GAYA kumpulan Semerah Padi terpilih sebagai Pakaian Terbaik.
GAYA kumpulan Semerah Padi terpilih sebagai Pakaian Terbaik.
Fuad Hadinata Yaacob


TEMA Mat Kilau membawa tuah buat kumpulan Semerah Padi dalam Pertandingan Memasak Bubur Asyura yang diadakan di Sekolah Kebangsaan Kampung Betong, Jeneri, Sik, Kedah baru-baru ini.

Gaya pahlawan yang diketengahkan itu turut menobatkan kumpulan anak muda yang terdiri daripada 15 orang itu dipilih memenangi kategori Pakaian Terbaik.

Program anjuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dengan kerjasama Unit Ko Kurikulum

sekolah itu disertai lapan kampung iaitu Kampung Betong Dalam, Kampung Sri Aman, Kampung Kenangan, Kampung Kuala Kerik dan Kampung Kubang Lintah.

Selain itu, turut terbabit adalah Kampung Relong, Kampung Padang Pulut dan Kampung Pokok Jerai dengan penyertaan hampir 200 orang.

Ketua Kumpulan Semerah Padi, Nor Shafawati Ibrahim, 34, berkata, idea dengan tema pakaian itu tercetus melalui tayangan filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan yang menjadi fenomena baru-baru ini.

Setiap ahli kumpulan memakai jubah hitam dengan kain batik dijadikan selendang di kepala, persis gaya pahlawan dulu kala.

Katanya, gaya itu membawa tuah buat mereka apabila kumpulan berkenaan memenangi hadiah keseluruhan dan terpilih dalam kategori Pakaian Terbaik.

PESERTA bekerjasama memasak bubur asyura.
PESERTA bekerjasama memasak bubur asyura.

Menurutnya, dalam pertandingan itu peserta menerima peruntukan RM200 daripada PIBG sekolah untuk membeli bahan bagi membuat bubur asyura.

"Kami bergotong-royong membuat bubur asyura ini termasuk menghiasnya selepas selesai masak.

"Bubur ini diagihkan kepada murid, guru dan penduduk kampung," katanya.

Selain pakaian terbaik terdapat enam kategori lain iaitu hiasan atau kreativiti, kebersihan, kerjasama, rasa, ceria dan kelancaran program.

Sementara itu, Rasa Bubur Asyura Terbaik diungguli pengusaha kantin SK Kampung Betong, Zaharah Rozali.

Zaharah, 66, berkata, tiada rahsia dalam pembuatan bubur asyura berkenaan, malah bahan yang digunakan sama seperti kumpulan lain.

Katanya, antara bahan yang digunakan adalah kacang tanah, kacang hijau, kacang kuda, keledek, tepung beras, beras, jagung dan santan.

"Beras direndam beberapa jam sebelum dikisar. Selepas itu dimasak dan dikacau sehingga sebati dengan bahan lain.

"Semua kacang itu direbus dan dimasukkan dalam bahan tadi, kacau sehingga bubur pekat dan sebati," katanya.

Menurutnya, setiap peserta mempunyai tugas dan peranan masing-masing bagi memastikan bubur asyura itu siap dalam tempoh ditetapkan.

Katanya, program itu bukan saja merapatkan hubungan antara penduduk, tetapi juga menyuburkan kembali semangat gotong-royong sesama mereka khususnya selepas negara melalui fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 November 2022 @ 6:14 AM