MEMBANTU ramai pengusaha batik yang terjejas.
MEMBANTU ramai pengusaha batik yang terjejas.
Muhamaad Razis Ismail


BATIK Malaysia boleh didefinisikan sebagai seni kraf hasil kerja tangan sepenuhnya atau sebahagiannya mempunyai motif beridentitikan seni dan budaya masyarakat Malaysia.

Ia melalui proses pembuatan batik dengan menggunakan lilin batik atau bahan serta teknik halangan warna bagi menghasilkan reka corak.

Teknik pembuatan batik terdiri daripada batik lukis (canting), batik terap, batik sutera saring dan batik alternatif.

Maka tidak hairan kraf tekstil tempatan khususnya batik kini menjadi pilihan utama masyarakat sama ada untuk kegunaan harian seperti pakaian, hadiah, hiasan dekorasi rumah dan pejabat.

Baru-baru ini Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri mengisytiharkan pada 3 Disember setiap tahun adalah Hari Batik Malaysia.

Pemilihan tarikh ini adalah sebagai penghargaan atas segala sokongan dan usaha yang disumbangkan Allahyarhamah Tun Datin Paduka Seri Endon Mahmud yang memulakan Gerakan Malaysian Batik-Crafted for the World untuk membawa batik tempatan ke arena antarabangsa pada 3 Disember 2003

Pada 3 Disember lalu, Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Dr Santhara J P melancarkan Hari Batik Malaysia di Kompleks Kraf Kuala Lumpur.

Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah Kraftangan Malaysia, Rubiah Wang berkata, pengisytiharan ini pastinya memberi manfaat khususnya kepada usahawan dan komuniti kraf batik.

Katanya, pengumuman ini adalah pengiktirafan kepada kraftangan khususnya industri batik menjadi elemen penting dalam pembangunan negara.

"Ia sekali gus dapat memartabatkan dan memperkasakan industri batik Malaysia, menyemarakkan pemakaian dan penggunaan dalam kalangan Keluarga Malaysia.

"Pada masa sama, ia dapat meningkatkan kesedaran dan memelihara warisan seni kraf negara yang sekali gus memastikan kelestarian industri kraf negara," katanya.

Katanya, ia juga adalah usaha bertepatan dengan konsep Keluarga Malaysia.

"Pada hari ini kita dapat lihat semua rakyat Malaysia berbilang kaum bersatu hati dalam menggayakan keunikan dan keindahan produk kraf tekstil batik," katanya.

KEPELBAGAIAN corak batik.
KEPELBAGAIAN corak batik.

Sementara itu, pereka batik Amir Harith Mat Kashim, 32, menyambut baik inisiatif kerajaan yang dapat merancakkan industri batik.

Katanya, pengumuman itu dibuat tepat pada masanya selepas ramai pengusaha batik terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.

"Langkah kerajaan ini dapat mengembalikan semangat ramai pengusaha batik yang hampir mengangkat bendera putih akibat mengalami kerugian besar.

"Pastinya pengumuman ini membantu mengembangkan lagi industri batik ke peringkat lebih tinggi," katanya.

Penerima anugerah pertandingan Rekaan Batik Piala Seri Endon 2013 dan 2014 serta Anugerah Tangan Emas Perdana Menteri 2009 itu antara individu yang aktif menghasilkan pelbagai rekaan batik eksklusif di negara ini.

Menurutnya, batik Malaysia mempunyai keunikan tersendiri kerana mempunyai pelbagai motif yang moden dan terkini.

"Oleh itu, batik Malaysia perlu terus dihargai sebagai warisan tidak ternilai negara," katanya.

Bagi pelukis batik, Amran Hamid bersyukur dengan keprihatian Perdana Menteri yang mengisytiharkan Hari Batik Malaysia pada 3 Disember.

"Batik adalah warisan seni tekstil yang perlu dijaga supaya ilmu dalam proses pembuatan tidak dilupakan generasi akan datang.

"Pada masa sama, ia dapat meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat bahawa batik bukan hanya sesuai untuk dipakai pada hari tertentu, malah sesuai dijadikan pakaian harian.

"Budaya ini secara tidak langsung membantu industri batik terus berkembang," katanya.

Beliau yang juga peserta Abilimpik Malaysia ke Pertandingan Abilimpik Antarabangsa di Moscow, Rusia tahun hadapan bagi kategori seni tangan sutera akan berusaha melakukan yang terbaik, sekali gus mengangkat batik Malaysia di peringkat antarabangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Disember 2021 @ 7:00 AM