BERSAMA ibu yang menjadi tunjang karier.
BERSAMA ibu yang menjadi tunjang karier.
Intan Mas Ayu Shahimi


PERNAH dikritik dan dilabel ‘gila’ kerana menghasilkan motif batik berbeza daripada konsep biasa, Amir Harith Mat Kashim langsung tidak berkecil hati.

Anak kelahiran Kelantan ini sentiasa percaya pada bakat dimiliki. Tambahan ibunya, Azizah Abdul Wahab, 60, sentiasa di sisi, menjadi tunjang dalam kariernya sebagai pelukis batik kreatif.

Bagi Amir Harith yang popular dengan nama timangan Bujin, dia lebih arif mengenai hala tuju dan konsep batik yang mahu diketengahkan berbanding orang lain.

Jadi, tidak perlulah anak kelima daripada sembilan adik beradik ini menjelaskan satu persatu ideanya kepada penggerak batik di sekeliling setiap kali tampil dengan motif baharu.

Apa yang penting, dia mahu lebih ramai orang memilih hasil batik berkualiti, sekali gus mengangkat nilai fabrik berkenaan di pasaran tempatan hinggalah ke peringkat antarabangsa.

Kebetulan penulis sempat bertemu Azizah ketika lawatan program Kisah Kejayaan Bekas Graduan Institut Kraf Negara (IKN) di Pantai Timur bersama Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia di Kelantan, baru-baru ini.

Wanita ini tidak putus-putus mengukir senyum apabila anak kesayangannya dikerumuni jurugambar.

Kata Azizah yang membahasakan dirinya umi, dia bangga dengan bakat unik, kreativiti dan sikap optimis Amir Harith setiap kali berdepan kritikan, mahupun pujian ramai.


“Saya pernah beritahu pihak Kraftangan yang saya mahu Amir Harith dikenali dunia kerana dia memang pandai melukis dan menggabungkan ideanya dalam mencanting batik. Dia juga berpotensi menghasilkan batik unik.

“Mana tahu rupanya masin mulut umi. Dalam masa singkat, dia berpeluang mengikuti banyak pertandingan. Dia terpilih sebagai penerima Anugerah Tangan Emas Perdana Menteri 2009, kemudian menang lagi dalam Pertandingan Rekaan Batik Piala Seri Endon 2013 dan 2014,” katanya.

Selepas berbual panjang dengan Azizah, penulis menyertai rakan media lain melihat Amir Harith menyambung kerja mencanting batik bermotifkan pahlawan Melayu untuk koleksi terbarunya, Pendekar.

Sebelum Pendekar, kata Amir Harith, dia banyak mengangkat watak adiwira luar negara antaranya Hulk, Iron Man, Superman dan sebagainya.

Motif unik yang dicanting pada fabrik sutera itu juga pernah mencipta fenomena luar biasa dalam kalangan pelukis dan peminat batik tempatan.

Biarpun konsepnya kedengaran keanak-anakan, hasilnya cukup memukau. Ia tampak begitu eksklusif, elegan dan mewah di badan pemakai.

“Dulu ramai yang kata idea cantingan batik saya mengarut dan tidak mungkin dibeli orang. Kalau ada pun mungkin kanak-kanak saja yang berminat. Tetapi saya suka mencabar diri untuk buat perkara yang dianggap tidak logik.

“Syukurlah sekarang motif unik sebegini bukan saja diterima ramai, bahkan dicari orang. Lagipun, ia batik eksklusif. Setiap helaian yang kami jual dicanting dan dilukis secara manual. Bukan menggunakan mesin.

“Dulu, apabila kita sebut tema Batman pada baju, golongan 40-an akan rasa diri mereka tidak sesuai untuk mengenakan motif sedemikian. Tapi selepas mereka lihat hasilnya, memang akan terus suka,” katanya.

Menariknya, kata Amir Harith, dia banyak menerima tempahan daripada golongan kenamaan, artis dan selebriti pelbagai peringkat usia.


“Bagi saya, motif adiwira punya kekuatan tersendiri. Bukan semua pelukis batik mampu menghasilkan motif unik sebegini.

“Biasanya pelukis batik memilih corak geometri, bunga dan motif alam. Kita perlukan inovasi dalam seni rekaan kraf tekstil. Jadi, saya harap pembatik lain juga akan mula berfikir di luar kotak.

“Ketika awal operasi Bujins pada 2009, saya juga menghasilkan rekaan batik berunsurkan alam semula jadi. Namun untuk maju, saya nekad membuat kelainan dengan motif adiwira,” katanya.

Puas mencuba pelbagai motif adiwira dunia, Amir Harith kini mewarnai pasaran batik tempatan serta dalam talian dengan koleksi unik Pendekar Melayu.

Sebagai permulaan, dia memilih Laksamana Hang Tuah bersama-sama empat saudaranya - Hang Jebat, Hang Lekir, Hang Kasturi dan Hang Lekiu sebagai corak batik keluarannya.

“Sama seperti watak adiwira terdahulu, koleksi kali ini juga edisi terhad. Saya dan pasukan mengambil masa hampir setahun melakukan penyelidikan dan melakar motif berlandaskan fakta sejarah daripada muzium, pembacaan buku dan berdiskusi dengan beberapa pakar sejarah.

“Koleksi ini adalah versi permulaan. Perancangan bagi edisi seterusnya, kami akan mempelbagaikan tokoh atau pejuang negara daripada pelbagai etnik termasuk di Sabah dan Sarawak yang berkorban demi menuntut kemerdekaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 January 2020 @ 6:10 AM