Nurul Husna Mahmud

Selaku peminat tegar dan memiliki koleksi haiwan eksotik terutama ular, penghantar haiwan peliharaan atau 'pet taxi', Mohd Hamizan Nawai, 44, memahami betapa resahnya pemilik apabila terputus bekalan makanan untuk haiwan peliharaan masing-masing.

Dia yang juga pembiak tikus untuk makanan reptilia itu, mengakui ketika Perintah Kawalan Pergerakan pertama (PKP 1.0), dia sering menerima panggilan kecemasan daripada pemilik haiwan itu bagi mendapatkan bekalan makanan.

"Setahu saya perkhidmatan membabitkan penghantaran haiwan hidup kurang dikendalikan mana-mana individu sebelum ini apatah lagi khusus untuk kurier haiwan peliharaan.

"Saya menawarkan khidmat menghantar haiwan peliharaan bermula dengan tikus untuk makanan ular kerana perkhidmatan bekalan makanan haiwan dibenarkan beroperasi oleh kerajaan.

"Atas sebab memiliki kebenaran merentas negeri dan daerah, ada pemilik yang mula 'mesej' untuk dapatkan perkhidmatan hantar haiwan pula.

"Kebanyakannya membabitkan pemilik yang terkandas di tempat berasingan dengan lokasi haiwan peliharaan mereka," katanya.

KHIDMAT ‘pet taxi’ selain penghubung haiwan peliharaan kepada tuannya turut jadi kerja penyelamat haiwan terabai dalam situasi pandemik.
KHIDMAT ‘pet taxi’ selain penghubung haiwan peliharaan kepada tuannya turut jadi kerja penyelamat haiwan terabai dalam situasi pandemik.

Menjelaskan tugasnya sebagai penghantar haiwan peliharaan selain penghubung kepada haiwan peliharaan kepada tuannya, peranan itu penting kerana dilihat satu bentuk khidmat atau kerja menyelamatkan haiwan yang terabai disebabkan situasi pandemik Covid-19.

"Haiwan peliharaan yang pernah saya kendalikan adalah pelbagai daripada kucing kampung sehinggalah haiwan eksotik nilai ribuan ringgit selain jarang ditemui seperti rakun.

"Tugas penghantar haiwan pada kaca mata saya ialah satu bidang tugas memerlukan kepakaran dan profesional. Mereka perlu ada pengetahuan mengenai haiwan dan tahu mengendalikannya.

"Bayangkan kadangkala perjalanan memakan masa seharian seperti juga manusia, haiwan turut mudah stres dan tertekan.

"Jadi, penghantar haiwan peliharaan perlu tahu keadaan terbaik untuk setiap haiwan selain ketahanan mereka supaya proses penghantaran berjalan lancar," katanya.

MEMASTIKAN haiwan selamat tiba di destinasi.
MEMASTIKAN haiwan selamat tiba di destinasi.

Beliau yang mesra dengan panggilan Mije, turut berkongsi bahawa setiap haiwan mempunyai sifat dan tabiat yang berbeza serta memerlukan cara pengendalian yang berlainan ketika membuat penghantaran.

"Bagi saya, haiwan seperti spesies cicak besar dan ular tahan lasak serta tiada masalah untuk diletakkan dalam bekas atau sangkar masing-masing dalam satu tempoh yang panjang.

"Tetapi untuk haiwan berbulu, kedudukan mestilah paling dekat dengan pendingin hawa kerana ia mudah stres dalam keadaan panas dan bertutup.

"Semua itu menjadi mudah andai individu (penghantar haiwan) mempunyai pengalaman atau memelihara haiwan terutama spesies eksotik," katanya.

Berkongsi lanjut pengalaman sukar dilupakan katanya, mengendalikan ular yang ditinggalkan selama sebulan oleh pemiliknya kerana terkandas dan tidak dapat pulang ke rumah paling meninggalkan kesan.

"Kalaulah tiada penghantar haiwan peliharaan seperti yang dilakukan saya dan beberapa peminat haiwan lain, rasanya pemilik haiwan tertekan dan terpaksa 'reda' dengan kemungkinan kehilangan haiwan kesayangan masing-masing.

"Bayangkan sudah bertahun-tahun bela dan mati begitu sahaja kerana tidak dapat kebenaran merentas.

"Satu kes pemilik yang minta bantuan saya adalah membabitkan ular yang sudah sebulan terkandas di Kuala Selangor. Dia tidak dapat merentas ke Rawang kerana Sekatan Pergerakan Penuh baru-baru ini.

"Ular itu besar dan terendam dalam najis bercampur air kencing. Tidak mustahil jika berterusan dibiarkan begitu saja ia akan mati.

