LANDAK raya kini dibiak untuk baka dan daging.
LANDAK raya kini dibiak untuk baka dan daging.
Nurul Husna Mahmud

KEUPAYAAN landak melepaskan atau 'menembak' duri kepada pemangsa atau ketika berasa terancam antara kisah yang kita sering dengar.

Namun, itu ditepis Muzaffar Kaisar Mohammad Ishak, 49, yang mempunyai pengalaman memelihara haiwan eksotik terbabit hampir 20 tahun apabila mula mengimport tiga pasang landak dari spesies landak jambul atau Hystrix Cristata sejak 2009.

Kata peminat haiwan terbabit, itu hanya mitos dan landak melindungi diri dengan mengembangkan durinya apabila ia menyerang.

"Landak menggunakan duri untuk melindungi diri, tetapi bukan dengan kaedah 'menembak' atau melepaskan duri kepada pemangsa.

"Sebaliknya haiwan ini menjadi agresif dengan menghentak kaki pada lantai dan mengundur sambil mengembangkan duri bagi melindungi dirinya.

"Sikap agresif lebih ketara apabila dalam koloni yang mana spesies betina dewasa akan mengepung anaknya bagi mengelak ia diserang atau dicederakan. Atas sebab itu juga bagi pembiak baka berpengalaman, kami tidak boleh sewenang-wenangnya memegang anak landak.

"Terdapat risiko anak landak dibunuh apabila adanya bau tangan atau tubuh manusia berpindah kepada haiwan berkenaan," katanya.

SAIZ landak paling besar di dunia tidak kurang 20 kilogram dengan diet yang baik.
SAIZ landak paling besar di dunia tidak kurang 20 kilogram dengan diet yang baik.

Tambah Muzaffar Kaisar, sebalik sikap agresif haiwan berkenaan, landak memiliki tarikan tersendiri terutama sebagai haiwan peliharaan kepada peminat eksotik yang menghayati haiwan terbabit sebagai 'bahan' pameran.

"Landak bukan spesies haiwan peliharaan untuk dibelai. Biasanya pemilik spesies eksotik ini pelihara bagi tujuan induk, untuk pameran dan daging. Namun, permintaan tinggi ketika ini ialah tujuan induk dan pameran.

"Bagi mereka yang pelihara bagi tujuan daging, rasanya hanya sebilangan kecil. Daging landak dikatakan mempunyai kebaikan kepada kesihatan. Kategori pembiak landak daging kurang popular kerana harga landak itu sendiri mahal dan pengeluaran secara komersial adalah sukar berikutan kadar kelahiran haiwan ini biasanya dua hingga empat ekor setahun.

"Biasanya landak bagi tujuan daging adalah landak spesies tempatan atau landak raya membabitkan pembiak baka yang memiliki permit memelihara dan menjual dari Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan)," katanya.

Sebagai pembiak baka berpengalaman, Muzaffar Kaisar kini memiliki lebih 50 ekor dan spesies paling unik ialah jenis landak terbesar di Afrika dan dunia iaitu Landak Cape.

"Bagi landak raya pula, ketika ini terdapat undang-undang yang mengehadkan jualan haiwan itu dengan kebenaran pada Mei hingga Ogos. Ini kekangan bagi pembiak baka menjual haiwan mereka.

"Jadi, saya beralih kepada landak import termasuk yang terbaharu adalah Landak Cape. Landak ini mendapat nama sempena tempat asalnya iaitu Capetown, Afrika Selatan.

LANDAK Cape albino antara landak mampu menjadi koleksi haiwan eksotik yang menarik.
LANDAK Cape albino antara landak mampu menjadi koleksi haiwan eksotik yang menarik.

"Untuk dapat akses dari negara asal berkenaan bagi membawa masuk secara langsung tidak dibenarkan kerana spesies ini mendapat pelindungan penuh di negara terbabit.

"Akses untuk saya memiliki haiwan terbabit ialah menerusi rangkaian dengan zoo haiwan di Eropah kerana saya turut aktif menjalankan kerja konservasi haiwan.

"Percubaan pertama pada tahun tahun lalu, apabila saya membawa masuk 12 Landak Cape termasuk spesies paling jarang ditemui iaitu Landak Cape albino," katanya.

Nilai pasaran untuk memiliki landak terutama import, kata Muzaffar Kaisar, seperti haiwan eksotik lain, setiap landak mempunyai nilai tersendiri dan mencecah puluhan ribu berdasarkan spesies dan ciri baka unik haiwan berkenaan.

"Landak Cape ketika ini antara termahal kerana boleh mencecah berat melebihi 20 kilogram bagi dewasa. Konsep peliharaan saya gunakan ialah koloni yang mana seekor landak jantan diletak bersama empat landak betina untuk optimumkan pembiakan.

"Ketika ini Landak Cape termasuk spesies albino berjaya dibiak di sini. Ini satu perkembangan baik untuk peminat haiwan eksotik supaya dapat memiliki haiwan berkenaan," katanya.

MUZAFFAR Kaisar tidak lokek dengan memberi sumber diet gred terbaik memastikan kesihatan landaknya.
MUZAFFAR Kaisar tidak lokek dengan memberi sumber diet gred terbaik memastikan kesihatan landaknya.

Mengenai cabaran untuk pelihara landak, kata Muzaffar Kaisar, haiwan itu tidak remeh dijaga kerana tidak banyak penyakit atau masalah kesihatan.

"Biarpun Landak Cape atau landak jambul ini tidak banyak kerenah, tetapi makanan antara isu perlu diberi perhatian kerana kosnya menelan belanja yang tinggi.

"Landak ialah haiwan yang tinggal dalam tanah. Oleh itu, bagi penyediaan sangkarnya perlu menggunakan lantai simen.

"Sementara bahagian dinding pula boleh gunakan jaring besi atau material lain yang kukuh.

"Aspek lain ialah diet landak. Landak antara spesies haiwan kuat makan dan diet terbaik ialah sayur-sayuran yang tertanam dalam tanah seperti sengkuang, labu, ubi kayu atau keledek. Bagi anak landak pula boleh diajar seawal usia sebulan dengan memakan labu atau keledek," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Disember 2021 @ 7:00 AM