MURID sekolah yang terbabit dalam program Joy School.
MURID sekolah yang terbabit dalam program Joy School.
Yusliza Yakimir Abd Talib

WALAUPUN mungkin ada yang tahu mengenai amalan kitar semula, usaha untuk memahami kepentingannya masih terbatas. Malah ada yang menganggap ia perkara leceh kerana setiap barangan perlu diasingkan mengikut jenisnya.

Oleh itu, pendedahan awal terhadap amalan kitar semula khususnya kanak-kanak sekolah mengenai manfaatnya secara tidak langsung mendidik mereka menjadi individu prihatin.

Malah jika rakyat di negara ini membudayakan amalan kitar semula, kesan jangka panjang akan dapat melestarikan alam sekitar.

Baru-baru ini, Mondelez International (Malaysia) menjalin kerjasama dengan Me.reka Marketspace iaitu satu organisasi yang memperluaskan idea progresif kitar semula untuk menghasilkan sebuah taman permainan yang berasaskan penggunaan bahan terpakai di sekolah anak angkat Mondelez di bawah program Joy Schools.

Tahun ini, sekolah yang terbabit untuk program itu adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Seksyen 18 Shah Alam dan SK Bandar Sunway.

MURID diberi pendedahan mengenai kepentingan kitar semula.
MURID diberi pendedahan mengenai kepentingan kitar semula.

Program Joy Schools adalah sebahagian program tanggungjawab sosial korporat Mondelez International bertujuan memperkasakan kanak-kanak ke arah kesejahteraan keseluruhan melalui tiga cabang utama iaitu pendidikan mengenai nutrisi, menyediakan akses kepada makanan segar dan menyokong kegiatan aktif.

Pengarah Urusan Mondelez International Malaysia dan Singapura, James Kane berkata, melalui penghasilan taman permainan yang diberi nama ‘Upcycle Joy Playground’, pihaknya dapat menyokong dua perkara yang amat diberi perhatian sebagai sebuah syarikat iaitu kesejahteraan masyarakat.

Katanya, dengan memasukkan elemen Joy Schools ia menggalakkan kanak-kanak bergiat aktif, cerdas serta cergas melalui penggunaan Joy Playground.

“Kami juga ingin mendidik kanak-kanak mengenai kepentingan menggunakan bahan kitar semula dalam usaha menyelamatkan alam sekitar.

“Apa yang lebih menarik mengenai taman permainan ini, kami mengadakan bengkel dua hari disertai murid di kedua-dua sekolah ini untuk memberi pendedahan kepada kepentingan kitar semula.

“Selain itu, kami dan murid sekolah itu juga berganding bahu membina projek Joy Playground ini untuk membolehkan mereka belajar melalui pengalaman melalui aktiviti ini.

“Ia juga dapat menggabungkan komponen kognitif melalui pemahaman yang disampaikan oleh fasilitator yang terdiri daripada sukarelawan Me.reka dan Mondelez Malaysia, komponen psikomotor dalam elemen pembinaan dan pembuatan.

“Akhir sekali, afektif iaitu memberi tumpuan kepada nilai yang dipelajari dan mengaitkannya dengan tanggungjawab terhadap alam sekitar,” katanya.

Upcycle Joy Playground terdiri daripada empat binaan alat permainan iaitu:

KAYU KESEIMBANGAN

Ia bertujuan melatih kanak-kanak mengimbangkan badan dan meningkatkan kemahiran motor dan mengelakkan daripada kecederaan. Bahan yang digunakan ialah blok kayu dan bata eko.

BULLS EYE

Tujuannya membina fokus kanak-kanak, matlamat, tumpuan, dan sukan kompetitif yang sihat. Bahan yang digunakan ialah papan kayu terpakai dan penutup botol.

PAPAN PLINKO

Membina fokus kanak-kanak untuk mengemudi permainan, memberikan tumpuan untuk mencapai matlamat. Bahan yang digunakan terdiri daripada papan kayu terpakai, plastik dan penutup botol.

KERUSI DAN MEJA KITAR SEMULA

Sebagai sudut info dengan papan tanda yang mempunyai keterangan mengenai Joy Playground dan tujuannya. Antara bahan yang digunakan adalah bata eko, kayu balak dan tayar.

Inisiatif ini juga antara langkah positif syarikat menyokong komitmen global Mondelez International dalam usaha ke arah Sisa Sifar dengan menggunakan bahan yang boleh dikitar semula dalam pembungkusan menjelang 2025.

Menurut James, inisiatif itu juga tidak terhad hanya sekadar melalui Joy Schools sebaliknya dalam skala lebih besar yang dapat dilihat di kilang pembuatan syarikat itu seperti di kilang coklat Cadbury di Shah Alam.

MURID turut sama membantu membina alat taman permainan daripada bahan kitar semula.
MURID turut sama membantu membina alat taman permainan daripada bahan kitar semula.

Katanya, selain daripada menghantar sisa coklat, kertas dan plastik ke pusat kitar semula, pihaknya juga bekerjasama dengan syarikat pengurusan sisa yang mana sebarang bahan yang dibuang dan sisa yang berkaitan akan dikisar menggunakan teknologi terkini sebelum dihantar ke kilang simen sebagai alternatif kepada bahan api.

Segala usaha dan inisiatif yang dijalankan oleh syarikat itu, katanya bertepatan dengan strategi terbaru syarikat yang dilancarkan tahun lalu untuk memperkasakan orang ramai dalam memilih snek dengan betul. Jadi pihaknya perlu menawarkan snek yang tepat, pada waktu yang tepat dan dibuat dengan cara yang tepat.

“Secara keseluruhannya, syarikat sentiasa berusaha memastikan produk yang dihasilkan bukan saja

lazat tetapi dibuat dengan bahan yang didapati daripada sumber yang mampan dan diedarkan ke serata tempat dengan memberi kesan yang positif di sepanjang rantaian bekalan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Jun 2019 @ 4:30 AM