Nurul Husna Mahmud


NURNAZIHAH Nawawi selayaknya dinobatkan sebagai pencinta haiwan tegar apabila sanggup meninggalkan kerjaya

'jubah hitam' dengan meneruskan minat sebagai pempamer haiwan.

Wanita berasal dari Johor Bharu ini memilih karier berliku iaitu menjadi pemilik Pogona Pet Center dengan mengusahakan perniagaan zoo bergerak atau 'mobile petting zoo' sebagai pendapatan berbanding bergelar peguam.

Akui pemegang Ijazah Muda Sarjana Undang-undang dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), dia begitu teruja dikelilingi haiwan, malah mula mengumpul koleksi haiwan tertentu sejak menuntut di universiti.

"Saya bukan dari keluarga senang dan untuk memiliki haiwan peliharaan terutama eksotik memerlukan sejumlah wang.

"Malah, saya masih ingat haiwan eksotik pertama saya beli ialah sugar glider dan ia hasil tabungan sendiri. Harga haiwan kecil itu satu ketika dulu mahal iaitu RM100 dan ke atas.

"Belum lagi kelengkapan lain yang memerlukan lebih RM250 dan nilainya ketika itu mahal apatah lagi saya masih belajar.

"Sehingga saya tamat belajar pada 2015 dan bekerja sebagai peguam untuk beberapa tahun sebagai modal untuk mengumpul koleksi haiwan," katanya.

Mengakui dikelilingi haiwan lebih memberi kepuasan berbanding meneliti dan memenangi kes di mahkamah.

SPESIES cicak antara koleksi terbanyak selain burung dan ular.
SPESIES cicak antara koleksi terbanyak selain burung dan ular.

"Sebenarnya pada 2016 saya mula terbabit dalam mengendalikan majlis dan acara terus saya ambil peluang itu untuk belajar.

"Saya mula dengan koleksi peribadi iaitu memiliki sekitar 10 hingga 15 jenis haiwan selain mula masuk program atau acara di sekolah.

"Jika untuk membela haiwan eksotik terutama spesies ular memerlukan permit, apatah lagi bagi saya yang ketika itu antara pengusaha perempuan yang begitu kecil jumlahnya ingin terbabit dalam perniagaan zoo haiwan peliharaan bergerak.

"Kena ada permit pameran, menyimpan dan dokumen berkaitan bagi membawa haiwan ke pameran terutama di sekolah serta pasar raya," katanya.

Selain itu, antara cabaran Nurnazihah juga ketika mula menceburi bidang perniagaan unik itu adalah meyakinkan pihak sekolah selain proses dokumentasi yang rumit.

"Lebih mencabar bagi wanita yang terbabit dalam bidang perniagaan zoo bergerak ini adalah meyakinkan orang dengan servis bakal mereka terima.

"Seperti sekolah, urusan surat-menyurat atau dokumentasi sangat remeh dan tidak ramai sanggup berdepan situasi itu.

NURNAZIHAH  ambil kesempatan bercuti apabila mengadakan pameran.
NURNAZIHAH ambil kesempatan bercuti apabila mengadakan pameran.

"Pada saya selain potensi tinggi iaitu pasaran itu tidak ramai lagi dapat 'masuk' sebab prosedur rumit atas faktor keselamatan, saya turut berasa kanak-kanak atau pelajar adalah golongan penting untuk beri pendedahan mengenai haiwan," katanya.

Tambah Nurnazihah, selain haiwan eksotik tempatan seperti biawak atau ular sawa batik memiliki 'imej' digeruni, ada banyak lagi spesies dapat dilihat di serata dunia.

"Apabila saya terbabit dalam penganjuran atau mengadakan pameran zoo bergerak, reaksi kanak-kanak adalah 'nilai' paling mahal.

"Nampak mereka begitu teruja apabila menyaksikan haiwan yang tidak pernah mereka nampak atau pegang.

"Di sini saya main peranan, beritahu mengenai haiwan yang wujud selain ajar mereka cara kendali supaya lebih selamat.

"Walaupun haiwan eksotik ini 'bertuan', tetapi sifat semula jadinya masih ada dan bila-bila masa akan menunjukkan taringnya andai terancam," katanya.

Perkongsian itu adalah pengalaman beliau sendiri apabila menerima jahitan kerana digigit musang peliharaan kenalannya yang disewa dalam satu pameran.

ANAK Nurnazihah, Naira Alisha, berusia hampir dua tahun tidak takut mengendalikan haiwan.
ANAK Nurnazihah, Naira Alisha, berusia hampir dua tahun tidak takut mengendalikan haiwan.

"Saya pernah menerima jahitan dan suntikan tetanus apabila diserang musang yang mengalami strok haba.

"Berbanding rasa serik dan dendam, saya lebih jatuh simpati apabila kecuaian tuannya yang terlupa mengeluarkannya dari kenderaan saya menyebabkan ia terperangkap dalam kenderaan," katanya.

Tidak dinafikan tugas bersama haiwan itu menuntut pengorbanan tinggi.

"Tahun 2017 saya sehabis mungkin cuba perkenalkan nama Pogona Pet Center kepada peminat haiwan dan sekolah mahupun pasar raya.

"Dalam perjalanan itu juga saya diuji termasuk reaksi kurang

'sihat' dalam pemain industri yang sama.

"Mereka cuba wujudkan keraguan mengenai kemampuan saya seorang wanita dalam mengendalikan haiwan yang ada kalanya jauh lebih besar atau agresif.

"Imej saya bertudung dan lembut dirasakan tidak cukup lasak untuk mengawal atau mengendalikan pameran haiwan.

"Tetapi, saya buktikan dengan memberi khidmat yang terbaik dan mengamalkan sikap profesional ketika berurusan.

"Alhamdulillah saya masih menerima tawaran untuk mengadakan pameran dan kalau dulu seorang kini saya sudah ada tiga pekerja yang berpengalaman dalam membantu memudahkan setiap kali ada acara di luar," katanya.

Tambah ibu kepada seorang cahaya mata perempuan berusia setahun sembilan bulan itu, dia 'bahagia' bersama lebih 200 koleksi haiwan.

"Seperti perniagaan lain, zoo bergerak ini juga ada 'pasang surutnya' dan saya berehat seketika ketika pandemik untuk memberi laluan kepada diri yang ketika itu mengandung.

"Rezeki sebalik dugaan apabila keguguran sebanyak dua kali dan ketika pandemik saya mendapat zuriat perempuan," katanya.

Tambah Nurnazihah, suami tercinta, Muhammad Faidhi Mohd Noor antara pendorong kuatnya.

"Keluarga tidak menghalang, sebaliknya memberi sokongan kepada perniagaan zoo bergerak yang saya usahakan.

"Suami antara paling banyak membantu kerana setiap kali hujung minggu, dia akan tolong saya uruskan haiwan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Oktober 2022 @ 7:00 AM