BAKTIAR (tengah) pada majlis perasmian Batik Explosion @ KLCC, baru-baru ini.
BAKTIAR (tengah) pada majlis perasmian Batik Explosion @ KLCC, baru-baru ini.
Fairul Asmaini Mohd Pilus

BATIK adalah lambang identiti bangsa Melayu yang sememangnya perlu dibanggakan dan diraikan sepanjang masa merentasi zaman.

Di negara ini, batik bukan sahaja digunakan secara meluas sebagai pakaian harian atau pakaian ke majlis rasmi malah turut dijadikan sebagai aksesori yang melengkapkan lagi gaya dekorasi sesuatu ruang.

Keistimewaan dan keindahan seni kraf tangan warisan itu juga dimartabatkan apabila kerajaan mengisytiharkan pada 3 Disember setiap tahun adalah Hari Batik Malaysia.

Bagi menghargai keunikan warisan batik Malaysia, Yayasan Budi Penyayang Malaysia (PENYAYANG) dan KL Convention Centre (KLCC) mengadakan program menarik, Batik Explosion @ KLCC.

Program sempena sambutan Hari Batik Kebangsaan itu turut mendapat kerjasama Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan), Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor, Chester London dan DSX Technology.

Pengerusi PENYAYANG, Nori Abdullah berkata, program adalah antara pendekatan pihaknya untuk mengenengahkan dan memajukan batik Malaysia.

Kata beliau, program itu bukan saja menyerlahkan keunikan batik tempatan malah memperlihatkan kemajmukan demografi Malaysia.

HADIAH kepada kanak-kanak kurang bernasib baik boleh diletakkan di bawah pokok gergasi, ‘Tree of Joy’ di KL Convention Centre, di ibu negara.
HADIAH kepada kanak-kanak kurang bernasib baik boleh diletakkan di bawah pokok gergasi, ‘Tree of Joy’ di KL Convention Centre, di ibu negara.

"Program ini memperlihatkan perpaduan, semangat saling sayang menyayangi dan cinta serta penghargaan warisan. Inilah Malaysia yang dicintai.

"Kami berharap usaha murni melalui kolaborasi ini dapat dikukuhkan untuk menjayakan program-program baru dan inovatif bagi memajukan lagi batik Malaysia.

"Bagi pihak PENYAYANG saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada Kraftangan atas segala tunjuk ajar, sokongan dan kerjasama yang dihulurkan kepada kami," katanya pada pada pada majlis perasmian program berkenaan, di ibu negara, baru-baru ini.

Program itu dirasmikan Pengerusi MyCreative Ventures Sdn Bhd, Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik dan hadir sama, CEO PENYAYANG, Datuk Lela Mohd Ali serta Timbalan Pengurus Besar KL Convention Centre, Robert Hatton-Jones.

Dalam pada itu, sepohon pokok batik 'Tree of Joy' gergasi turut dibina menggunakan kusyen batik dan besi keluli, diilhamkan dari pokok krismas.

Ia sempena musim keraian dan cuti sekolah pada akhir tahun selain pelawat ke pusat konvensyen itu boleh menderma hadiah untuk disampaikan kepada kanak-kanak di rumah kebajikan yang dikenal pasti Jabatan Kebajikan Selangor.

Menurut Nori, orang ramai boleh meletakkan hadiah mereka di bawah pokok berkenaan sehingga 11 Januari depan.

"Pada 13 Januari nanti, majlis 'Day of Joy' akan diadakan untuk menyerahkan hadiah terkumpul bagi meraikan 135 kanak-kanak dari Rumah Kasih Harmoni, Sungai Buloh ; Rumah Kanak-Kanak Trinity, Petaling Jaya ; Rumah Kanak-Kanak KIDS, Klang dan Rumah Kanak-Kanak Impian, Petaling Jaya," katanya.

Sementara itu, orang ramai juga berpeluang mencanting dan mewarnai batik dengan bantuan Alumni Piala Seri Endon.

POKOK batik “Tree of Joy” gergasi yang dibina menggunakan kusyen batik dan besi keluli, diilhamkan dari pokok krismas.
POKOK batik “Tree of Joy” gergasi yang dibina menggunakan kusyen batik dan besi keluli, diilhamkan dari pokok krismas.

Dua belas keping kain rentang ('drapes') disediakan untuk dicanting dan diwarnakan orang ramai.

Selain itu, pameran menarik 'Explorations Through Batik' yang mengandungi karya enam pelukis batik tersohor termasuk daripada arwah Khalid Shamsuddin Arshad turut dipamerkan

Nori berkata, legasi arwah ibunya akan diteruskan menerusi yayasan itu bagi memastikan kelestarian Batik Malaysia.

Justeru, kata Nori, pertandingan rekaan batik, Piala Seri Endon yang diadakan sejak tahun 2003 akan diteruskan selagi pihaknya mendapat sokongan.

Katanya, Piala Seri Endon adalah pertandingan rekaan batik bukannya pertunjukan fesyen dan kategori hiasan lembut serta kraftangan juga diadakan.

"Melalui pertandingan itu, ramai pereka batik berjaya dilahirkan selain menjanakan pelbagai cara serta kaedah untuk menghasilkan batik.

"Malah kami juga menghasilkan buku mengenai Batik Malaysia yang bertajuk 'Malaysian Batik: Reinventing A Tradition.' Semoga semua usaha itu akan dapat memartabatkan lagi batik Malaysia di persada antarabangsa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 November 2023 @ 7:02 AM