IGUANA yang dipelihara Ruhaifilia.
IGUANA yang dipelihara Ruhaifilia.
Nurul Husna Mahmud


SEBUT saja ular, cicak mahupun biawak pasti ramai yang memberikan reaksi kurang selesa dengan haiwan berkenaan.

Berbeza dengan gadis kelahiran Paka, Terengganu ini begitu 'asyik' dan 'mesra' melayani kerenah setiap haiwan eksotik yang dimiliki.

Gadis bernama Ruhaifilia Abdul Rani ini bukan hanya memiliki seekor, sebaliknya 25 ekor haiwan dari pelbagai seleksi eksotik termasuk yang memerlukan permit.

"Minat tercetus apabila sering mengikuti perkongsian video seorang peminat haiwan eksotik iaitu Mijie Snakemaster.

"Saya belajar mengenai ular iaitu antara haiwan eksotik terawal yang saya bela iaitu pada 2016.

"Malah, saya tangkap sendiri ular sawa batik di belakang rumah dan kemudian belajar untuk menjinakkannya daripada Mijie.

BINA ‘bonding’ adalah perkara penting bagi haiwan eksotik dan pemilik.
BINA ‘bonding’ adalah perkara penting bagi haiwan eksotik dan pemilik.

SAWA batik yang dibela Ruhaifilia.
SAWA batik yang dibela Ruhaifilia.

"Beliau banyak ajar selok-belok membezakan antara haiwan eksotik yang perlukan lesen dan permit dengan yang biasa. Bagi ular batik pertama yang ditangkap, saya kena mohon lesen memburu dan menyimpan daripada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan)," katanya.

Selain ular, Ruhaifilia lebih selesa disapa Mawar itu turut membela pelbagai haiwan lain termasuk musang, biawak, iguana, landak mini, sugar glider dan spesies lipas eksotik.

Tidak pernah berasa geli atau gerun, gadis kecil molek ini teruja dan berasa tenang apabila melihat keletah setiap haiwan dipelihara.

"Kalau pelihara pelbagai jenis, kena juga tahu tabiat setiap satu dari segi makanan, ciri-ciri habitat selain bermain dengannya.

"Saya tidak letakkan bersama spesies haiwan besar kerana selalu jadi pemangsa kepada eksotik kecil seperti tikus belanda, landak mini atau sugar glider. Asingkan mengikut tabiat masing-masing.

"Haiwan eksotik biasanya aktif pada sebelah malam. Saya akan bermain secara giliran seperti ada hari tertentu untuk haiwan kecil sementara seminggu sekali bagi spesies besar seperti ular atau biawak," katanya.

ULAR peliharaan Ruhaifilia.
ULAR peliharaan Ruhaifilia.

Ruhaifilia tidak menafikan jadual harian padat, tetapi segala kepenatan berbaloi apabila melihat haiwan kesayangan membesar dengan sihat.

"Penjagaan haiwan eksotik ini sebenarnya ringkas dan mudah. Asalkan tahu tabiat semula jadi dan makanan, sudah boleh pelihara.

"Tetapi, kena selalu biasakan diri dengan 'bau' pemilik kerana haiwan ini nalurinya liar. Kena tahu kendali dan bermain ia boleh membentuk hubungan baik.

"Selain memudahkan urusan lain terutama ketika kerja membersihkan sangkar atau tempat tinggal," katanya.

Dia yang juga kerani syarikat swasta itu turut berkongsi tip penting ketika mengendalikan haiwan terbabit termasuk mencuci tangan terlebih dahulu.

"Kalau hendak memegang spesies pemangsa seperti ular dan biawak, elak terus pegang selepas pegang haiwan kecil seperti tikus, landak mini atau sugar glider.

MUSANG juga antara haiwan eksotik dibela Ruhaifilia.
MUSANG juga antara haiwan eksotik dibela Ruhaifilia.

"Bau haiwan itu menyebabkan spesies pemangsa menyangka ia adalah makanan. Ia akan menyerang pemilik," katanya.

Tambahnya lagi, elakkan memegang haiwan eksotik secara mengejut sebaliknya latih sesi 'bonding' secara beransur-ansur sehingga haiwan terbabit selesa.

Tidak terhenti setakat itu, kata Ruhaifilia, dia ingin menambah koleksi haiwan eksotik dengan katak American Bullfrog.

"Saya teruja dengan haiwan eksotik yang boleh membesar. Saya cadang untuk pelihara katak spesies American Bullfrog.

"Katak ini jadi pilihan peminat eksotik kerana mampu membesar sehingga mencecah tiga kilogram," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 November 2021 @ 7:00 AM