Omar Ahmad

Johor Bahru: Seramai 1,136 Jururawat Gred U29 kontrak keluaran Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan 2,804 jururawat swasta lantikan kontrak yang berkhidmat di kementerian itu bagi menyokong perkhidmatan kesihatan khususnya dalam tempoh pandemik Covid-19 akan diserap ke jawatan tetap.

Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata, pelantikan tetap itu akan dibuat secara berfasa dalam tempoh suku keempat 2022 dan suku pertama 2023.

Katanya, pelantikan ke jawatan tetap juga membabitkan Jururawat Masyarakat Gred U19 sebagai Jururawat Gred U29.

"Seramai 1,406 Jururawat Masyarakat Gred U19 yang lulus kursus Diploma Kejururawatan Peningkatan Secara Lantikan (PSL), namun masih belum ditawarkan pelantikan tetap secara PSL ke jawatan Jururawat Gred U29.

"KKM akan memfleksikan jawatan Jururawat Masyarakat Gred U19 kepada jawatan Jururawat Masyarakat Gred U19/Jururawat Gred U29.

"Pindaan ini dibuat bagi membolehkan Jururawat Masyarakat Gred U19 yang lulus kursus Diploma Kejururawatan PSL dapat ditawarkan pelantikan tetap dan kekal mengisi jawatan sedia ada sebagai Jururawat Gred U29.

"Dalam hal ini, KKM bercadang untuk menggunakan 2,775 jawatan Jururawat Masyarakat Gred U19 yang kosong untuk diisi oleh graduan Jururawat dari Institut Latihan KKM mahupun swasta," katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian 25th Joint Malaysia-Singapore Nursing Conference 2022 di sini, hari ini.

Turut hadir Pengarah Kejururawatan Malaysia, S Devi.

KHAIRY Jamaluddin (tengah) pada Majlis Perasmian 25th Joint Malaysia-Singapore Nursing Conference 2022 di Hotel Thistle. FOTO Omar Ahmad
KHAIRY Jamaluddin (tengah) pada Majlis Perasmian 25th Joint Malaysia-Singapore Nursing Conference 2022 di Hotel Thistle. FOTO Omar Ahmad

Menurut Khairy, KKM juga menawarkan kenaikan pangkat ke Gred U42 kepada 110 jururawat yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Kejururawatan yang diiktiraf kerajaan membabitkan 50 Jururawat Gred U32 dan 60 Jururawat Gred U36. Tawaran ini akan dibuat pada 17 Oktober 2022.

Katanya, sebanyak 49 jawatan Jururawat Gred U41/42/U44 lagi akan diisi menerusi pengambilan tetap oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) yang akan dilaksanakan pada suku pertama 2023.

"KKM mengunjurkan sebanyak 226 jawatan Jururawat Gred U41/42/U44 diwujudkan dalam tempoh 2023 hingga 2025 iaitu sebanyak 63 jawatan pada 2023, 125 jawatan pada 2024 dan 38 jawatan lagi pada 2025.

"Jumlah ini tidak termasuk unjuran pewujudan sebanyak 7,434 jawatan Jururawat Gred U29, Gred U32 dan Gred U36 dalam tempoh yang sama.

"Berdasarkan unjuran pewujudan sebanyak 226 jawatan Jururawat Gred U41/42/U44 ini, KKM akan menguruskan pelantikan tetap dan menawarkan kenaikan pangkat kepada pegawai yang layak mengikut tahun berkenaan," katanya.

Kadar nisbah jururawat dengan pesakit di Malaysia pada 2020 ialah 1:302, jumlah itu semakin baik pada tahun sebelumnya dengan kadar nisbah 1:297, namun masih belum memenuhi sasaran Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu 1:200.

Jelas Khairy, selepas isu doktor kontrak, sebahagian isu jururawat kini diselesaikan dan pada masa akan datang isu Pembantu Perubatan juga dalam perancangan untuk penyelesaian.

"Diharap dengan inisiatif penyerapan jawatan kontrak dan kekosongan yang diisi dapat pengurangan kadar nisbah jururawat dengan pesakit selaras saranan WHO iaitu 1:200," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 September 2022 @ 12:52 PM