TEKSTUR pada cicak membuatkan ia unik.
TEKSTUR pada cicak membuatkan ia unik.
Nurul Husna Mahmud


Cicak antara spesies reptilia yang mampu mengundang rasa geli dan takut bagi kebanyakan orang terutama wanita.

Memiliki tekstur badan yang lembik dan menyusup laju apabila bergerak membuatkan ia bukan haiwan ideal untuk dipelihara.

Lain ceritanya buat peminat haiwan eksotik, Nornazihah Nawawi apabila memiliki kira-kira 60 spesies cicak dari saiz kecil termasuk gecko dan spesies biawak tegu.

Kata Nornazihah, dia meminati spesies ini disebabkan karakter dan rupanya unik membuatkan haiwan itu antara koleksi mesti dimiliki bagi peminat haiwan eksotik.

"Dalam banyak-banyak haiwan eksotik, spesies cicak adalah minat saya selepas ular dan burung. Antara kelebihan spesies cicak ini termasuk mempunyai pelbagai rupa dan bentuk selain tekstur serta warna yang membezakannya dengan spesies lain.

"JIka diteliti pada bentuk dan ciri-ciri fizikal, ia membezakan habitat semula jadi baik sama ada gurun atau hutan tropika.

"Gecko atau cicak rumah dengan gecko di gurun ada perbezaan termasuk ciri-ciri permukaan kulit memberi kelebihan kepada haiwan itu untuk ikhtiar hidup di tempat masing-masing.

"Kelebihan lain terutama untuk tujuan pelihara, sebenarnya spesies cicak antara paling mudah dipelihara kerana boleh diletakkan dalam akuarium atau kotak simpanan dalam rumah," katanya.

Menjelaskan sejauh mana cicak ini wajar digeruni, kata Nornazihah, kebanyakan orang 'geli' sehinggakan ada yang langsung tidak boleh melihat foto haiwan itu.

NORNAZIHAH bersama salah satu koleksi kesayangannya.
NORNAZIHAH bersama salah satu koleksi kesayangannya.

"Mengenai cicak yang juga dari spesies besar seperti biawak tegu masih perlu berhati-hati cara mengendalikannya terutama jika ia baharu diambil dari penjual atau pemilik lama.

"Biasalah haiwan ada naluri untuk melindungi diri dan apabila berada dalam persekitaran baharu dan rasa terancam, ia akan bertindak balas.

"Tetapi, dalam kebanyakan kes membabitkan spesies cicak atau biawak yang dipelihara sejak kecil, jarang haiwan itu bertindak agresif.

"Masih perlu berhati-hati dan penting untuk pemilik tidak panik apabila haiwan peliharaan mereka menjadi agresif.

MEMANDIKAN cicak antara kaedah untuk jinakkan haiwan terbabit.
MEMANDIKAN cicak antara kaedah untuk jinakkan haiwan terbabit.

"Contohnya jika ada yang berdepan serangan atau digigit spesies cicak yang besar, elak untuk terus tarik tangan kerana ia boleh 'koyakkan' tisu atau kulit," katanya yang juga pengasas Pogona Curator Enterprise.

Saranan beliau, sebaiknya minta pertolongan orang lain untuk buka mulut haiwan terbabit bagi mengelak kecederaan lebih serius.

Katanya, spesies cicak besar seperti biawak tegu atau tempatan memiliki gigi yang tajam dan dalam diet mereka adalah daging.

"Dalam diet biawak sebenarnya ia makan daging dan tidak hairan ia mempunyai rahang kuat dan gigi tajam.

BIAWAK tegu antara spesies paling besar dipelihara Nornazihah.
BIAWAK tegu antara spesies paling besar dipelihara Nornazihah.

"Selain itu, cicak baik gecko mahupun biawak yang besar sangat pantas bergerak. Sebaiknya untuk langkah awal terutama ketika bermain pastikan bermula dari dalam bekas atau sangkar.

"Kalau pemilik tidak cekap, ia boleh lari dan hilang sekelip mata. Itu dalam kes kalau haiwan ini berasa ia terancam.

"Jika dalam keadaan rehat atau bertenang haiwan ini akan 'santai' sahaja di atas tangan atau di mana sahaja.

"Penting untuk spesies cicak peliharaan didedahkan dengan persekitaran luar atau bermain bersama supaya ia selesa dan mudah tenang apabila berada di luar kotak simpanan,"katanya.

SERANGGA diet bagi spesies cicak saiz kecil.
SERANGGA diet bagi spesies cicak saiz kecil.

Tip penting lain dikongsi Nornazihah termasuk memandikan haiwan itu adalah kaedah terbaik untuk menjalin hubungan mesra (bonding) antara pemilik dan haiwan peliharaan.

"Selain latih beri makan dengan cara menyuap ke mulut untuk spesies cicak menjadi lebih jinak, saya turut selalu mandikan haiwan itu.

"Memandikan cicak atau biawak antara kaedah dapat membina 'bonding' antara pemilik dan haiwan," katanya.

Mengenai kos untuk pelihara cicak pula, Nornazihah berkata, modal permulaan adalah besar.

"Kos untuk memiliki spesies cicak ini bergantung kepada minat individu. Modal awal berkemungkinan tinggi kerana perlu keluarkan kos beli spesies cicak dan siapkan keperluan seperti tempat tinggal.

"Tetapi, apabila masuk untuk kos seterusnya iaitu makanan, ia bergantung kepada diet ditetapkan pemilik.

"Spesies cicak kecil hanya makan serangga seperti cengkerik, lalat, ulat dan banyak lagi. Kos lebih tinggi bagi spesies cicak besar, biawak tegu yang sudah mula makan daging," katanya.

Anggaran Nornazihah belanja untuk pembelian makanan haiwan kesayangannya itu tidak kurang RM300 sebulan.

"Saya tidak rasa kos untuk menjaga haiwan itu satu membebankan kerana minat. Rasa puas apabila lihat setiap haiwan saya pelihara mendapat yang terbaik dan kesihatan haiwan juga lebih baik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 November 2022 @ 6:30 AM