YAACOB (dua dari kanan) dan AJK Masjid Nurul Hidayah, Kampung Tanah Merah Jaya, Tanjung Kling serta Nor Azman (tiga dari kanan) bergotong-royong menghasilkan bubur lambuk. FOTO Hassan Omar
YAACOB (dua dari kanan) dan AJK Masjid Nurul Hidayah, Kampung Tanah Merah Jaya, Tanjung Kling serta Nor Azman (tiga dari kanan) bergotong-royong menghasilkan bubur lambuk. FOTO Hassan Omar
Hassan Omar

Melaka: Kudung pergelangan tangan kanan dan cacat kekal pada tangan kiri tidak menghalang seorang bekas anggota tentera mencurahkan bakti sesama manusia.

Yaacob Hassan, 69, sanggup bersama ahli jawatankuasa (AJK) Masjid Nurul Hidayah, Kampung Tanah Merah Jaya, Tanjung Kling, dekat sini untuk menyiapkan rencah sebelum mengacau bubur lambuk.

Berdasarkan pengalaman memasak pada majlis kenduri kahwin, Yaacob mengetuai 13 AJK dan anak kariah kampung berkenaan untuk menghasilkan bahan makanan itu.

Katanya, untuk menghasilkan bubur lambuk enak, udang segar digunakan sebagai antara rencah, selain daging dan pelbagai bahan lain.

"Alhamdulillah, hari ini kami memulakan program menghasilkan bubur lambuk dirancang pada setiap Ahad sepanjang Ramadan kali ini.

"Terima kasih kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan yang menyediakan peruntukan RM500 untuk setiap kali program memasak diadakan," katanya pada program memasak bubur lambuk di masjid itu, hari ini.

Hadir sama, Nor Azman dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), Samad Ali.

Beras 10 kilogram selain udang segar, susu cair, kacang kuda, santan dan seumpamanya diadunkan untuk menghasilkan bubur lambuk sebelum diagihkan kepada penduduk selepas solat Asar.

Bekas anggota Unit 21 Komando Regimen Gerak Khas itu kehilangan pergelangan tangan kanan manakala pergelangan tangan kiri cacat kekal, akibat terkena jerangkap samar pengganas komunis.

Beliau mengalami kemalangan itu ketika menyertai Ops Gubir II bersama 44 anggota yang lain dalam hutan sempadan Kedah/Thailand pada 10 pagi 21 April 1976.

"Kejadian itu menyebabkan saya putus pergelangan tangan manakala pergelangan tangan kiri catat kekal, selain dua rakan putus kaki.

"Saya dan rakan kehilangan banyak darah dan sukar untuk dibawa keluar dari kawasan kejadian kerana hutan tebal yang menyukarkan helikopter mendarat.

"Bagaimanapun, saya bangga kerana walaupun terpaksa menghadapi ancaman lebih 1,000 pengganas komunis, kejayaan tetap bersama anggota pasukan keselamatan negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 April 2021 @ 4:48 PM