Abnor Hamizam Abd Manap

Jelebu: Diletakkan tanggungjawab sebagai Imam di Masjid Kampung Kampai di sini, selain guru berzanji bukan halangan bagi Hasnidan Hussein, 61, untuk meneruskan minat melukis karikatur atau mural.

Malah, kebolehan dimiliki itu turut dijadikan pendapatan sampingan bagi imam masjid ini yang menggunakan nama pena Dan atau Dan Jelebu.

Hasnidan berkata, dia mula terbabit secara serius dalam bidang seni itu selepas menamatkan alam persekolahan menengah.

"Majalah Gelihati, Gila-Gila dan Batu Api antara komik humor yang saya sertai bermula 1980 hingga 1988 sama ada sebagai pelukis sambilan atau pelukis tetap.

HASNIDAN ketika melukis mural di sebuah hotel di Kuala Klawang.
HASNIDAN ketika melukis mural di sebuah hotel di Kuala Klawang.

"Tidak ada masalah untuk saya berkarya biarpun menjadi imam sejak 2019. Ia bukan satu bidang yang melalaikan, malah kebanyakan lukisan bertemakan pemandangan, berkaitan alam sekitar, haiwan dan berdasarkan kehidupan manusia.

"Selain melukis karikatur, saya juga boleh melukis potret, mural, seni halus dan kartun. Saya turut mempunyai pengalaman sebagai pelukis grafik, pencanting batik dan pelukis ilustrasi penerbitan," katanya.

Dia yang juga Ahli Persatuan Pelukis Negeri Sembilan berkata, kebolehan melukis dimilikinya itu adalah bakat semula jadi kurniaan Allah SWT.

ANTARA hasil karya Hasnidan.
ANTARA hasil karya Hasnidan.

Anak jati Kampung Kuala Pah itu berkata dia mula melukis selepas diminta mencantikkan dinding sekolah dengan lukisan mural pada usia 15 tahun.

"Saya diberi tanggungjawab itu oleh guru selepas mengetahui bakat yang ada. Hasil lukisan mural itu memuaskan hati guru terbabit.

"Selepas tamat sekolah saya mula bergiat aktif dalam seni lukis dan yakin bidang ini boleh memberi pendapatan jika dilakukan dengan betul," katanya.

Menurutnya, sebelum berkhidmat sebagai imam, dia pernah membuat pameran lukisan di Balai Seni Lukis Negara pada 2018.

"Dua lukisan pemandangan saya dibeli oleh Pengasas AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes pada harga RM7,500. Malah, beberapa orang kenamaan turut pernah membeli lukisan saya.

HASNIDAN menunjukkan karikatur yang dilukisnya.
HASNIDAN menunjukkan karikatur yang dilukisnya.

"Hasil jualan lukisan itu saya gunakan bagi membiaya rawatan perubatan arwah isteri yang menderita penyakit tiga serangkai sebelum arwah meninggal dunia pada Mac 2022," katanya.

Menurutnya, ketika ini melukis hanya dilakukan bagi mengisi lapang dan juga memenuhi permintaan kenalan melukis untuk karikatur, potret atau pemandangan.

"Sebagai imam, saya turut mengajar anak kampung mengaji dan berzanji di masjid," katanya yang bercadang mengadakan pameran secara solo di sebuah hotel di Kuala Klawang pada Disember ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Julai 2023 @ 7:00 AM