"Ketika itu tiada penghantar yang sanggup ambil tugasan berkenaan melainkan saya yang sudah berpengalaman mengendalikan reptilia. Jadi, saya lakukan kerja-kerja pembersihan dan kemudian hantar ular itu kepada tuannya," katanya.

ULAR antara haiwan peliharaan yang perlu ada pengetahuan bagi mengurangkan risiko kecederaan baik penghantar mahupun haiwan itu sendiri.
ULAR antara haiwan peliharaan yang perlu ada pengetahuan bagi mengurangkan risiko kecederaan baik penghantar mahupun haiwan itu sendiri.

Sementara itu, bagi pengumpul koleksi haiwan eksotik Muhammad Halim Zainal Abidin, 40, pula berkata, perkhidmatan penghantar haiwan peliharaan amat ditagih kelompok pemilik haiwan sepertinya sebagai 'mata' dan 'telinga' untuk memeriksa haiwan peliharaan yang dibeli dari pembiak baka.

"Pemilik haiwan eksotik perlu mendapatkan penghantar yang ada kredibiliti baik dari segi pengetahuan mengenai haiwan selain kejujuran kerana membabitkan haiwan bernilai ribuan ringgit.

"Saya pernah gunakan khidmat Mije untuk ambil burung kakatua spesies Macaw yang bernilai belasan ribu ringgit selain rakun yang juga spesies unik. Tidak semua tahu cara untuk kendalikannya.

"Penting untuk pemilik baru menerima haiwan ini dalam keadaan baik dan sihat. Kalau penghantar orangnya jenis sambil lewa dan tiada ilmu, dikhuatiri dia tidak dapat mengesan keadaan haiwan dalam keadaan baik atau pun sebaliknya.

"Ada kemungkinan risiko kematian atau haiwan itu stres ketika dalam perjalanan dan menjejaskan keadaan haiwan apabila diterima pemilik baru," katanya.

Sebelum ini dia pernah mendapatkan khidmat penghantaran biasa iaitu kurier menggunakan lori bagi tikus untuk makanan ularnya tetapi mati sebelum sempat sampai ke tangannya. Lalu memutuskan mendapatkan khidmat penghantaran khas haiwan untuk memastikan risiko mati rendah membabitkan haiwan hidup.

RAKUN antara haiwan peliharaan eksotik pernah dihantar oleh Mije.
RAKUN antara haiwan peliharaan eksotik pernah dihantar oleh Mije.

Begitu juga dengan pembiak baka kucing di Ipoh, Perak, Khairul Rizal Ahmad Sabri ini yang mengakui tugas penghantar juga perlu ada kesabaran dan ketekunan tinggi apabila mengendalikan haiwan yang hidup.

"Haiwan hidup ini seperti manusia, ada kesihatan fizikal dan emosi. Seperti saya pembiak baka kucing jenis Muchkin dan British Short Hair, perlu pastikan kucing dalam keadaan baik dan selamat apabila diterima pembeli.

"Bagi saya yang sudah 'siapkan' kucing dalam keadaan terbaik sangat berharap ia selamat tiba di tangan pemilik. Malah segi penjadualan terutama masa penghantaran dan penerimaan itu juga sangat penting kerana ia perlu sampai di tangan individu atau pemilik.

"Tugas ini penting dikendalikan oleh penghantar yang ada latar belakang kerana ada peranan remeh perlu dipikul ketika dalam perjalanan. Contohnya bermain dengan haiwan itu supaya ia tidak stres selain kerja-kerja memberi makan dan minum juga perlu diuruskan si penghantar," katanya.

PERLU bermain dengan haiwan untuk bantu kurangkan stres haiwan menempuh perjalanan lama.
PERLU bermain dengan haiwan untuk bantu kurangkan stres haiwan menempuh perjalanan lama.

Katanya, dia tidak menolak kemungkinan penghantar juga berdepan situasi terpaksa membersihkan najis haiwan jika ada insiden haiwan buang air besar atau kencing dalam kereta.

"Bagi pembiak baka yang berpengalaman, kami tahu kucing perlu 'berpuasa' bagi mengelak ia membuang najis dalam tempoh penghantaran.

"Tidak mustahil juga kucing yang 'dilepaskan' oleh pemilik biasa kepada pemilik baru tidak tahu dan menyebabkan kucing itu buang air besar dalam kereta penghantar.

"Di sini nampak tugas penghantar mudah tetapi itu antara cabaran kerana mereka perlu hadap kerenah haiwan yang ada kala 'melepas' dalam kenderaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 September 2021 @ 7:00 AM