JURURAWAT PPUM, Nurul Huda Sulaiman (dari kiri), Nurul Eqma Mohamad Raduan, Faten Helmi Nuur Hashim dan Muhamad Shyamiel Afzahisham saling membantu. FOTO  Rohanis Shukri
JURURAWAT PPUM, Nurul Huda Sulaiman (dari kiri), Nurul Eqma Mohamad Raduan, Faten Helmi Nuur Hashim dan Muhamad Shyamiel Afzahisham saling membantu. FOTO Rohanis Shukri
Muhamaad Razis Ismaildan Nurul Sabrina Jamali


DAHULU ramai yang beranggapan kerjaya sebagai jururawat tidak lebih daripada sekadar menjadi pembantu doktor ketika merawat pesakit.

Bagaimanapun, tanggapan mula berubah ketika negara dilanda pandemik Covid-19, apabila jururawat dilihat antara barisan hadapan yang disegani.

Kegigihan jururawat menggalas tugas sebagai benteng hadapan memerangi pandemik daripada terus berleluasa mula membuka mata ramai pihak terhadap bidang kejururawatan di negara ini.

Bagi menghargai dan mengiktiraf pengorbanan luar biasa semua jururawat di seluruh dunia, 12 Mei setiap tahun dipilih sebagai Hari Jururawat Antarabangsa.

Sempena sambutan Hari Jururawat Antarabangsa yang disambut pada hari ini, Harian Metro menemu bual beberapa jururawat sebagai penghargaan atas komitmen yang tidak berbelah bahagi dalam menggerakkan sektor kesihatan negara.

Seorang daripadanya adalah jururawat Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Nor Haiyum Abd Halim, 39, yang berkhidmat selama 18 tahun.

Katanya, tertarik dengan uniform jururawat ibu saudaranya yang dilihat kemas dan bersih mencetus minat terhadap bidang itu sejak kecil.

Wanita ini berkata, tanpa menoleh selepas menamatkan persekolahan, dia terus mengejar impian sehingga berjaya menjadi jururawat.

"Jika dulu ramai beranggapan skop tugas jururawat sekadar memberi ubat, bersihkan pesakit dan membantu doktor.

"Bagaimanapun, kini masyarakat lebih terbuka dan faham tugas jururawat yang memainkan peranan penting sebagai tulang belakang dan jantung dalam sektor kesihatan," katanya.

NOR Haiyum (tengah) membantu doktor memeriksa keadaan pesakit. FOTO  Rohanis Shukri
NOR Haiyum (tengah) membantu doktor memeriksa keadaan pesakit. FOTO Rohanis Shukri

Menurutnya, mengimbangi pekerjaan dan keluarga antara cabaran besar dihadapi jururawat yang juga ibu serta isteri.

"Kadangkala oleh kerana kekangan kerja, masa untuk keluarga terpaksa dikorbankan. Dalam situasi ini, bantuan dan sokongan ahli keluarga amat diperlukan," katanya.

Perkara itu turut diakui Eksekutif Kanan Kejururawatan Jabatan Perkhidmatan Kejururawatan Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Rohana Jaafar, 51, yang terbabit dalam bidang kejururawatan selama 27 tahun.

Katanya, jururawat memerlukan tahap kesabaran tinggi, ikhlas, empati dan perlu sentiasa cergas serta aktif.

"Walaupun penat, kami perlu menyediakan perkhidmatan terbaik kepada pesakit di hospital. Saya selalu berpesan kepada staf supaya tidak bercakap kasar dengan pesakit dan sentiasa peka keadaan sekeliling.

"Jika keadaan pesakit kelihatan berlainan, kita perlu cepat bertanya dan mengambil tindakan sepatutnya untuk mengelakkan masalah lain berlaku," katanya.

Rohana turut berkongsi pengalaman menjadi antara jururawat pertama yang ditugaskan memberi suntikan vaksin ketika penularan pandemik Covid-19.

 ROHANA (depan) bersama staf jururawat HCTM.
ROHANA (depan) bersama staf jururawat HCTM.

"Saya mengakui tidak pernah diberikan pendedahan yang mendalam dalam penyediaan vaksin dari peralatan hinggalah pakaian perlindungan diri (PPE) untuk melawan virus.

"Tetapi, saya bersyukur kerana Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) banyak memberi tunjuk ajar kepada kami sebelum memulakan suntikan vaksin kepada penduduk," katanya.

Bagi jururawat lelaki, Muhammad Shyamiel Afzahisham Mohd Fauzi, 31, bukan mudah untuk terbabit dalam bidang kejururawatan yang sering dianggap hanya sesuai untuk wanita.

"Masyarakat sudah terbiasa dengan jururawat wanita. Bagaimanapun, dalam sektor kesihatan, jururawat lelaki amat diperlukan kerana banyak tugas yang memerlukan kekuatan fizikal, termasuk mengangkat pesakit dan peralatan berat.

NURUL Huda Sulaiman. FOTO  Rohanis Shukri
NURUL Huda Sulaiman. FOTO Rohanis Shukri

"Saya bertuah mendapat sokongan keluarga dan dikelilingi rakan sepasukan yang sangat membantu dalam menjalankan tugas seharian terutama apabila membabitkan pesakit wanita. Syukur, pegawai kejururawatan dan ketua jururawat sentiasa yakin dengan kemampuan saya sepanjang menjalankan tugas," katanya.

Dia turut berkongsi sebahagian pengalaman tidak boleh dilupakan apabila bertugas ketika negara dilanda Covid-19 yang pada masa sama meragut nyawa bapa mentuanya.

"Pada ketika itu isteri turut dimasukkan ke wad selama sebulan akibat jangkitan Covid-19. Saya perlu bertugas di wad Covid-19 dan terpaksa mendapatkan bantuan jiran, kawan dan adik ipar untuk jagakan anak.

"Dalam keadaan genting itu, saya kuatkan hati dan semangat untuk terus menjalankan tanggungjawab sebagai barisan hadapan negara," katanya.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Jururawat Malaysia (MNA), Aisyahton Suhaimi berkata, Hari Jururawat Antarabangsa pada setiap 12 Mei disambut untuk mengiktiraf dan menghargai sumbangan serta pengorbanan jururawat dalam penjagaan kesihatan di negara ini.

"Pada tahun ini, sambutan dilaksanakan di Setia Alam Convention Center (SICC), Shah Alam, Selangor dengan dihadiri 2,000 jururawat dari seluruh Malaysia.

FATEN Helmi Nuur Hashim. FOTO  Rohanis Shukri
FATEN Helmi Nuur Hashim. FOTO Rohanis Shukri

"Saya harap dengan pemilihan tema Jururawat Pemangkin Masa Hadapan, dapat memberi galakan kepada jururawat untuk mengembangkan karier dalam bidang yang diceburi termasuk melanjutkan pengajian ke

peringkat lebih tinggi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Mei 2023 @ 7:00 AM