ORANG ramai tidak melepaskan peluang mengunjungi Pameran Orkid Putrajaya 2023. - FOTO Rohanis Shukri
ORANG ramai tidak melepaskan peluang mengunjungi Pameran Orkid Putrajaya 2023. - FOTO Rohanis Shukri
DR Wan Azizah merasmikan Pameran Orkid Putrajaya 2023. - FOTO Rohanis Shukri
DR Wan Azizah merasmikan Pameran Orkid Putrajaya 2023. - FOTO Rohanis Shukri
Fairul Asmaini Mohd Pilus


Peminat bunga khususnya spesies anggerik, jangan lepaskan peluang mengunjungi Pameran Orkid Putrajaya 2023 yang diadakan di Taman Botani, Putrajaya sehingga esok.

Pameran anjuran Perbadanan Putrajaya (PPj) itu mempamerkan pelbagai koleksi spesies orkid tempatan khas, unik dan jarang ditemui.

Pengunjung berpeluang melihat lebih dekat 20 jenis orkid VIP yang dipamerkan dalam Galeri Orkid tertutup.

Apa yang menariknya mengenai orkid VIP itu, ia dinamakan sempena nama golongan diraja dan orang kenamaan.

Antaranya Papilionanda Sultan Idris Shah, Vanda Queen Azizah Iskandar, Holttumara Tuanku Zara, Renanthera Kalsom, Phalaenopsis Do Bru Queen Saleha dan Aranda Doctor Siti Hasmah.

Selain itu, lebih 500 pokok orkid dipamerkan khas kepada pengunjung sepanjang pameran berlangsung.

Sebanyak 12 kategori dengan 60 sub kategori tanaman orkid daripada ahli Persatuan Orkid Malaysia (OSM) turut dipertandingkan.

Pengunjung, Nor Azimah Ismail, 38, dari Ipoh, Perak tidak melepaskan peluang menghadiri pameran itu bersama keluarga.

Kata Nor Azimah, kesempatan di musim cuti sekolah membolehkan dia dan suami membawa anak-anak mereka mengunjungi pusat pentadbiran negara itu bagi melihat sendiri keindahan panorama serta mengunjungi pameran orkid.

HIBRID orkid baharu yang dikenali dengan nama Dendrobium Dr Wan Azizah. - FOTO Rohanis Shukri
HIBRID orkid baharu yang dikenali dengan nama Dendrobium Dr Wan Azizah. - FOTO Rohanis Shukri

PENGUNJUNG tertarik melihat koleksi orkid yang dipamerkan. - FOTO Rohanis Shukri
PENGUNJUNG tertarik melihat koleksi orkid yang dipamerkan. - FOTO Rohanis Shukri

Katanya, pameran itu tidak membosankan kanak-kanak kerana ada pelbagai acara menarik turut disediakan untuk seisi keluarga.

"Sebagai peminat bunga orkid, memang teruja dapat melihat sendiri keunikan orkid antarabangsa terutama dari Brunei, Singapura, Indonesia, Thailand, Vietnam, Taiwan, Filipina dan Jepun.

"Lebih istimewa, dapat melihat hibrid orkid baharu yang dinamakan sempena nama isteri Perdana Menteri.

"Selain itu, kami berpeluang melihat sendiri spesies orkid terbesar dari jenis Grammatophyllum sp. (Tiger Orchid) yang sukar untuk berbunga," katanya.

Sementara itu, Rohana Zakaria, 50, dari Kuantan, Pahang pula mengakui selesa mengunjungi pameran itu kerana ia diadakan dalam ruang berhawa dingin.

Katanya, selain orkid, pameran itu juga mempamerkan pelbagai spesies, bentuk dan saiz pokok bonsai yang turut menjadi kegemarannya.

"Semuanya ada, daripada sekecil-kecil bonsai unik bersaiz miniatur hingga bersaiz lebih satu meter.

"Saya juga tidak melepaskan peluang membeli beberapa pokok orkid dan bonsai yang dijual di pameran ini sebagai tambahan koleksi hiasan yang ada di halaman rumah," katanya.

Majlis perasmian pameran itu disempurnakan isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan hadir sama, Presiden PPj, Datuk Fadlun Mak Ujud.

Pada majlis perasmian berkenaan, hibrid orkid baharu yang diberi nama Dendrobium Dr Wan Azizah turut dipamerkan kepada orang ramai.

Hibrid orkid berkenaan sudah didaftarkan dengan persatuan Royal Horticultural Society (RHS), London.

Menurut PPj, Dendrobium baharu itu dihasilkan daripada kacukan antara Dendrobium Penang Little Magic sebagai induk betina dengan Dendrobium Seah Koko sebagai induk jantan.

PAMERAN terarium tidak kurang menariknya. - FOTO Rohanis Shukri
PAMERAN terarium tidak kurang menariknya. - FOTO Rohanis Shukri

Malah, hibrid orkid baharu terbabit mengeluarkan bunga berlatarkan warna coklat dan lima sepal berbentuk kerinting dengan labellum bunga berwarna coklat kemerahan dengan warna putih di tengah.

Setangkai bunganya boleh mengeluarkan 15 hingga 20 kuntum bunga yang mampu bertahan lebih sebulan di pokok.

Lebih istimewa, keratan bunganya juga dapat bertahan lebih daripada dua minggu.

Hibrid unik itu juga sesuai digunakan sebagai bunga pameran dan hiasan kerana keunikan bentuk bunga yang kerinting dan rajin berbunga.

Pengunjung turut terpukau dengan pameran terarium iaitu hiasan replika mini dalam balang gelas kaca lutsinar.

Ia mempamerkan keunikan ekosistem yang menggabungkan elemen tanaman, mikroorganisma dan mineral dengan dekorasi menarik menggunakan aplikasi pengetahuan sains serta ekspresi seni.

Pameran itu juga adalah sebahagian daripada pertandingan yang membabitkan sebanyak 20 penyertaan daripada sekolah menengah dan Kelab Krisputra sekitar Putrajaya.

Sementara itu, seanjang pameran berlangsung, pelbagai pengisian aktiviti serta program turut dianjurkan seperti bengkel gubahan bunga, bengkel mencanting batik, bengkel hiasan kek cawan, pertunjukan fesyen bertemakan orkid, acara larian, gerai jualan tanaman lanskap, makanan dan minuman.

Dengan mengetengahkan tema, Pesona Anggerik, pameran itu secara keseluruhan turut berjaya mencapai sasaran pengunjungnya iaitu seramai 100,00 orang.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Disember 2023 @ 7:00 AM