Redzuan Muharam


“SAYA pernah diejek rakan sekolah dan ada juga yang menggelarkan saya monyet kerana hobi ini.

“Akan tetapi, saya tidak kisah kerana ibu dan ayah faham dengan minat saya,” kata murid Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Tasik Kesuma di sini, Mirza Zaini, 12, yang memelihara kira-kira 30 spesies haiwan termasuk jenis eksotik dan reptilia.

Kini, minat itu dimanfaatkan menjadi sumber pendapatan sampingan dengan menawarkan khidmat Petting Zoo atau pameran haiwan peliharaan di majlis hari jadi dan pelbagai acara bertemakan haiwan.

Bercerita lanjut, Mirza yang juga anak sulung daripada dua beradik berkata, dia sudah dibiasakan bermain dengan haiwan termasuk jenis berbisa dan eksotik sejak berumur tiga tahun lagi sebelum memeliharanya dua tahun kemudian.

Jadi, tidak timbul perasaan geli atau takut kerana dia tahu cara menjinakkan dan kecenderungan terhadap haiwan juga mendorongnya mempelajari kaedah penjagaan yang betul dengan merujuk bahan bacaan atau carian maklumat di Internet.

“Minat memelihara haiwan timbul selepas ayah membawa pulang ayam serama ke rumah ketika saya berumur tiga tahun.

“Bermula dari situ, saya jadi seronok dan timbul keinginan memelihara haiwan dari spesies lain.

“Disebabkan minat juga, saya kerap bertanyakan kepada ibu dan ayah mengenai haiwan selain gemar membaca buku berkaitan bagi mendapatkan pengetahuan tambahan,” katanya.

ANTARA koleksi haiwan peliharaan Mirza yang disimpan rapi di dalam bekas dan akuarium
ANTARA koleksi haiwan peliharaan Mirza yang disimpan rapi di dalam bekas dan akuarium

Menurut Mirza, antara haiwan yang dipeliharanya ketika ini adalah hedgehog atau landak mini, iguana, tarantula, kala jengking, ular spesies Corn dan Ball Python, tupai terbang (sugar glider), ayam, itik, arnab, kucing , tikus belanda, burung kakak tua dan banyak lagi.

Menurut Mirza, semua haiwan peliharaannya itu dianggap seperti rakan karib dan dijaga rapi serta ditempatkan di dalam bekas dan akuarium dengan pencahayaan yang cukup di ruang tamu rumah.

“Kebiasaannya, saya meluangkan masa bermain haiwan peliharaan selepas pulang dari sekolah dan pada waktu itu juga, saya memberi makan dan menyediakan keperluan sepatutnya.

“Jika ada kelapangan, barulah ibu mengambil tawaran untuk saya mengadakan pameran haiwan di majlis atau mana-mana acara yang memerlukan haiwan sebagai tarikan.

“Selain mahu berkongsi minat, pameran itu diadakan bagi mencari duit poket untuk menampung kos pengurusan haiwan peliharaan memandangkan ibu dan ayah mahu saya berdikari tanpa bergantung dengan mereka semata-mata.

“Seronok juga apabila mengadakan pameran itu kerana dapat bertemu dengan orang ramai tetapi buat masa ini, ibu dan ayah mahu saya menumpukan kepada pelajaran sebagai persediaan menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tidak lama lagi,” katanya yang bercita-cita menjadi doktor veterinar apabila dewasa kelak.

Sementara itu, ibunya Maizura Eliana Ab Malik, 39, berkata, sejak dulu lagi, dia dan suami, Mohd Zaini Zainul Abidin, 45, memberi galakan penuh kepada Mirza malah sudah membelanjakan lebih RM20,000 untuk hobi anaknya itu.

“Sejak kecil lagi, saya dan suami menyedari minatnya malah dia juga gemar mengajak kami ke zoo untuk melihat haiwan yang ada di situ dengan lebih dekat.

“Melihat kesungguhannya, saya dan suami memberi sokongan dan tidak pernah menyekat kemahuannya memelihara haiwan tetapi sentiasa memantau supaya dia tetap memberi keutamaan kepada pelajaran.

“Lagipun, saya nampak banyak perubahan positif saya dapat lihat pada Mirza antaranya lebih penyayang, sabar dan tidak panas baran seperti dulu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Jun 2019 @ 6:10 AM
MIRZA bermain dengan ular peliharaannya
MIRZA bermain dengan ular peliharaannya