MAKANAN yang sukar ditemui.
MAKANAN yang sukar ditemui.
Muhamaad Razis Ismail


Bubur pedas antara makanan tradisional masyarakat Melayu Sarawak.

Istimewanya juadah ini hanya didapati di Sarawak dan amat sukar untuk mencari penjualnya di Semenanjung.

Penyediaan bubur pedas ini agak rumit dengan senarai bahan-bahan yang diperlukan melebihi 30 bahan masakannya.

Proses memasaknya juga memerlukan kesabaran bagi mendapatkan keenakan bubur pedas yang asli.

Dr Farah Akmal Idrus yang berhijrah ke Sarawak sejak tahun 2006 berkata, bubur pedas antara juadah istimewa yang ditunggu-tunggu.

"Bubur ini seperti bubur lambuk juga, cuma rempah ratusnya itu yang membuatkan ia agak unik. Apatah lagi sayur-sayuran yang dimasukkan ke dalam juadah ini juga menjadikannya antara makanan sihat dan sesuai dinikmati semua golongan," katanya yang juga Pensyarah Kanan, Fakulti Sains dan Teknologi Sumber, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).

Katanya, juadah bubur pedas ini memang sukar untuk dijumpai di Semenanjung yang menjadikan ia sangat istimewa dan mempunyai nilai kenegerian tersendiri.

BUBUR pedas makanan tradisional masyarakat Melayu Sarawak.
BUBUR pedas makanan tradisional masyarakat Melayu Sarawak.

"Sebut saja bubur pedas mesti ingat Sarawak. Kalau saya jumpa ada yang menjual, pasti saya akan membelinya," katanya.

Sementara itu, bagi anak jati Sarawak Siti Ameena Mostapha, 37, bubur pedas Sarawak amat sukar untuk ditemui di Semenanjung dan boleh dikatakan hampir tiada mereka yang menjualnya kecuali di restoran khas makanan Sarawak.

"Kebiasaannya saya akan meminta kenalan ibu saya untuk memasak bubur pedas ini. Memang susah nak jumpa terutama di Semenanjung. Kalau di Sarawak pula kebiasaannya ia hanya akan ada pada bulan puasa sahaja.

"Seperti bubur lambuk di sini, bubur pedas juga menjadi juadah tradisi yang disediakan masjid-masjid dan surau untuk disedekahkan kepada orang ramai," katanya.

Bagaimanapun kata Siti Almeena, kini terdapat banyak pes bubur pedas dalam pasaran sama seperti pes laksa Sarawak. Hanya pilih sahaja pes yang diingini melalui platform dalam talian dan buat sendiri di rumah tanpa perlu melalui proses konvensional yang rumit.

Bagi mereka yang ingin mencuba untuk memasak sendiri bubur pedas Sarawak, boleh rujuk resipi di bawah.

PENYEDIAAN bubur pedas ini agak rumit.
PENYEDIAAN bubur pedas ini agak rumit.

Bahan-bahan bumbu:

- Beras

- Bawang merah

- Bawang putih

- Kunyit

- Halia

- Lada hitam & putih

- Serbuk ketumbar

- Kelapa parut

- Bunga lawang

- Bunga cengkih

- Kulit kayu manis

- Buah pelaga

Bahan-bahan bubur pedas:

- Bumbu

- Udang

- Tendon daging lembu

- Bawang Merah & Putih

- Cili kering

- Santan

- Kacang panjang

- Lobak merah

- Kentang

- Keledek

- Rebung manis

- Daun kesum

- Daun kunyit

- Kulat Hitam

- Cendawan

- Kacang rebus

- Jagung Muda

- Sayur midin

- Udang kering

- Garam

- Gula

- Minyak

Cara-cara untuk bumbu:

1.Masukkan semua bahan ke dalam kuali dan tumis dengan api sederhana hingga semuanya berubah menjadi warna keemasan.

2.Selepas itu, kisar campuran bahan hingga halus dan sebati. Ketepikan dalam satu bekas.

Cara-cara untuk membuat bubur:

1.Tumis bawang merah, bawang putih dan udang kering hingga keemasan dan berbau wangi di dalam periuk. Kemudian masukkan bumbu bubur pedas yang sudah dikisar (campurkan dengan air), kemudian gaul sehingga pecah minyak.

2.Masukkan udang dan tendon daging lembu. Secara berperingkat, masukkan air hingga semua bahan mendidih.

3.Kemudian masukkan semua sayur yang dihiris. Gaul rata semua bahan hingga berbau wangi. Akhir sekali masukkan santan, sedikit garam dan gula.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Mei 2022 @ 6:35 AM