejayaan ummah masih jauh untuk dicapai.

Biarkan 'arahan iqrak' sebagai peristiwa penurunan wahyu sulung di Gua Hira' dulu seolah-olah satu arahan untuk diri kita juga. Kita berasa terpanggil untuk menjadikan aktiviti pembacaan buku sebagai wadah mencemerlangkan kejayaan dalam hidup. 

Moga-moga kita juga berasakan bahawa buku adalah pengusung peradaban ummah. Dengan itu, kita akan tetap meletakkan aktiviti pembacaan bukan kegiatan melepaskan batuk di tangga sahaja. Membaca buku adalah pilihan utama untuk menjayakan hasrat mengembalikan kecemerlangan peradaban ummah kerana melalui buku, segala aktiviti penerokaan ilmu dan menghayatinya mampu direalisasikan.


Penulis Pensyarah Kanan Politeknik Muadzam Shah

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 April 2024 @ 6:00 AM