FOTO Hiasan.
FOTO Hiasan.
Fadly Samsudin

APABILA menerima berita kematian insan yang bukan ahli keluarga kita, malah dia juga bukannya orang terkenal ketika hayatnya, kenapa kematiannya didoakan serta ditangisi orang ramai?

Itulah antara ciri-ciri kematian yang dicemburui manusia yang menjadi saksi kebaikan insan itu ketika hayatnya di dunia.

Kita biasa dihidangkan kisah sebilangan insan terpilih yang dijemput Ilahi ketika berada di Tanah Suci Makkah atau Madinah.

Sebelum kematiannya, tahap kesihatannya baik malah berpeluang melakukan ibadat dengan sempurna.

Begitu juga, ada insan yang meninggal dunia sedang solat, berzikir, membaca al-Quran atau sedang menjalankan tugas seperti dilakukan anggota penyelamat dan anggota keselamatan.

Apakah sebenarnya amalan dilakukan insan hebat itu sehingga dimuliakan Allah pada saat pemergiannya?

Pensyarah Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV), Universiti Sains Malaysia, Dr Mohd Shukri Hanapi berkata, sebenarnya banyak amalan tanpa kita sedari ia sebenarnya mengundang rahmat Allah SWT.

“Saya bawakan beberapa contoh antaranya, mengenai pendakwah iaitu Allahyarham Ustaz Murtadha Yusuf yang meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya awal tahun lalu.

“Kematiannya dimuliakan Allah SWT apabila jemaah yang hadir untuk solat jenazahnya sangat ramai dan luar biasa. Ma-

lah, solat jenazahnya diimamkan seorang ulama tersohor, Syeikh Kurrayyim Rajih.

“Balu arwah, Nurulana Shafie menyatakan arwah suaminya sangat menjaga hubungan dengan semua orang dan sering memuliakan guru-gurunya.

“Selain itu, arwah juga tidak meninggalkan amalan membaca Surah al-Mulk setiap malam sebelum tidur,” katanya.

Katanya, satu lagi contoh yang boleh dijadikan teladan adalah sisi hebat pendakwah terkenal di Indonesia, Allahyarham Ustaz Jefri Buchori yang meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya.

“Walaupun arwah pernah melalui detik hitam dalam hidupnya akibat terjebak dengan penagihan dadah, arwah berusaha bertaubat dan menghabiskan sisa usianya menuntut ilmu di pondok, seterusnya menjadi pendakwah di Indonesia.

“Kematiannya sangat dicemburui kerana jemaah yang datang solat jenazahnya memenuhi ruang Masjid al-Istiqlal, Jakarta.“Ramai umat Islam menangisi kematiannya. Amalan yang jelas mengundang rahmat Allah SWT yang diamalkan olehnya ialah bertaubat nasuha dan kembali mendekati Allah SWT.

“Jelas kepada kita, apabila seseorang itu hidup dalam rahmat Allah SWT, hidupnya dimuliakan sehingga saat dia pergi menemui Ilahi,”katanya.

Beliau berkata, dalam kitab al-Nuqath al-‘Asyarah al-Zahabiyyah, Syeikh ‘Abd al-Rahman al-Dusari menukilkan amalan yang mengundang rahmat Allah SWT terutamanya ketika kematian.

“Antara amalan itu termasuk sering beristighfar memohon keampunan daripada Allah SWT, berbuat baik kepada manusia sama ada dengan ucapan, perbuatan, harta dan kedudukan.

“Selain itu, menyebarkan kasih sayang sesama makhluk sama ada manusia mahupun haiwan. Rasulullah SAW bersabda

yang bermaksud: ‘Orang-orang yang penyayang, maka Allah SWT akan menyayangi mereka (memberikan rahmat kepada mereka), sayangilah penduduk bumi, nescaya penduduk langit akan menyayangi kalian.’”(Riwayat Abu Daud dan Al-Tirmizi)

“Berkasih sayang itu lebih ditekankan lagi kepada golongan fakir dan miskin yang sangat memerlukan,” katanya.

Dr Mohd Shukri berkata, kematian datang tanpa diduga dan sebab itu manusia tidak boleh mencampurkan amal soleh dan buruk sekali kerana dibimbangi kematian nanti datang dalam keadaan kita sedang melakukan perkara buruk.

“Sudah pasti setiap Muslim bercita-cita mahu meninggal dunia dalam keadaan khusnul khatimah. Khusnul khatimah bermaksud kematian atau kesudahan yang terbaik dalam hidup.

“Berdasarkan dalil al-Quran dan hadis, beberapa tanda seseorang itu mendapat khusnul khatimah adalah meninggal dunia dengan melafazkan kalimah syahadah. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: ‘Sesiapa yang akhir perkataannya adalah la ilaha illallah maka dia akan masuk syurga.’” (Riwayat Abu Dawud)

“Selain itu, seseorang yang meninggal dunia pada malam Jumaat atau hari Jumaat. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Tidaklah seorang Muslim meninggal dunia pada hari Jumaat atau pada malam Jumaat kecuali Allah akan menjaganya daripada fitnah kubur.” (Riwayat Ahmad dan al-Tirmizi)

“Begitu juga apabila seseorang meninggal dunia dengan keringat di dahi, sakit perut termasuk sakit buah pinggang dan usus, wanita yang meninggal dunia ketika melahirkan bayinya serta meninggal dunia selepas melakukan amalan soleh,” katanya.

Beliau berkata, pada zaman ini juga kematian orang baik turut dinilai berdasarkan kandungan kebaikan yang mereka ‘tinggalkan’ menerusi akaun laman sosial.“Orang akan mencaricari perkara itu semata-mata mahu dijadikan contoh kerana timbul rasa kagum dengan kemuliaan diterima si mati pada hari kematiannya.

“Kadang-kadang hanya amalan ringan saja, tetapi disebabkan ia dilakukan secara istiqamah, maka Allah SWT membalasnya dengan ganjaran kebaikan.

“Sudah pasti amal jariah yang ditinggalkan itu dimuliakan Allah SWT kerana disiplin mereka menjaga tutur kata, perlakuan dan tulisan.

“Sebagai pengajaran untuk kita yang masih hidup, jika berkata-kata, ucapkanlah kata-kata dengan penuh sopan. Jika menulis, tulislah kandungan atau perkara yang mendatangkan manfaat,” katanya.

Penulis wartawan Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 January 2019 @ 2:00 AM